KERAJAAN kelmarin mengumumkan beberapa penyelesaian tol di empat lebuh raya bertol di Lembah Klang membabitkan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.
BACA >>> 4 Lebuh Raya Akan Beri Tol Percuma 11PM - 5AM, Ada Caj Kesesakan Waktu Puncak!
Daripada pengumuman itu, dapatlah disimpulkan, Kerajaan akan berikan:
- Tol PERCUMA pada waktu bukan puncak - 11pm- 5am.
- Caj KADAR BIASA pada waktu puncak - 6 jam (masa belum ditetapkan).
- Diskaun 30 PERATUS pada waktu biasa (masa belum ditetapkan).
Jadi sebagai contoh, jika memasuki Plaza Tol Pantai di SPRINT, kadar tol kenderaan kelas 1 ialah seperti berikut:
- RM2.50 - waktu puncak.
- RM1.75 sen - waktu biasa (diskaun 30 peratus).
- PERCUMA - 11pm - 5am.
Bagaimanapun, muncul pelbagai kritikan demi kritikan tentang penyelesaian tol tersebut yang didakwa seperti acuh tidak acuh saja. Adakah langsung tiada yang positif? Adakah penyelesaian baharu itu mampu melegakan kos sara hidup pengguna atau secara tidak langsung menyuraikan trafik, dan pada masa sama tidak menjejaskan kos penyelenggaraan. Ini termasuk tidak membebankan pihak konsesi pengurusan tol yang khabarnya akan diuruskan Gamuda, dan kewangan Kerajaan sendiri.
Di bawah ini kami senaraikan fakta, cadangan, kritikan, dan pujian tentang cadangan caj tol fleksi dan percuma tengah malam dalam bentuk poin ringkas supaya pembaca semua dapat berfikir secara rasional, matang dan relaks dalam usaha menambah baik kehidupan kita bersama di bandar.
1. Tol mengikut caj kesesakan bukan perkara baru, antara bandar yang mengenakan caj seperti ini ialah Singapura, London (UK), San Diego (Amerika Syarikat), Stockholm (Sweden), Milan (Itali) dan banyak lagi.
2. Objektif caj kesesakan setiap bandar berbeza. Milan misalnya mengenakan caj kesesakan untuk menambah baik kualiti udara bandar tersebut. Malah, kenderaan elektrik (EV) tidak dikenakan caj sama. Menarikkan?
3. Asasnya, caj kesesakan dibuat untuk mengurangkan kesesakan dengan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam, terutama pada waktu puncak. Nak jimat, naiklah pengangkutan awam, tapi pengangkutan awam kena cukup dan efisienlah.
4. Caj kesesakan tidak semestinya melalui lebuh raya bertol, boleh jadi laluan masuk ke satu-satu bandar. Sebagai Contohnya, Kerajaan buat pondok tol caj kesesakan di Pintu Gerbang Darul Ehsan untuk siapa saja yang hendak masuk ke Kuala Lumpur dari arah Klang (contoh je tau).
BACA >>> Lebuh Raya Trans Jawa (Seperti PLUS) di Indonesia Hampir Siap, Caj Tol RM138
5. Dalam isu terbaharu Malaysia, kami rasa caj kesesakan yang dirancang itu bukan dibuat untuk mengurangkan kesesakan bandar dalam erti kata sebenar, tetapi lebih kepada perubahan skema pembayaran tol yang lebih fleksibel daripada caj tol sedia ada, lebih-lebih lagi selepas Kerajaan baharu, Pakatan Harapan terikat pada janji manifesto.
6. Kalau ambil pendirian positif, Kerajaan cuba menawarkan alternatif, dan bantuan untuk sekurang-kurangnya melegakan kos sara hidup rakyat walaupun mungkin tidak dapat memuaskan hati semua kumpulan pengguna.
7. Jika berpendirian pesimis pula, kita mungkin hanya nampak golongan 'kupu-kupu malam' sebagai kumpulan pekerja yang paling banyak meraih manfaat. Padahal tol percuma jam 11pm- 5am turut dinikmati golongan pekerja kelas marhaen lain. Kita ada pekerja yang berkhidmat dalam bidang kawalan keselamatan, logistik, media, khidmat pelanggan 24-jam, hospital, makanan dan lain-lain.
8. Dari segi lain, kami rasa caj fleksi waktu puncak ini selamat untuk golongan wanita yang bekerja malam (atau syif). Mereka nanti akan dapat berkereta ke tempat kerja dengan selamat. Mungkin sebelum ini terpaksa bermotosikal atas alasan tiada bajet tol.
9. Manfaat tol percuma malam tidak semestinya dinikmati untuk haluan pergi dan balik. Ada yang sinis mengatakan kita perlu masuk tol sebelum jam 5 pagi dan melepak selepas habis kerja 5 petang sampai jam 11 malam semata-mata nak dapat caj free sebelah malam. Hmm...
10. Padahal dapat tol percuma sehala (sebelah pagi atau malam) pun sudah dapat mengurangkan kos belanja. Kalau sebelum ini kena belanja RM50 untuk tol, sekarang sudah kurang separuh, RM25. Lainlah kalau masih bertabah nak juga balik jam 11 malam selepas habis kerja jam 5 petang.
