
JABATAN Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mengesan lebih 15 juta kenderaan di negara ini tidak memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) melebihi tempoh lima tahun sehingga Disember tahun lalu.
Jumlah itu mewakili kira-kira 37 peratus daripada lebih 41 juta kenderaan yang berada dalam pangkalan data JPJ, dengan sebahagian besar dipercayai kenderaan terbiar.
Motosikal Paling Banyak
Setiausaha Bahagian Darat Kementerian Pengangkutan Malaysia, Mohamed Irwan Mansor berkata, daripada jumlah tersebut:
- 9.76 juta – motosikal
- 4.07 juta – kereta
- Kira-kira 2 juta lagi melibatkan bas, teksi, kenderaan barangan dan lain-lain
Menurut beliau, situasi itu menunjukkan terdapat banyak kenderaan yang berisiko menjadi kenderaan terbiar di kawasan perumahan atau parkir awam.
Perlu Dilupuskan Secara Sah
Mohamed Irwan berkata, kenderaan yang tidak lagi digunakan sepatutnya dilupuskan melalui prosedur betul supaya rekod boleh dikeluarkan daripada pangkalan data JPJ.
Pada masa ini, jumlah kereta aktif dengan LKM sah adalah sekitar 15.61 juta, menjadikan keseluruhan kereta berdaftar kira-kira 19.69 juta, termasuk sudah tamat tempoh cukai jalan.
Bagi motosikal pula, daripada 18.9 juta unit berdaftar, kira-kira 9.2 juta sudah tidak aktif di jalan raya.
Inisiatif Jejak Kenderaan Lama
Bagi menangani isu itu, Kementerian melaksanakan beberapa inisiatif seperti Program Geran Padanan bagi Penggantian Kenderaan Lama.
Program tersebut bertujuan menjejaki kenderaan lama berusia 20 tahun ke atas yang tidak aktif dan menggalakkan pemilik melupuskannya secara sah.
SUMBER: BeritaHarian








