![]()
JENAMA, Peugeot Motocycles rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi kerjasama strategik bersama Aveta International, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai antara hab penting jenama Perancis itu untuk pengembangan di rantau Asia Tenggara.
Jenama yang mempunyai sejarah lebih 100 tahun dalam dunia dua roda itu hadir dengan fokus terhadap segmen mobiliti urban premium menerusi gabungan rekaan Eropah, gaya hidup moden dan teknologi terkini.
Empat Model Diperkenalkan Untuk Pasaran Malaysia

Bersempena pelancaran rasmi tersebut, Peugeot Motocycles Malaysia memperkenalkan empat model yang menyasarkan kategori penunggang berbeza.
Model paling premium ialah XP400 GT yang ditawarkan pada harga RM43,990. Skuter crossover itu dibangunkan untuk tunggangan bandar dan juga pengembaraan ringan.
Turut diperkenalkan ialah Django Café Racer pada harga RM16,990 dengan karakter retro sporty, Django Classic berharga RM14,990 yang tampil dengan gaya klasik moden, serta Speedfight 4+ bermula RM9,990 untuk kegunaan urban harian. Semua harga tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.
XP400 GT Jadi Taruhan Segmen Crossover Premium
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Aveta International, Steven Lim, pengenalan XP400 GT menjadi antara tarikan utama kerana ia membuka segmen crossover premium baharu untuk pasaran tempatan.
Beliau berkata, tempahan kini sudah dibuka dan penghantaran motosikal juga sedang dilakukan secara berperingkat menerusi rangkaian pengedar yang sedang berkembang di seluruh negara.

Sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang, Aveta turut menyokong pemasangan tempatan (CKD) untuk beberapa model seperti Django dan Speedfight 4+ di bawah inisiatif Eco 5.
Langkah itu dilihat mampu memperkukuh ekosistem tempatan selain meningkatkan aksesibiliti dan sokongan selepas jualan kepada pelanggan Malaysia.
Rangkaian Pengedar, Pusat Pengalaman Baharu

Peugeot Motocycles Malaysia akan melaksanakan strategi pengembangan secara berperingkat dengan sasaran membuka 10 hingga 15 pengedar eksklusif di lokasi bandar utama sepanjang 2026.
Pusat pengalaman pertama jenama itu bakal dibuka di Bukit Tambun, Pulau Pinang pada 9 Mei 2026 sebelum pengembangan ke Johor Bahru dan Lembah Klang sekitar Jun depan.
Selain itu, pelanggan turut akan menerima sokongan selepas jualan melalui pusat servis khas Peugeot yang diintegrasikan bersama rangkaian ‘Aveta Care on Wheels’.
Lengkap Dengan Teknologi Moden
Setiap model Peugeot Motocycles turut dilengkapi pelbagai teknologi moden termasuk paparan digital i-Connect®, sistem brek ABS dan SBC, sistem smart-key serta casis ketegaran tinggi untuk kestabilan tunggangan lebih baik.
Peugeot Motocycles juga menyatakan komitmen mereka terhadap mobiliti masa depan dengan perancangan untuk memperkenalkan model elektrik selari dengan agenda National Energy Transition Roadmap (NETR).
Jenama itu juga sedang menilai penyelesaian mobiliti bandar pintar dan penghantaran jarak dekat sebagai sebahagian daripada hala tuju jangka panjang mereka di Malaysia.
Sasar Lebih 3,000 Unit Tahun Pertama
Ketua Pegawai Eksekutif Peugeot Motocycles Groupe, Laurent Lilti berkata Malaysia dilihat sebagai pasaran strategik penting di Asia Tenggara kerana permintaan terhadap mobiliti premium urban semakin meningkat.

Peugeot Motocycles Malaysia menyasarkan jualan lebih 3,000 unit dalam tahun pertama operasi, sekali gus menandakan permulaan baharu buat jenama lagenda Perancis itu dalam pasaran motosikal tempatan.
Dengan gabungan gaya Eropah, teknologi moden dan identiti premium, kemasukan Peugeot Motocycles dijangka memberi warna baharu dalam segmen skuter urban Malaysia.












































































