
AUDI memperkenalkan A6 allroad generasi kelima dengan pembaharuan dari aspek rekabentuk, teknologi, casis dan trenkuasa.
Model wagon lasak premium itu kini hadir dengan badan lebih lebar, keupayaan off-road dipertingkat dan pilihan trenkuasa hibrid plug-in (PHEV) buat kali pertama dalam sejarahnya.

Audi A6 allroad 2027 baharu dibangunkan untuk menawarkan keseimbangan antara keselesaan wagon premium dan keupayaan merentasi pelbagai rupa bumi menerusi gabungan sistem pacuan semua roda (AWD) quattro, suspensi udara adaptif dan pembelokan semua roda.
Salah satu perubahan paling ketara ialah badan yang kini 111mm lebih lebar berbanding A6 Avant, sekali gus memberikan penampilan lebih tegap dan agresif.
Rekaan Lebih Lebar, Lasak dan Berkarisma

Dari segi dimensi, Audi A6 allroad 2027 baharu mempunyai ukuran lebih besar berbanding model terdahulu, selain menampilkan elemen rekaan khas allroad yang menyerlahkan karakter lasak.
Antara perincian utama:
- Panjang keseluruhan 5,016mm
- Lebar 1,986mm
- Lebar, termasuk cermin sisi 2,099mm
- Tinggi antara 1,479mm hingga 1,508mm
- Badan 111mm lebih lebar berbanding A6 Avant
- Lebar trek hadapan bertambah 74mm
- Lebar trek belakang bertambah 70mm
- Jarak tinggi bumi 34mm lebih tinggi berbanding A6 Avant
- Ketinggian badan meningkat 16mm berbanding generasi terdahulu

Bahagian depan menampilkan gril Singleframe dan liang ambilan udara dengan corak heksagon khas allroad, manakala pelindung bawah badan, kemasan sisi dan gerbang roda lebih menonjol yang menyerlahkan identiti model tersebut.
Sebagai standard, Audi A6 allroad 2027 dipadankan rim aloi 19 inci, dengan pilihan 20 inci dan 21 inci turut ditawarkan.
Suspensi Udara Adaptif dengan Mod Off-Road

Bagi memastikan keselesaan dan kestabilan atas pelbagai jenis permukaan jalan, Audi A6 allroad 2027 dilengkapi sistem suspensi udara adaptif yang dibangunkan khas untuk model tersebut.
Sistem itu menawarkan julat pelarasan ketinggian sehingga 55mm, iaitu 25mm lebih anjal berbanding A6 Avant. Antara fungsi utama yang ditawarkan:
- Kedudukan normal 34mm lebih tinggi berbanding A6 Avant
- Mod Offroad dan Offroad+ menambah jarak tinggi bumi sebanyak 15mm
- Fungsi Lift menaikkan badan tambahan 20mm
- Fungsi Lift boleh digunakan sehingga 34kmj
- Suspensi kembali ke kedudukan normal apabila kelajuan melebihi 84kmj dalam mod off-road
- Mod Dynamic merendahkan badan sebanyak 20mm
- Pada halaju lebih 121kmj, badan direndahkan automatik untuk mengurangkan rintangan angin

Mod Offroad+ turut membolehkan lebih gelinciran roda untuk meningkatkan cengkaman atas permukaan seperti pasir, kerikil dan salji. Pada masa sama, sistem kunci diferensial elektronik (EDL) melakukan intervensi lebih agresif bagi mengagihkan kuasa ke roda yang mempunyai cengkaman terbaik.
Transmisi dual-klac (DCT) S tronic juga mengekalkan gear lebih lama dalam mod tersebut bagi memastikan hantaran kuasa lebih konsisten ketika meredah laluan mencabar.
Pembelokan Semua Roda Tingkatkan Kelincahan

