FORD Ranger Raptor menawarkan sensasi tersendiri untuk segmen trak pikap. Ini bukan trak pikap biasa, Raptor ialah model yang menggabungkan prestasi dalam satu pakej. Harga pula bukan biasa-biasa, tetapi kekal mendapat sambutan seperti yang boleh dilihat dalam negara kita.
Beberapa tahun di pasaran, Ford memperkenalkan Ranger Raptor baharu, Februari lalu. Tidak lama kemudian, pengeluar dari Amerika Syarikat (AS) itu melancarkan model tersebut di negara jiran, Thailand, penghujung Mac lalu.
Ranger Raptor baharu dijana enjin 3.0L EcoBoost V6, sama seperti Bronco Raptor. Enjin yang lebih besar juga bermakna kuasa lebih tinggi dengan angka 395hp dan tork 583Nm, atau 286hp dan tork 491Nm untuk pasaran Eropah. Sebagai perbandingan, Ranger Raptor 2.0L EcoBlue Biturbo Diesel berkuasa 211hp dan tork 500Nm.
Mengenai harga, Ranger Raptor pasaran Thailand dijual 1,869,000 baht (RM239,770).
Terbaharu, Ford membuka tempahan Ranger Raptor untuk pasaran Britain. Berapa harganya? Bermula £57,340 (RM316,330) termasuk cukai, manakala penghantaran akan dibuat dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Pengguna Britain turut ditawarkan beberapa pilihan seperti berikut:
- Raptor Splash Decal Pack: £600 (RM3,310).
- Raptor Pack: £1,860 (RM10260) yang terdiri daripada palang kargo belakang dan penutup kargo berkuasa.
- Warna Code Orange (jingga): £720 (RM3,970).
- Warna lain: Arctic White (putih) dan Blue Lightning (biru).
Selain enjin berkuasa, Ranger Raptor menggunakan komponen premium seperti suspensi FOX® Live Valve dan sistem ekzos aktif dengan empat mod untuk pelarasan bunyi berbeza. Pemanduan pula, ada tujuh mod boleh dipilih untuk merentasi pelbagai permukaan muka bumi.
Bahagian dalam, papan pemuka Ranger Raptor ibarat kereta elektrik dengan kluster instrumen 12.4 inci digital sepenuhnya dan unit infotainment skrin sentuh 12 inci.
Bagaimanakah pasaran tempatan? Masih belum kedengaran dan bagaimanakah pula enjin besar 3,000 cc yang menggunakan bahan api petrol? Bolehkah pengguna tempatan menerimanya? Tidak dinafikan pengguna tempatan agak sensitif dengan enjin besar, tetapi ia perkara biasa untuk segmen trak pikap.
Namun, ada laporan mengatakan Ford bakal memperkenalkan Ranger Raptor dengan enjin diesel 2.0L Biturbo di beberapa pasaran terpilih.
BACA >>> Ford Mustang California Special (2022), Sensasi Amerika Kini di Eropah, Harga RM285k
BACA >>> Rumah Tiada Elektrik? Ford F-150 Lightning (2022) Boleh Bantu Cas Sampai 3 Hari!
Leave a Reply