INDUSTRI automotif sentiasa berada dalam ketidaktentuan pasaran. Ada banyak faktor mempengaruhi seperti trend semasa, perkembangan teknologi, ekonomi domestik, politik antarabangsa dan macam-macam hal lain. Tiada mana-mana pengeluar yang berani mendabik dada bahawa mereka kebal daripada kemerosotan.
Perkembangan industri autmotif di Korea Selatan ialah contoh paling realistik untuk direnungkan. Pengeluaran kenderaan di negara itu merosot buat tahun ketiga berturut-turut, sekali gus mencetuskan kegusaran dan tekanan ke atas pembekal komponen domestik. Malah, pengeluar gergasi seperti Hyundai Motor mula memindahkan fasiliti pengeluaran ke luar negara.
BACA >>> Diplomasi Volvo Lembutkan Korea Utara, Pyongyang Berhutang Lebih RM1.5b Kepada Sweden
DI ATASI CHINA DAN INDIA
Tahun lalu, jumlah kereta dihasikan di Korea Selatan cuma 4.03 juta unit, merosot daripada 4.66 juta kenderaan pada 2011, menurut data didedahkan Persatuan Pengeluar Automobil Korea (KAMA).
Sejak beberapa tahun Korea Selatan selesa di puncak sebagai antara pengeluar automobil terbesar dunia, cuma di belakang Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Jerman. Bagaimanapun, tempat itu diatasi China dan kemudian India sebelum kini hampir menyerah kalah kepada Mexico, menurut akhbar tempatan, Maeil Business News Korea.
Hyundai Motor, yang mengawal 70 peratus pasaran kereta domestik bersama subsidiari Kia Motors, kini mula memindahkan barisan pengeluaran ke Mexico dan India. Malah General Motors (GM) turut menutup kilang di bandar Gunsan, barat daya Korea.
Situasi itu nyata membimbangkan pembekal komponen dan entiti yang bergantung kepada Hyundai Motor. Perang dagangan AS-China, dan kos penyelidikan teknologi baharu seperti kenderaan autonomi, perkongsian kenderaan, tram dan kenderaan saling hubung dipercayai menjadi punca kepada situasi kurang menyenangkan itu.
GAGAL SAING PAKATAN AUTOMOTIF
Malah, banyak pengeluar utama mula membentuk pakatan yang gagal disaingi Hyundai. Pada 2018, pracukai dan keuntungan Hyundai merosot 47 peratus kepada 2.42 trilion won (RM8.7 bilion) buat tahun keenam berturut-turut, berikutan kejatuhan eksport AS yang cuma meningkat 1 peratus kepada 97 trilion won (RM350 bilion)
Hyundai mengeksport 60 peratus kereta domestik ke Amerika Utara, Eropah dan Timur Tengah. Disebabkan banyak pasaran luar merosot, ini secara tidak langsung menjejaskan keuntungan kilang komponen dan barisan pengeluaran di Korea Selatan. Malah jualan eksport kereta Korea jatuh kepada paras paling rendah, hanya menyumbang 10 peratus daripada keseluruhan eksport negara.
BACA >>> Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi Paling Laris di Dunia (2017), Tewaskan Volkswagen
Disember tahun lalu, pembekal stereng kelas pertama kepada Hyundai membuat permohonan perlindungan bangkrap. Lebih awal sebelum itu, dua pembekal Hyundai yang bertanggungjawab atas pembuatan komponen dalaman dan transmisi turut memohon perlindungan bangkrap.
RANTAIAN PEMBEKAL TERJEJAS
Leehan, pengeluar ventilator udara juga menanggung kerugian dan terpaksa distrukturkan semula dan diletakkan di bawah pengurusan bank. Kecuali Kumho Tire yang dijual kepada syarikat China tahun lalu, semua pembekal Hyundai turut berdepan masalah serius. Media Korea mendakwa ini kali pertama banyak pembekal Hyundai mengalami kerugian besar selepas krisis kewangan 2008.
"Kitaran permohonan bangkrapsi menunjukkan krisis dalam industri auto Korea sedang melebar," menurut Maeil Business Newspaper .
Dianggarkan ada 840 pembekal tingkat pertama (first-tier), 8,000 kedua dan ketiga yang bekerjasama dengan pengeluar automotif di Korea Selatan. Malah, Hyundai Motor sendiri memainkan peranan besar terhadap 80 peratus jualan pembekal kelas pertama.
Ini kerana Hyundai Motor menggunakan kedudukannya sebagai konglomerat nombor satu Korea Selatan untuk memaksa pembekal mengurangkan kos. Ini berbeza dengan pengeluar Jepun yang memilih bekerjasama dengan pembekal, dan berkongsi keuntungan jika perkembangan teknologi atau pemotongan kos menunjukkan hasil positif.
BACA >>> Anugerah Majalah Top Gear: Hyundai Diiktiraf Pengeluar Automotif Terbaik 2018
Sebaliknya, di Korea Selatan, pembekal tidak menerima galakan itu dan berdepan banyak kekangan, sekali gus menyekat mereka daripada bekerjasama dengan pengeluar asing. Toyota Motor misalnya, menggalakkan pembekal bekerjasama dengan pengeluar lain dan tidak hanya bergantung kepada satu-satu pengeluar sahaja. Contohnya, pembekal kompresor penyaman udara, boleh saja membekalkan alat ganti itu untuk Proton, Perodua dan Toyota atau mana-mana pengeluar pun. Tetapi ini tidak dilakukan pengeluar Korea.
Kini, cuma masa akan menentukan ke arah mana hala tuju industri automotif Korea pada masa depan. Adakah masih ada sinar, ataupun dirundung gerhana?
SUMBER: PulseNews
Leave a Reply