DALAM pasaran kereta baharu masa kini, anda tentu sudah terbiasa mendengar terma Apple CarPlay yang disebut dalam banyak reviu pandu uji kereta. Ciri Apple CarPlay boleh dianggap sebagai daya penarik baru yang ditawarkan pengeluar automobil kepada sasaran bakal pembeli kereta hari ini. Tetapi, tahukah anda apakah itu Apple CarPlay dan sejarahnya?
Apple CarPlay sebenarnya ialah cara terbaik menggunakan telefon bebas tangan dengan menyediakan integrasi terbaik berbanding Bluetooth. Hampir semua kereta baharu yang menawarkan Apple CarPlay didatangkan dengan skrin sentuh yang membolehkan pengguna melihat paparan diberikan itu sama seperti telefon pintar mereka.
BACA >>> Apple Patenkan Teknologi Kurangkan Gangguan Telefon Ketika Memandu Guna Jam Tangan
Malah, pengguna bukan saja boleh membuat panggilan, tetapi juga boleh menggunakan aplikasi navigasi, pesanan mesej dan aplikasi lain yang membolehkan anda menggunakan diktasi suara, Spotify dan perkhidmatan strim muzik.
Bagi kebanyakan pengeluar automobil, Apple CarPlay dianggap sebagai penyelamat kerana membantu mereka menyediakan fungsi navigasi dan menyelenggara perisian itu. Walaupun pembeli bukan pemilik peranti Apple tidak berpeluang menikmati kelebihan navigasi tersebut, tetapi rata-rata pengeluar turut sama menawarkan ciri Android Auto, yang dikhaskan buat pengguna Android (akan dijelaskan dalam artikel lain).
MUDAHKAN PENGELUAR AUTOMOTIF
Jadi, ciri ini diakui dapat memberi banyak kelebihan kepada pengguna dan pengeluar. Namun, tidak semua syarikat kereta senang hati dengan kewujudan Apple CarPlay. Sesetengahnya, enggan menerima ciri itu untuk produk mereka dan Toyota adalah salah satu daripadanya.
BMW juga antara pengeluar yang keberatan menggunakan ciri tersebut. Ini kerana pengeluar kereta mewah itu sudah sedia melabur begitu banyak masa, tenaga dan wang untuk membangunkan sistem infotainment sendiri, yang dipanggil iDrive dan sentiasa konsisten menaik taraf sistem tersebut dari semasa ke semasa.
Ironinya, Apple CarPlay muncul daripada kerjasama antara Apple dan BMW sebelum didedahkan kepada umum pada Pameran Motor Geneva 2014.
BACA >>> Apple Upah Jurutera GPS Pertingkat Kualiti Navigasi
SEJARAH RINGKAS APPLE CARPLAY
Apabila Apple iOS 4 dilancarkan pada 2010, Apple memperkenalka perisian khas tambahan dipanggil 'iPod Out' yang membenarkan asas antaramuka utama disuapkan daripada peranti Apple ke unit infotainment kereta menerusi kabel sambungan yang turut disertakan fungsi kawalan 2-hala. Ciri inilah yang kemudian menjadi tulang belakang kepada cara bagaimana Apple CarPlay bekerja hari ini.
Bilakah bermula?
Pada masa itu (2010), BMW Technology USA, yang terletak tidak jauh daripada ibu pejabat Apple, melihat ada peluang untuk mereka sama-sama membangunkan ciri bebas tangan bersepadu bersama Apple dalam apa yang dikenali dunia hari ini sebagai Apple CarPlay.
Namun, apabila dilancarkan secara rasmi, BMW memutuskan tidak mahu dikaitkan dengan Apple dalam pembangunan ciri baharu itu. Malah, agak mengejutkan apabila pengeluar automobil dari Jerman itu menyatakan tidak akan memuatkan ciri Apple CarPlay dalam sistem infotainment kenderaan mereka.
Pada 2015, Ferrari FF menjadi model kereta pertama memuatkan ciri Apple CarPlay sebelum disusuli lebih 100 jenama kenderaan lain. Kemudian, BMW sekali lagi membuat pusingan-U apabila kali ini mula melengkapkan Apple CarPlay pada model 5-Series (2017) dan menjadi pengeluar pertama menawarkan konektiviti itu secara wayarles.
Bagaimanakah menggunakan Apple CarPlay dan apakah kelebihan yang ditawarkan ciri itu? Jangan lupa ikuti sambungan artikel kami. 🙂
SUMBER: Practical Motoring
Leave a Reply