TOYOTA Motor Philippines baru-baru ini melancarkan model Vios serba baru untuk pasaran negara itu dan kebetulan pula model segmen-B diberikan rating 5-bintang dalam ujian perlanggaran Asean NCAP yang dijalankan pada suku keempat tahun lalu.
Toyota Vios kali pertama menjalani sesi ujian rasmi Asean NCAP pada 2012. Pada masa itu, Vios cuma meraih rating 4-Bintang untuk Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) dan rating 2-Bintang untuk kategori Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP).
BACA >>> Toyota Vios (2018) Baharu Mirip Yaris Ativ?
Asean NCAP ketika itu juga mempunyai sistem rating berbeza dan tiada skor kumulatif keseluruhan yang terbahagi kepada tiga kategori utama, termasuk Teknologi Bantuan Keselamatan (SAT).
Kali ini, skor dicapai Vios ialah di bawah protokol 2017-2020 (paling terkini) dengan jumlah keseluruhan 81.63 mata. Jika dipecahkan, skor yang diraih ialah: 44.70 mata (AOP), 21.66 mata (COP) dan 15.28 mata (SAT).
Model Vios yang diuji itu dilengkapi 7 beg udara dan ciri keselamatan aktif seperti amaran tali keledar untuk penumpang depan, Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), kerusi ISOFIX dan pautan atas/top tether. Menariknya, semua ciri tersebut diberikan sebagai standard untuk semua varian! Wow!
Selain Filipina, Vios serba baru ini juga bakal dilancarkan di Indonesia. Berdasarkan tinjauan kami ke laman web Toyota Astra, pengeluar itu sudah pun meletakkan pautan brosur Vios baru ini, tetapi cuma spesifikasi asas didedahkan, manakala maklumat tentang harga dan ciri keselamatan masih rahsia.
BACA >>> Toyota Vios (2018) Versi Kemas Kini dengan Ekstra Aksesori, Harga Serendah RM74k!
Di Thailand pula agak pelik kerana rekabentuk Vios serba baharu (seperti Filipina dan Thailand) ialah milik Yaris Ativ. Sebaliknya model Vios masih mengekal rekabentuk model generasi 3 (seperti Vios di Malaysia sekarang).
Apakah pelancaran di Fipilina itu menandakan Malaysia juga akan turut sama memperkenalkan Vios serba baru pada tahun ini?
Sebelum itu, kita tonton dulu video ujian perlanggaran Asean NCAP yang melayakkan Vios serba baru mendapat skor 5-bintang.
SUMBER: CarmudiInsider
Leave a Reply