
JENAMA motosikal KTNS, kembali merancakkan pasaran tempatan dengan memperkenalkan model terbaharu, TT-Classic 150 yang dilancarkan sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Media 2026 di Pusat Servis dan Pejabat Urusan Mforce cawangan Kuala Lumpur di Segambut.
Model bergaya scrambler klasik ini ditawarkan pada harga RM6,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) dan hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Dark Gold, Matt Black dan Matt Grey.
Enjin 150cc Dengan Kuasa 7.8 kW

TT-Classic 150 dikuasakan enjin satu silinder, empat lejang berkapasiti 150cc yang menghasilkan kuasa maksimum 7.8 kW (sekitar 10.5 hp) pada 7,500 rpm dan tork 11.5 Nm pada 5,500 rpm. Enjin ini mempunyai nisbah mampatan 9.1:1 dengan ukuran bore dan stroke 57.3 x 57.9 mm.
Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi lima kelajuan dengan pacuan rantai. Sistem penyejukan menggunakan cecair, manakala pencucuhan dikawal ECU serta dihidupkan melalui sistem penghidup elektrik. Tangki bahan api berkapasiti 11 liter disediakan bagi menyokong perjalanan lebih jauh.
Suspensi Teleskopik, Brek Cakera Depan Belakang
Dari segi casis, motosikal ini menggunakan fork teleskopik di bahagian hadapan serta penyerap hentak teleskopik tunggal boleh laras di belakang bagi memberikan keseimbangan antara keselesaan dan kawalan.
Sistem brek pula terdiri daripada cakera tunggal di hadapan dengan angkup dua piston serta cakera tunggal di belakang dengan angkup satu piston untuk memastikan prestasi membrek yang cekap dan selamat.
Tayar Dual-Purpose, Rekaan Scrambler

TT-Classic 150 dipadankan dengan tayar dwi-guna bersaiz 110/90-18 di hadapan dan 120/90-17 di belakang yang dipasang pada rim aluminium aloi. Kombinasi ini memberi cengkaman lebih baik di permukaan jalan bercampur termasuk laluan tidak berturap.
Rekaan scrambler turut diserlahkan menerusi penggunaan ekzos gaya scrambler, bar pelindung serta pelindung tangki yang meningkatkan karakter lasak motosikal ini.
Meter LCD Berwarna, Lampu LED Penuh
Dari segi ciri teknologi, TT-Classic 150 dilengkapi paparan meter LCD berwarna, sistem kunci mekanikal serta sistem pencahayaan LED sepenuhnya termasuk lampu hadapan, lampu belakang, lampu isyarat, lampu kecemasan dan lampu nyalaan siang (DRL).
Ciri tambahan lain termasuk tempat duduk anti-gelincir, ruang simpanan hadapan serta bateri 12V3Ah bagi menyokong komponen elektronik dan sistem pencahayaan motosikal.
Waranti Dua Tahun
Dari segi dimensi, TT-Classic 150 mempunyai panjang 2,180 mm, lebar 918 mm dan tinggi 1,160 mm dengan jarak roda 1,400 mm. Ketinggian tempat duduk adalah 840 mm manakala kelegaan tanah mencecah 300 mm.
Motosikal ini mempunyai berat kering 130 kg, menjadikannya mudah dikendalikan pelbagai peringkat penunggang. Setiap pembelian turut disertakan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km (yang mana terdahulu) serta sokongan pembelian alat ganti tulen secara atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.
































