BAGI seorang pemilik motosikal, banyak keseronokan dapat dinikmati yang sukar diluahkan dengan kata-kata selain hal pinjaman AEON Credit, kedai motor, dan panggilan bank (ini kita borak hari lain) 😅.
Salah-satunya aktiviti konvoi bersama rakan yang berkongsi minat sama dan suka berjalan-jalan cari makan atau makan angin di mana-mana saja, asalkan bukan di kedai mamak seberang rumah.
Namun, kerap pula terdengar dan terbaca berita mengenai kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal atau lebih menyayat hati melibatkan kematian peserta konvoi motosikal. Boleh dikatakan ia berlaku hampir setiap hujung minggu dan musim perayaan.
Kami juga sukakan motosikal dan aktiviti bermotosikal. Sukalah kami berkongsikan beberapa tip yang betul tentang bagaimana menjadikan aktiviti konvoi kita lebih lancar dan selamat .
BACA >>>Â #ApaNakBuat: Lakukan 8 Perkara Ini untuk Bantu Mangsa Kemalangan Motosikal!
BACA >>>Â 15 Fakta dan Statistik Mengejutkan Tentang Kemalangan Motosikal
1. Rancang dengan Teliti
Aktiviti konvoi hanya perkara kecil berbanding perancangan dibuat. Ketelitian merancang akan menjadikan perjalanan konvoi kita lebih seronok dan selamat.
Selain desitnasi dituju, pencadang konvoi hendaklah merancang jalan yang hendak diikut, tempat berhenti untuk bersolat, mengisi minyak dan kecemasan, masa diperlukan, aturan peserta, dan lain-lain.
Tugasan pula boleh dibahagikan sesama peserta konvoi jika pencadang tidak berapa mahir dengan jalan hendak digunakan. Bahagilah tugas secara saksama supaya setiap peserta lebih bertanggungjawab kerana masing-masing diberikan peranan. Segala perancangan sebaik-baiknya dibincangkan bersama. Inilah masa buat sesi TTS (pekena teh tarik).
Tetapi ingat, jangan buat perancangan tidak realistik. Misalnya, hendak redah perjalanan 400km sepantas 4 jam. Nampak seperti misi yang boleh dicapai, tetapi anda sepetutnya peruntukkan lebih masa. Jika tidak, semua peserta terpaksa menunggang terburu-buru dan mendatangkan bahaya.
2. Ambil Kira Hal Logistik
Perkara logistik harus diketengahkan kerana bukan semua peserta boleh bawa kelengkapan kecemasan. Rancanglah supaya ada peserta (seorang sudah cukup) bawa alatan baik pulih (tools), seorang lagi bawa pam angin, dan ada peserta bawa kit kecemasan.
Antara perkakasan wajib dibawa ialah soket pelbagai saiz, tiub tayar atau kit baiki tayar pancit, kit kecemasan, pam angin (jika tiada silinder gas CO2 dalam kit baiki tayar).
3. Peserta dengan Kemahiran Tertentu
Sebaiknya ada peserta konvoi memiliki kemahiran seperti mekanik dan tahu teknik berdepan situasi kecemasan. Tidak salah sesama rakan luangkan masa mengambil kelas belajar teknik kecemasan seperti CPR, balut luka dan seumpamanya.
4. Bila Mahu Mula Gerak?
Masa terbaik memulakan konvoi adalah awal pagi kerana cuaca masih sejuk. Jadi tetapkan masa mula berkonvoi dan pastikan semua peserta menepati waktu. Janganlah diamalkan tabiat 'Malaysian Time?', 'Janji Melayu' dan 'on the way', tapi sebenarnya baru hendak mandi. Kita sebenarnya sedang menyusahkan orang lain.
5. Taklimat Dulu, Gerak Kemudian
Peruntukkan masa untuk sesi taklimat ringkas, Seeloknya dilakukan sebelum bertolak.
Pastikan setiap orang (jika ada) tahu hala tuju konvoi dan apa perlu dilakukan walaupun masing-masing pernah berbincang hal sama pada sesi TTS. Anggaplah sebagai sesi segar semula (refreshment) atau semak senarai (check list).
Cara terbaik, pemandu arah (marsyal depan) turun motosikal dan tanya seorang demi seorang peserta atas motosikal masing-masing ke mana hendak pergi selepas ini dan siapa boleh dihubungi jika ada masalah.
Taklimat juga wajib dilakukan setiap kali selepas berhenti, dan maklumkan kepada semua peserta ke mana destinasi seterusnya. Jangan pandang ringan langkah ini kerana kerap berlaku isu peserta hilang arah, tertinggal atau ditinggalkan.
Sebagai perkongsian, penulis sendiri pernah bermalam di kaki lima 7-Eleven di Bukit Kayu Hitam kerana tiada taklimat selepas berhenti di stesen minyak Juru, Pulau Pinang. Ada juga kes peserta konvoi lain menunggang ke Pekan Bukit Tinggi, sebaliknya kami sudah sampai di Pekan Bentong.
Insiden seperti itu bahaya kerana peserta tersebut akan terburu-buru menunggang supaya dapat menyertai semula kumpulan konvoi yang jauh ke depan dengan penuh stres. Sudahnya, habis lampu isyarat, tanda jalan dan amaran bahaya diabaikan.
INGAT: Selalu beritahu setiap peserta hala tuju atau rancangan seterusnya.
Antara perkara dimaklumkan dalam taklimat adalah:
- Hala tuju dan rancangan seterusnya.
- Tempat berkumpul semula.
- Kelajuan konvoi.
- Siapa marsyal depan, runner, sweeper.
- Nombor marsyal dan kecemasan.
