TALI keledar ialah salah satu ciri keselamatan kereta paling penting yang terbukti mampu menyelamatkan nyawa. Menurut Pentadbiran Keselamatan Lalulintas Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA), statistik di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan penggunaan tali keledar menyelamatkan lebih 15,000 nyawa setiap tahun di negara itu.
Di sebalik keberkesanan, masih lagi ada pengguna jalan raya tidak mempedulikan pemakaian tali keledar ketika memandu. Pernahkah anda tertanya bilakah dan kenapa tali keledar dicipta? Artikel ini akan berkongsi sejarah ringkas tentang tali keledar.
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Bas Tidak Wajib Pasang Tali Pinggang Keledar?
Dalam sejarah automotif, jurutera Inggeris, George Cayley layak digelar sebagai bapa tali keledar. Beliaulah orang pertama memperkenalkan ciri itu pada lewat 1800-an yang dicipta untuk mengikat juruterbang pada kerusi kokpit. Memang masuk akal kenapa Cayley merekacipta tali keledar untuk juruterbang kerana beliau sendiri ialah seorang pereka dan jurutera aeronautik.
Pada 1885, Edward Claghorn menjadi individu pertama mempatenkan tali keledar untuk keselamatan pelancong yang melawat New York ketika dalam kenderaan. Bagaimanapun, keperluan tali keledar masih tidak begitu dititik beratkan pada masa itu.
Menjelang lewat 1920-an dan awal 1930-an, kemalangan melibatkan kereta di AS meningkat mendadak kira-kira 30,000 nahas. Ini menyebabkan kumpulan profesional perubatan tampil mendesak sesuatu dilakukan untuk menangani isu berkenaan.
Jadi, pada pertengahan 1930-an, satu ujian tali pinggang riba (lap belt) dilakukan untuk menguji tahap keberkesanan ciri keselamatan itu. Hasilnya, kajian menunjukkan pemakaian tali pinggang memang penting untuk keselamatan pemandu ketika berlaku kemalangan jalan raya.
Profesional perubatan kemudian menggesa pengeluar automotif menghasilkan tali keledar sebagai ciri standard untuk semua kereta. Namun, memakai tali keledar ketika memandu masih bukan menjadi amalan kebanyakan pemandu pada era itu.
BACA >>> IIHS Tunjuk Video Demo Ujian Perlanggaran Akibat Kemalangan Langgar Lampu Isyarat
Pada 1954, Sports Car Club of America (SCCA) mensyaratkan pelumba memakai tali pinggang. Jadi bolehlah dikatakan pelumba AS sebagai kumpulan pemandu pertama yang diwajibkan memakai tali keledar. Setahun kemudian, pada 1955, Persatuan Jurutera Automotif (SAE) melantik Jawatankuasa Tali Keleder Kenderaan Motor (MVSBC) pertama. Tahun itu juga menyaksikan California menjadi negeri pertama di AS yang menetapkan ciri tali pinggang keledar untuk semua kereta baharu. Beberapa tahun kemudian, tali keledar 2 poin diperkenalkan.
NILS BOHLIN - BAPA TALI KELEDAR MODEN
Tali keledar yang kita kenali hari ini kali pertama dilihat pada 1958, hasil rekaan jurutera Sweden, Nils Bohlin. Beliau dilantik Volvo dengan tugasan merekacipta tali keledar khas untuk keselamatan kereta jenama itu. Hasilnya, lahirlah tali keledar 3 poin, sama seperti tali keledar yang ada pada kereta moden hari ini. Tali keledar 3 poin kali pertama diperkenalkan Volvo pada 1959.
BACA >>> #Videotomotif: Inilah Sebab Kenapa Mesti Pakai Tali Keledar Belakang
Volvo kemudian memutuskan untuk tidak mempatenkan rekacipta Bohlin dan bebas digunakan secara percuma, sesuatu yang mengagumkan kerana pengeluar Skandinavia itu boleh saja mengaut keuntungan besar-besaran menerusi hak paten. Sebaliknya Volvo memilih berkongsi rekacipta tersebut kepada umum.
Bohlin meninggal dunia pada 2002 dan menurut Volvo, rekacipta jurutera itu sudah menyelamatkan lebih sejuta nyawa. Apa akan jadi sekiranya Volvo berkeras enggan berkongsi idea tentang teknologi tali keledar 3 poin? Sudah pasti ia akan mengubah cara kita berfikir tentang keselamatan kenderaan.
lolsomany says
#volvobukanapple