11. Golongan terbanyak tidak dapat manfaat, terutama yang masuk kerja dan balik waktu puncak sebab caj tol kekal macam biasa. Tetapi kepada mereka yang masuk kerja waktu biasa, anda akan dapat manfaat diskaun 30 peratus.
12. Ini mungkin menggalakkan sektor swasta kecil supaya menganjalkan waktu kerja di luar waktu puncak supaya pekerja mereka boleh mendapat manfaat diskaun tol 30 peratus.
13. Ada yang risau, situasi ini mendedahkan kepada gejala sosial. Seperti kita tahu, hal-hal hiburan 'gelap' ini selalu beroperasi ketika tengah malam. Bukankah ini mendedahkan anak muda kepada aktiviti sosial malam? Ada rasional jugakan?
14. Ada berpendapat, sepatutnya caj lewat malam digandakan. Ini kerana pengguna seperti pekerja malam ada laluan alternatif tanpa tol yang kurang sesak. Lagipun, jam 11 malam bukankah masing-masing patut bersama keluarga di rumah (sudah jam 11 malamkan?).
15. Perkara membimbangkan, cara bayaran baharu ini bakal menjejaskan kutipan tol, atau pendapatan syarikat pengurusan (Gamuda). Kekurangan pendapatan adalah munasabah jika mengambil kira tiada bayaran tol pada waktu bukan puncak, dan diskaun 30 peratus pada waktu biasa.
BACA >>> Kerajaan Akan Lantik Jururunding Audit untuk Analisis Cadangan Hapus Tol (Ye Ke?)
16. Disebabkan kurang pendapatan, maka kuranglah perbelanjaan. Dan apabila kurang perbelanjaan, kuranglah kos pengurusan dan penyelenggaraan. Ini secara tidak langsung berkait rapat dengan jumlah pekerja yang akan dikurangkan. Jika sebelum ini ada 3 syif petugas peronda malam, mungkin selepas ini cuma seorang. Tiada lagi petugas pondok tol malam. Kalau dulu, tampal jalan berlubang dibuat sepantas dua jam, mungkin selepas ini perlu tunggu tempoh 24 jam.
17. Tempoh pinjaman atau beban hutang akan jadi lebih lama kerana pengambil alihan syarikat konsesi turut membabitkan aspek kewangan seperti bayaran balik pinjaman bank untuk membina lebuh raya. Tetapi Kerajaan sudah memaklumkan segala kos lebuh raya tidak lagi melibatkan dana Kerajaan.
18. Fakta yang harus diketahui, pemansuhan bayaran tol sepenuhnya di empat lebuh raya seperti dimaklumkan boleh dianggap hampir mustahil dilaksanakan.
19. Apa yang perlu pembaca faham, sebahagian besar perolehan tol sebenarnya digunakan untuk kos penyelenggaraan dan selebihnya pengurusan. Desas-desus atau cakap-cakap bahawa syarikat konsesi mahu buat untung tinggi menerusi tol ialah persepsi yang disemai dalam minda pengguna dan lebih berbaur politik.
20. Di banyak negara, misalnya paling terdekat Indonesia, hal lebuh raya bertol tidak pernah dipolitikkan. Sebabnya, masing-masing faham urusan perkhidmatan jalan raya ini ada hitam putih, segala kos perbelanjaan ada penyata yang perlu didedahkan dan ada pula proses audit dibuat setiap tahun. Kita boleh kritis dalam menentang kepincangan dan ketirisan pengurusan, tetapi jangan bengap dan memperlekehkan profesionalisme. Jangan terlalu hasad, dan begitu senang senang melabel semua orang begitu mudah menerima rasuah.
21. Walaupun tempoh konsesi tamat, dan lebuh raya akan diambil alih Kerajaan menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Kerajaan ada hak sama ada mahu menghapuskan tol atau mengekalkan tol pada kadar yang difikirkan sesuai.
22. Keputusan menanggung sepenuhnya tol, bermakna kos belanja JKR (Kerajaan) meningkat. Jadi ini mempengaruhi sistem percukaian. Ada kemungkinan cukai jalan (inilah sebab ada cukai jalan) dinaikkan, atau cukai baharu diperkenalkan.
BACA >>> Touch ‘n Go eWallet: Daftar Kad TNG, dan Guna Baki e-Dompet untuk Bayar Tol DUKE
23. Ataupun JKR/LLM sendiri akan melaksanakan sendiri sistem tol baharu dengan kadar munasabah. Mungkin lebih murah daripada caj konsesi kerana kos pengurusan seperti gaji pekerja kali ini ditanggung Kerajaan Pusat (belanja Kerajaan pula bertambah).
24. Apapun, tol atau cukai tetap akan ada. Ini bukan kami cakap, Menteri Kerja Raya sendiri yang cakap. Mengharapkan tol percuma tanpa ada imbal balik dari segi bayaran cukai adalah tidak munasabah dalam dunia moden hari ini yang serba materialistik.
Mohd Fuad Abdullah says
Lps ni lebih ramai naik moto elak tol & jem... jgk RON95 di apungkan... Golongan M40 akan semakin tererumus menjadi B40... maka ekonomi akan menjadi sgt pelahan.. sbb zaman dahulu hanya ada 2 golongan.... kaya vs miskin... maka kembali kita ke zaman dahulu... penting kod ekonomi utk kita ada ramai golongan menengah rendah & menengah atas... jika tidak dilakukan sesuatu maka buruk padahnya nanti