6. Aturan Konvoi
Aturan konvoi juga faktor penting kerana dikhuatiri mengganggu pengguna jalan raya lain. Jangan sampai video atau gambar kumpulan konvoi kita tular dan jadi bahan kecaman hingga memalukan penunggang lain semalaysia.
Bagi mengelakkan insiden seumpama itu berlaku, perjalanan peserta konvoi eloklah dipecahkan dan dibenarkan bergerak bebas. Maksudnya, jangan hadkan peserta supaya menunggang dalam satu baris panjang, kecuali jika diiringi polis trafik. Apapun, menungganglah ikut kemampuan sendiri.
7. Tetapkan Marsyal Konvoi
Tetapkan seorang atau dua (mengikut saiz konvoi) Runner.
Tugas runner adalah menunggang ke depan untuk beritahu marsyal jika berlaku masalah dan sebagainya. Runner juga akan berhenti selepas persimpangan untuk menjadi penunjuk arah kepada peserta di belakang.
Tetapkan juga seorang sweeper sebagai peserta konvoi paling belakang. Tugas sweeper adalah memastikan tiada peserta tertinggal.
Beritahu setiap penunggang ke mana hala tuju dan rancangan seterusnya, dan tempat berkumpul semula serta berikan setiap peserta ruang menunggang mengikut kemampuan, keselesaan dan kehendak sendiri.
BACA >>>Â Polis Cari Marsyal Konvoi 'Eskyen' Jadi Polis di Port Dickson
8. Sistem Buddy
Buddy system atau sistem buddy berguna untuk konvoi bebas kerana mendorong setiap dua peserta memerhatikan satu sama lain. Lebih baik jika seorang penunggang baharu dipasangkan dengan seorang penunggang lebih mahir (atau senior) supaya dia dapat belajar cara menunggang.
Tetapi penunggang mahir itu janganlah pula tunjuk belang atau sengaja 'bakar line'.
9. Kelajuan Konvoi
Kelajuan konvoi adalah menyeronokkan, tetapi pada masa sama juga berbahaya. Kelajuan yang terlalu konservatif membuatkan peserta jadi jemu, manakala jika terlalu laju membuatkan peserta bertindak bahaya dan berada dalam keadaan stres.
Semua marsyal termasuk marsyal depan, runner dan sweeper hendaklah peka dengan kondisi peserta. Jika mereka boleh mengikut kelajuan yang sedikit tinggi, maka teruskan. Jika ada peserta mula menunggang cara merbahaya seperti hampir terbabas di selekoh atau hampir terlanggar peserta lain, maka kelajuan hendaklah dikurangkan. Jika ada peserta mengantuk, lebih baik berhenti di tempat selamat untuk berehat sekejap.
10. Isyarat antara Peserta
Isyarat antara peserta sangat penting, terutama apbila bergerak di jalan sempit seperti kawasan kampung atau pedalaman. Semua peserta harus mengulangi isyarat diberikan marsyal depan. Selalunya beberapa orang peserta depan konvoi akan mengulangi isyarat, tetapi malangnya tidak diikuti penunggang di tengah.
Akibatnya, peserta di belakang tidak nampak isyarat tersebut dan terjadilah insiden berlanggaran.
BACA >>>Â Kajian: Mencelah, Guna Laluan Laju Punca Utama Kemalangan Motosikal Bawah 250cc
11. Hormati Undang-Undang
Penulis pernah lihat gelagat peserta konvoi yang melanggar undang-undang jalan raya. Ada yang buat aksi Superman. Ada yang wheelie. Ada yang suka rem enjin (akhirnya tertangkap). Ada pula sengaja berhentikan pengguna jalan lain. Tidak kurang yang sukalanggar lampu isyarat, dan berlagak samseng.
Kalau anda cinta aktivi konvoi, menungganglah secara berhemah dan bertanggungjawab serta beradab supaya menjadi contoh kepada mereka yang mahu bermotosikal. Kalau tunjuk perangai beruk, habis semua peserta konvoi dicop beruk.
Kita hendak enjoy menunggang bersama rakan, menikmati makanan sedap dan sebagainya. Bukan hendak merengkok dalam penjara atau liang lahad.
Antara masalah lain sering timbul adalah nafsu hendak tunjuk power sesama sendiri. Jika wujud individu seperti itu, marsyal mesti bertegas dan menegur mereka (secara baik). Tempat berlumba hanya di litar dan bukan di jalan raya awam yang dikongsi bersama pengguna lain. Jangan jadikan konvoi sebagai sebagai Ulu Yam TT atau Karak GP.
12. Pastikan Cukup Sifat
Perkara ini sepatutnya dijelas awal, tetapi kita tidak mahu campur aduk. Setiap peserta hendaklah memastikan motosikal sendiri dalam kindisi terbaik. Janganlah ikut konvoi kalau motosikal bermasalah kerana ini menyusahkan dan membahayakan peserta konvoi lain.
Selain itu, pastikan bahawa anda cukup rehat sebelum konvoi keesokan hari. Jangan pula pergi karok sampai tengah malam walhal perlu bangun awal esok pagi. Lagi satu, pastikan cukai jalan dan insurans, termasuk lesen memandu belum tamat tempoh. Paling penting, pakailah sut menunggang lengkap ketika berkonvoi.
BACA >>>Â Mekanik MotoGP dari Malaysia Ini Kongsi 3 Tip Penting Persediaan Motosikal
KESIMPULAN
Begitulah sedikit sebanyak tip asas yang boleh kami kongsikan. Masih banyak lagi, tetapi nanti tiada kesudahan pula artikel ini. Apapun, harap anda berdisiplin dan selamat. Selamat berkonvoi!
Leave a Reply