WALAUPUN usia model ini semakin meningkat, pemilik dan bakal pembeli nyata berpuas hati dengan model sedan pacuan semua roda (AWD) ini. Kelompok penggemar ini jenama ini juga tampak begitu positif.
Seperti model terdahulu yang dibina berasaskan Impreza, WRX STI (2019) bakal tampil dengan badan dan platform baharu. Pembeli sedan ini nampaknya berpeluang mendapatkan sesuatu yang cuma terhad untuk model 2018, iaitu lebih kuasa!
Tetapi, peningkatan kuasa itu tidaklah ketara, jadi janganlah terlalu mengharap.
BACA >>> Subaru STI Rai Ulang Tahun ke-30 - Antara Divisyen Prestasi Paling Digeruni
Dokumen dekoder nombor pendaftaran kenderaan (VIN) untuk model 2019 dihantar ke Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA) daripada Subaru Amerika Utara mendedahkan peningkatan kuasa bagi enjin boxer 4-silinder 2.5L turbo.
Dokumen bertarikh 11 April itu mendedahkan output kuasa sebanyak 310hp, iaitu peningkatan 5hp sahaja berbanding model terdahulu. Enjin boxer 2.0L turbo pada WRX kekal pada kuasa 268hp.
Output kuasa STI (2019) adalah sama seperti STI Type RA edisi terhad, iaitu model yang diumumkan pada 2 April lalu sempena meraikan ulang tahun ke-30 STI (Subaru Tecnica International), yang juga subsidiari Subaru daripada divisyen prestasi dan sukan permotoran. Hanya 500 unit Type RA disediakan untuk pasaran Amerika Syarikat bagi model 2108.
BACA >>> Toyota 86 dan Subaru BRZ Serba Baharu dalam Pembikinan?
Selain ciri ekslusif seperti bumbung gentian karbon, absorber Bilstein, dan sistem kawalan dinamik (VDS) multimod yang diubah suai, model STI Type RA turut dilengkapi ekzos aliran tinggi (high-flow), sistem ambilan besar, dan unit kawalan elektronik (ECU) yang ditala semula untuk lebih impak umpphhh pada halaju akhir. Namun tork masih kekal pada 393Nm.
Belum ada sebarang pengumuman rasmi tentang WRX STI (2019) daripada Subaru. Pasti ramai tidak sabar menanti.
SUMBER: AutoGuide
Leave a Reply