
PROJEK JAS Motorsport dengan Pininfarina bagi melahirkan semula kereta sport ikonik Honda NSX sudah pun dihebahkan sebelum ini.
Sempena Minggu Reka Bentuk Milano pada 21 April 2026, butiran terperinci mengenai kisah reka bentuk di sebalik Tensei telah didedahkan.
Ia merupakan kereta jalan raya berprestasi tinggi pertama daripada JAS Motorsport yang direka oleh firma reka bentuk terkemuka, Pininfarina.

Nama Tensei dipilih daripada perkataan Jepun yang bermaksud kelahiran semula dan mencerminkan cita-cita projek ini untuk mencipta kereta super generasi baharu yang kekal setia kepada semangat asal Honda NSX era 1990 an tetapi dengan identiti yang lebih kontemporari, asertif dan canggih dari segi teknikal.
Projek ini diibarat sebagai melengkapkan satu kitaran sejarah kerana Pininfarina mempunyai hubungan yang mendalam dengan Honda.
Pada tahun 1984, sebelum NSX versi pengeluaran diperkenalkan, Pininfarina telah membayangkan sebuah kereta Honda berenjin tengah melalui konsep HP-X. Tensei kini menghubungkan semula masa lalu dan masa kini melalui visi reka bentuk yang baharu.
Evolusi Reka Bentuk dan Identiti

Tensei dibina berasaskan kereta penderma terpilih dari awal tahun 1990 an yang dipilih khusus untuk casis dan asas mekanikalnya.
Kereta ini menampilkan badan baharu sepenuhnya yang diperbuat daripada gentian karbon. Dari segi perkadaran, pasukan reka bentuk Pininfarina telah melakukan perubahan besar berbanding NSX yang asal bagi memastikan kehadiran di jalan raya yang lebih mantap.
Ciri-ciri utama evolusi reka bentuk ini merangkumi:
- Jarak roda yang lebih panjang
- Jarak overhang belakang yang lebih pendek
- Roda lebih besar dan kedudukan (stance) yang lebih rendah
- Trek roda yang jauh lebih lebar
- Bahu belakang yang menonjol dan fender yang melebar bagi mencipta gayaan berbentuk segi tiga
- Pengekalan ciri ikonik seperti lampu depan jenis pop-up, liang udara sisi berbentuk segi empat tepat dan sayap belakang yang disepadukan dengan grafik lampu belakang
Ruang Dalaman dan Pembuatan
Di bahagian dalam, Pininfarina menggunakan kepakaran mereka untuk menggabungkan kecantikan dan fungsi.
Susun atur ruang kabin Tensei diinspirasikan daripada falsafah NSX asal tahun 1990 yang memfokuskan kepada hubungan langsung antara pemandu dan penumpang.

Rekaan dalaman ini memberikan tumpuan utama kepada aspek ergonomik, jarak penglihatan dan ketulenan pemanduan dengan kualiti buatan yang lebih tinggi.
Terhad dan Buatan Khas:
- Dihasilkan dalam siri yang sangat terhad di Atelier JAS Motorsport di Arluno, berhampiran Milan
- Penyesuaian tempahan khas atau bespoke disediakan melalui atelier Pininfarina di Cambiano, Turin
- Tersedia dalam konfigurasi pemanduan sebelah kiri mahupun kanan
Trenkuasa

Di bawah badan gentian karbon tersebut, Tensei dikuasakan oleh enjin yang memfokuskan kepada prestasi tulen tanpa tenaga paksaan.
- Enjin: V6 aspirasi semula jadi yang diinspirasikan oleh seni bina enjin NSX asal
- Pembangunan: Dibangunkan untuk memberikan tahap kuasa, tork dan tindak balas yang paling tinggi
- Transmisi: Manual 6 kelajuan bagi meningkatkan prestasi, tingkah laku dinamik dan penglibatan emosi semasa pemanduan







































