INI bukan Hikayat Ben Ladin tetapi kisah pembuli jalan raya yang sering kali kita baca dalam laman sosial Facebook atau Twitter. Sejak kebelakangan ini ada macam-macam kes kekerasan melibatkan pengguna jalan raya. Kadangkala hanya sedikit kesilapan dan perselisihan kecil, tetapi sampai boleh mengakibatkan pergaduhan besar.
Semalam kami terbaca status rakan Facebook yang bercerita pasal pengalamannya dibuli pemandu Mercedes-Benz. Katanya, insiden berlaku selepas dia menekan hon sebagai amaran kepada pemandu itu yang buat pusingan-U mengejut hingga mereka nyaris kemalangan. Tidak berpuas hati dengan tindakan itu, pemandu Mercedes-Benz tersebut memandu di depan kenderaannya dan sengaja menekan brek banyak kali sambil menunjukkan isyarat lucah.
BACA >>> Tip Melawan Penjenayah Jalanan, Sila Genggam Kunci Kereta Anda Sekarang!
Itu cuma sebahagian insiden melibatkan rakan terdekat. Faktanya ada banyak kerenah pemandu jalan raya di luar sana. Jika kita sendiri berdepan situasi sama, apakah tindakan yang akan dibuat? Adakah hanya pasrah atau bertindak balas kerana anda di pihak benar.
Ini cadangan kami untuk elak sebarang drama tidak diingini berlaku.
1. SENTIASA JAGA JARAK KERETA DEPAN
Ini mungkin salah satu penyelesaian bersifat pencegahan yang harus dibuat pada bila-bila masa. Menjarakkan kenderaan sendiri dengan kenderaan di depan dapat meminimumkan kecelakaan. Apa yang penting ialah jaga emosi supaya tetap tenang ketika memandu kerana anda sendiri faham dengan sikap tipikal pemandu di Malaysia yang sukar diduga.
Ada agresif, angkuh, tidak beri signal, suka menyelit, dan membrek pada saat akhir, termasuk membrek bila-bila masa walaupun jarak kenderaan di depan masih jauh.
BACA >>> 5 Tip Ringkas untuk Penunggang Bandar, Siap Sedia Hadapi Cabaran
Seperti kes pemandu Myvi (2017) yang dipercayai memotong Q ketika menukar lorong sebelum tiba-tiba memotong semula barisan ke lorong lurus. Mangsa sempat membunyikan hon kereta selepas pemandu tersebut memperlahankan kenderaan dibawanya secara sengaja untuk memotong barisan. Tindakan mangsa itu menyebabkan si pemandu samseng naik marah dan memandu secara berbahaya sebelum membrek mengejut di depan keretanya.
2. PASANG KAMERA PEMUKA (DASHCAM) ATAU RAKAM VIDEO
Ini perkara biasa apabila berlaku kemalangan. Pertengkaran akan berlaku dan masing-masing saling menyalahkan. Situasi seperti itu perlukan bukti kukuh dan jika anda ada dashcam ataupun perakam, ia dapat membantu siasatan polis. Peranti dashcam kini semakin banyak, murah dan mudah didapati.
Anda boleh terus sambungkan kepada kenderaan dan aktifkan secara automatik setiap kali memandu. Bagi motosikal, anda mungkin boleh merancang membeli action cam dan dipasangkan pada mounting helmet. Antara model popular ialah GoPro.
3. INGAT NOMBOR PENTING
Ini bukan nombor plat kenderaan kemalangan untuk ke kedai 4D, tetapi nombor kecemasan. Apabila terlibat kemalangan yang berpotensi mencetuskan pergaduhan fizikal atau reaksi emosi melampau, lebih baik panggil polis sebagai orang tengah. Ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
BACA>>>5 Tip Asas Pemanduan Selamat (Bukan untuk Balik Raya Saja)
4. BERSIKAP GENTLEMAN DAN COOL
OK, ini paling sukar dalam kes pembuli jalan raya. Kenapa? Ini kerana pemandu angkuh dan agresif akan memilih untuk memaki hamun terlebih dahulu sebelum dapat berfikir waras. Ingatlah, jika orang yang anda hadapi itu lebih tua atau berkeluarga, bersikaplah dewasa atau gentleman kerana tiada kurangnya martabat anda jika mengaku kesalahan sendiri.
BACA >>> #ApaNakBuat: Alamak, Ada Kemalangan! Cepat Lakukan 10 Perkara Ini!
Tiada guna meledakkan emosi meskipun apa yang berlaku bukan kesalahan anda. Tetap cool dan selalu berdepan lawan dengan nada suara normal dan bukan menengking seperti mana kes Kiki vs Uncle (video atas), 4 tahun lalu.
5. JANGAN SAMA IKUT EMOSI
Di jalan raya, ada saja pemandu yang memandu agresif bak berlumba di litar sambil menyelit di celahan kenderaan. Memang dalam hati timbul rasa panas dan mahu buat ‘pembalasan’. Itu lumrah, tetapi kita sebenarnya ada dua pilihan: ikut serta atau diam dan memandu seperti biasa. Kembalilah kepada diri sendiri kerana jika turut serta, masalah akan menyusul.
6. BUAT REPOT POLIS
Jika berdepan pembuli jalan raya seperti rakan kami itu, jangan bimbang dan gusar. Pandu macam biasa walaupun kenderaan itu mengekor rapat. Jika tiada dashcam, minta rakan sebelah rakamkan video dan catat nombor pendaftaran kenderaan tersebut. Kemudian pergi balai polis berhampiran untuk buat repot.
Leave a Reply