Audi turut menaik taraf sistem stereng progresif yang kini memberikan respons lebih pantas dan lebih tepat kepada pemandu.
Bagi meningkatkan lagi tahap pengendalian, sistem pembelokan semua roda (all-wheel steering) ditawarkan sebagai standard pada varian PHEV dan opsyen bagi model V6 TDI.
Ciri tersebut membolehkan:
- Roda belakang membelok sehingga 5º bertentangan arah roda depan pada kelajuan rendah
- Radius pusingan berkurangan sehingga 1 meter
- Roda belakang membelok sehingga 2º searah roda depan pada kelajuan lebih tinggi bagi meningkatkan kestabilan dan ketepatan stereng
PHEV Pertama dalam Sejarah A6 allroad

Buat kali pertama, Audi A6 allroad 2027 ditawarkan dalam versi PHEV menerusi varian e-hybrid.
Trenkuasa itu menggabungkan enjin petrol 2.0L TFSI dengan output kuasa 252ps (185kW) bersama motor elektrik berkuasa sehingga 105kW.
Gabungan kedua-duanya menghasilkan:
- Output kuasa sistem 367ps (270kW), dan tork 500Nm
- Pecutan 0 – 100kmj sepantas 5.5 saat
- Kelajuan maksimum 250kmj
Kuasa tersebut disalurkan menerusi sistem AWD quattro sebagai ciri standard.
Bateri 25.9kWj, Jarak EV hingga 95km

Kuasa elektrik disimpan dalam pek bateri voltan tinggi berkapasiti:
- 25.9kWj (kapasiti kasar)
- 20.7kWj (kapasiti boleh guna)
Menurut Audi, bateri tersebut membolehkan A6 allroad e-hybrid bergerak sehingga 95km menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya (WLTP)
Pengecasan pula menyokong:
- Pengecas AC sehingga 11kW
- Masa pengecasan penuh sekitar 2.5 jam
Sistem pengurusan hibrid menawarkan dua mod pemanduan EV dan Hybrid. Tahap pembrekan semula tenaga (regenerative braking) turut boleh dilaras menerusi pedal gear pada stereng.
Enjin V6 TDI dengan Teknologi Hibrid Ringan

Selain versi PHEV, Audi turut menawarkan enjin diesel 3.0L V6 TDI yang dipadankan teknologi hibrid ringan (MHEV), MHEV Plus.
Enjin tersebut menghasilkan:
- Output kuasa 299PS (220kW), dan tork 580Nm
- Pecutan 0 – 100kmj sepantas 5.4 saat
- Kelajuan maksimum 250kmj
Sistem MHEV Plus menggabungkan tiga komponen elektrik utama:
- Penghidup alternator tali sawat (belt alternator starter)
- Generator trenkuasa (powertrain generator)
- Kompresor elektrik (electric-powered compressor)
Gabungan teknologi itu membolehkan:
- Tambahan kuasa sehingga 24ps (18kW)
- Pembrekan regeneratif semula tenaga sehingga 25kW
- Respons terotel lebih pantas tanpa jeda turbo (turbo lag)
Menurut Audi, tekanan boost maksimum 3.6 bar dapat dicapai hampir 1 saat lebih pantas berbanding generasi terdahulu.
Malah, kipas kompresor elektrik mampu berputar sehingga 90,000rpm dalam masa hanya 250ms, sekali gus membantu hantaran kuasa lebih responsif.
Sistem Brek Regeneratif Baharu

Kesemua varian A6 allroad menggunakan sistem kawalan brek bersepadu yang memisahkan pedal brek daripada sistem hidraulik.
Melalui teknologi itu:
- Audi A6 allroad e-hybrid mampu menjana semula tenaga sehingga 88kW
- Model MHEV Plus mampu menjana semula tenaga sehingga 25kW
Sistem tersebut turut memastikan peralihan antara brek regeneratif dan brek mekanikal berlaku secara lancar tanpa menjejaskan rasa pedal brek.
Kabin Digital dengan Integrasi ChatGPT

