SELURUH Malaysia hari ini kecoh dengan skandal lori kebal melibatkan 24 penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang yang diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk direman selama tujuh hari hingga 23 April ini.
Semua pegawai penguat kuasa JPJ Pulau Pinang itu, daripada gred 19 hingga 32, dipercayai menerima bayaran berjumlah RM10,000-RM32,000 secara bulanan sebagai habuan untuk tidak mengambil tindakan ke atas pemandu lori, termasuk membocorkan maklumat operasi JPJ supaya tidak ditangkap.
Malah, difahamkan, 24 penguat kuasa JPJ yang ditahan itu adalah sebahagian daripada 75 pegawai badan Kerajaan itu yang dipantau SPRM setakat ini.
BACA >>> Menteri Pengangkutan: Tiada Lagi Diskaun Saman JPJ, I Don't Care!
Selain membocorkan maklumat operasi, kumpulan 'lori kebal' itu dikatakan dilindungi menggunakan pelekat khas yang hanya dikenali dan difahami penguat kuasa terbabit.
Seramai 30 lelaki tiba di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang jam 10.40 pagi dengan diiringi lebih 10 pegawai SPRM. Semalam, 33 individu ditahan, termasuk 24 penguat kuasa JPJ sebelum tiga wanita dibebaskan atas jaminan SPRM hari ini, lapor HMetro.
Menurut kenyataan SPRM, suspek dipercayai melindungi pemandu lori atas pelbagai kesalahan jalan raya, terutama yang membawa lebihan muatan sekitar Pulau Pinang. Selain penguat kuasa, tahanan lain terdiri daripada lapan individu, termasuk tiga wanita sebagai orang awam yang berperanan sebagai proksi, tonto dan pemilik syarikat.
Sebelum itu, pagi tadi bas SPRM yang membawa 30 individu untuk proses reman di Mahkamah Majistret Georgetown dilaporkan terbakar. Bas dalam perjalanan dari Bayan Baru ke Georgetown itu dikatakan mengalami kerosakan di enjin dan terbakar di tepi Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.
BACA >>> Menteri: JPJ, Majlis Bandaraya Akan Diberikan Kuasa Lupus Kereta Terbiar Lama
Bagaimanapun, tiada kecederaan berlaku, dan semua suspek kemudian dibawa menaiki 10 kereta ke Mahkamah Majistret Georgetown.
mirul says
sila tangkap juga pemberi rasuah..!