TIADA bukti mengenai unsur sabotaj, kebakaran atau letupan dalam tragedi pesawat Sabah Air terhempas yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens serta beberapa anggota Kabinet negeri itu pada 1976.
Laporan tragedi setebal 21 halaman itu sudah dinyah klasifikasi dan dikeluarkan hari ini yang merumuskan punca nahas adalah disebabkan posisi pusat graviti pesawat di luar had buritan pesawat yang menyebabkan kolum kawalan tidak lagi boleh digerakkan ke depan, manakala muncung pesawat terangkat ke atas apabila sayap melepasi 25º ketika hampir mendarat.
Menurut laporan, tiada bukti wujud kerosakan pesawat atau sistem sebelum nahas kerana sudah diselenggara mengikut jadual ditetapkan dan tiada bukti juga keadaan cuaca menyumbang kepada berlaku tragedi berkenaan.
Pemuatan bagi penerbangan itu didapati tidak dilakukan dengan betul hingga menyebabkan kedudukan graviti pesawat di luar had buritan sebagaimana ditetapkan.
"Pergerakan kolum kawalan ke depan adalah bagi menurunkan muncung pesawat atau menghalang daripada terangkat ke atas. Jika hentian depan dicapai ketika muncung pesawat terangkat ke atas, maka sudah pasti berlaku hilang kawalan akibat ketiadaan kelajuan dan kestabilan di udara."
Dalam tragedi itu, juga dikenali sebagai 'Double Six', sebuah pesawat ringan buatan Australia jenis Nomad 9M-ATZ kendalian Sabah Air yang membawa sekumpulan kenamaan dari Labuan terhempas di daerah Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di Sabah pada 6 Jun 1976.
Laporan itu juga menyebut prosedur operasi dilakukan juruterbang syarikat terbabit adalah agak santai dan tidak mematuhi piawaian profesional.
Ada beberapa syarat ditetapkan, iaitu borang muatan perlu disediakan sebelum setiap penerbangan dan satu salinan ditinggalkan. Ini tidak dilakukan bagi penerbangan itu dan sememangnya tidak jelas mana-mana juruterbang syarikat ini pernah berbuat demikian," kata laporan itu.
Pasukan penyiasat diketuai ketua pemeriksa Jabatan Penerbangan Awam, Omar Saman turut mendapati tiada pelan penerbangan IFR (Instrument Flight Rules) dikemuka seperti ditetapkan Manual Operasi bagi penerbangan VVIP.
Adalah jelas banyak prosedur disenaraikan dalam Manual Operasi dilakukan juruterbang terbabit. Selain itu, entri Log Teknikal juga amat teruk hingga menjadikan dokumen itu tidak bermakna," katanya.
Menyentuh perihal juruterbang, laporan mendapati lelaki berusia 42 tahun berkenaan memiliki lesen bagi menerbangkan pesawat tersebut dan tiada bukti menunjukkan dia berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah, kecuali mengambil ubat antimalaria dikenali sebagai klorokuin.
Pada 5 April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan mendedahkan laporan akhir tragedi 'Double Six' itu dibuat selepas mengambil kira tuntutan keluarga waris selain pandangan rakyat Sabah yang mahukan maklumat terperinci mengenai kejadian itu tersebut.
Pada 8 Mac lalu, media melaporkan Mahkamah Tinggi di Sabah memerintahkan Putrajaya mengambil langkah perlu untuk menyah klasifikasi laporan berhubung insiden itu.
Seramai 11 nyawa terkorban dalam tragedi itu termasuk barisan pimpinan kanan Kerajaan Negeri Sabah, iaitu Fuad, Datuk Peter Joinod Mojuntin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah), Datuk Chong Thien Vun (Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah dan Datuk Salleh Sulong (Menteri Kewangan Sabah).
Turut terkorban ialah Datuk Darius Binion (Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah), Datuk Wahid Peter Andau (Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah), Dr Syed Hussein Wafa (Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah) dan Ishak Atan (Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia).
Tragedi itu turut meragut nyawa Koperal Said Mohammad (Pengawal Peribadi kepada Ketua Menteri Sabah), Johari Fuad Stephens (anak kepada Ketua Menteri Sabah) dan Gandhi J Nathan (juruterbang pesawat 9M-FTZ).
BACA >>> Penonton Maut Nahas Litar Dato Sagor, Kerajaan Negeri Teliti Laporan Penganjur
BACA >>> Seorang Maut, Rakan Parah Pesawat Ringan Terhempas Tepi Rumah
SUMBER: Bernama
Leave a Reply