Di ruang dalaman, Audi A6 allroad 2027 menampilkan susun atur digital terkini Audi yang mengutamakan pengalaman pengguna lebih moden dan intuitif. Paparan utama terdiri daripada:
- Kluster instrumen digital Audi Virtual Cockpit 11.9 inci
- Skrin sentuh Audi MMI 14.5 inci
- Skrin penumpang depan Audi MMI 10.9 inci (opsyen)
Sistem infotainmen turut menyokong:
- Anataramuka Audi Smartphone Interface
- Pembantu suara Audi Assistant
- Integrasi ChatGPT
- Paparan laman web dan penstriman video pada skrin penumpang
- Akses kalendar dan e-mel menerusi akaun yang dipaut
Audi Assistant juga boleh menjawab soalan berkaitan kenderaan dengan merujuk manual pemilik, selain memahami arahan suara yang lebih natural dan kompleks.
Ciri Keselesaan Premium

Audi turut melengkapkan Audi A6 allroad 2027 dengan pelbagai ciri keselesaan untuk perjalanan jarak jauh. Antara kelengkapan yang ditawarkan:
- Bumbung kaca panoramik boleh laras tahap gelap
- Sistem penyaman udara automatik 4-zon
- Fungsi pemanasan dan penyejukan awal kabin
- Sistem audio premium Bang & Olufsen 3D
- Kaca akustik bagi mengurangkan bunyi luar
- Sistem penutup pintu elektrik jenis lembut (soft-close door)
Turut tersedia fungsi Experience Worlds yang menggabungkan pencahayaan, sistem audio, fungsi urutan kerusi dan kawalan suhu bagi mewujudkan suasana kabin tertentu.
Lampu Matrix LED Digital dengan Teknologi Mikro-LED

Teknologi pencahayaan menjadi antara tarikan utama Audi A6 allroad 2027 baharu menerusi penggunaan lampu LED matriks (Matrix LED) Digital dengan modul mikro-LED. Ciri utama seperti:
- 48 segmen LED lampu siang (DRL) bagi setiap lampu depan
- 8 pilihan DRL signatur
- 198 segmen OLED bagi setiap lampu belakang
Sistem itu turut menawarkan pelbagai fungsi keselamatan seperti:
- Pancaran panduan lorong pada permukaan jalan
- Lampu orientasi untuk membantu kedudukan kenderaan dalam lorong
- Amaran Keluar Lorong (LDW)
- Bantuan Tukaran Lorong (LCA)
- Amaran jalan licin menerusi simbol ais yang dipancar atas jalan
- Pengesanan pejalan kaki berhampiran jalan
- Lampu komunikasi yang memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain ketika situasi kecemasan atau parkir automatik
Ruang But hingga 1,497 Liter

Sebagai wagon yang dibangunkan untuk aktiviti harian dan pengembaraan, Audi A6 allroad 2027 menawarkan ruang but luas serta fleksibel. Kapasiti ruang but ialah:
A6 allroad V6 TDI
- 466 liter hingga 1,497 liter
A6 allroad e-hybrid
- 404 liter hingga 1,423 liter
Tempat duduk belakang boleh dilipat dalam nisbah 40:20:40, manakala pintu but elektrik turut menyokong fungsi bukaan menggunakan gerakan kaki (kick sensor).
Bagi keupayaan tunda pula:

- Audi A6 allroad e-hybrid mampu menunda sehingga 2,000kg
- Audi A6 allroad V6 TDI mampu menunda sehingga 2,500kg
Dengan gabungan rekabentuk lebih tegap, teknologi digital terkini, sistem AWD quattro dan pilihan trenkuasa elektrifikasi, Audi A6 allroad 2027 baharu terus mengekalkan identiti sebagai wagon premium yang mampu berfungsi baik atas jalan raya dan off-road lebih mencabar.




























































