ADA banyak jenama motosikal dunia yang menggunakan singkatan akronim. Setiap satu huruf yang digunakan mengandungi maksud tersendiri, sama ada mewakili pengasasnya atau tempat kelahiran jenama tersebut.
Berikut senarai beberapa pengeluar motosikal yang menggunakan akronim atau kata gembleng:
BACA >>> Hyosung - Jenama Motosikal dari Korea, Pernah Diperkenalkan Sebagai Naza Blade
BMW
- BMW Motorrad adalah antara jenama motosikal premium, tetapi ramai tidak tahu apakah maksud ‘BMW’.
- BMW bermaksud Bayerische Motoren Werke (Bavarian Motor Works). Bukan Best Men Wins, Big Mouth Woman atau Break My Wallet. 😆
- Syarikat itu mula-mula ditubuhkan Bayerische Flugzeugwerke AG (Bavarian Aircraftwork AG) pada 1916 dan berubah kepada BMW pada 1922.
- BMW terlibat dalam pembuatan pesawat terbang hingga Jerman kalah Perang Dunia Pertama (WWI). Pada 1923, BMW menghasilkan motosikal pertama, R 32.
KYMCO
- Jenama Taiwan, Kymco terkenal sebagai pengeluar produk skuter popular di Asia hingga Eropah.
- Kymco bermaksud Kwang Yang Motor Co, ditubuhkan pada 1963 selepas subsidiari Honda Taiwan berpisah daripada syarikat induk Jepun.
- Menjelang 1970, Kymco sudah menghasilkan skuter sendiri dan pada awal 2000-an, pengeluar itu menduduki ranking lima pengeluar skuter terbesar dunia.
- Pada akhir 2000-an, BMW memilih Kymco sebagai pembekal trenkuasa untuk kegunaan beberapa model skuter, khususnya skuter maksi.
TVS
- TVS antara pengeluar motosikal terbesar India dan dunia dengan kapasiti pengeluaran tahunan lebih 4 juta unit. Tiada kaitan dengan stesen televisyen di Malaysia.
- TVS adalah singkatan nama pengasas pengeluar itu, Thirukkurungudi Vengaram Sundram Iyengar. Di India, pengasasnya dikenali sebagai T V Sundram Iyengar.
- Mendiang ialah tokoh perindustrian India yang menubuhkan jenama itu pada 1911 sebagai pembekal pengangkutan di kawasan wilayah.
- Pada awal 2010-an, TVS dan BMW Motorrad menandatangani perjanjian strategik untuk membangunkan motosikal sub-400cc.
- Pada 2016, BMW Motorrad memperkenalkan naked bike G 310 R dan sebelum muncul G310 GS pada 2018. Kedua-dua model itu adalah buatan TVS.
- Pada April tahun lalu, TVS mengambil alih Norton Motorcycles, jenama motosikal ikonik British yang ditubuhkan pada 1898. Kos pengambilalihan dianggarkan bernilai £16 juta (RM90 juta).
KTM
- KTM pernah menjadi antara jenama motosikal paling popular Malaysia beberapa tahun lalu menerusi debut 200 Duke.
- Jenama itu diasaskan jurutera Hans Trunkenpolz pada 1934 di Mattighofen, Austria.
- Pada masa itu, beliau memiliki bengkel kereta kecil iaitu Kraftfahrzeug Trunkenpolz Mattighofen (Motor Vehicle Trunkenpolz Mattighofen), tetapi nama itu tidak didaftarkan.
- Pada 1951, KTM memperkenalkan prototaip motosikal pertama, R100 dan pengeluaran bermula pada 1953.
- Perkembangan itu menarik minat seorang ahli perniagaan, Ernst Kronreif yang kemudian menjadi pemegang saham besar syarikat.
- Syarikat itu ditukar nama dan didaftarkan sebagai Kronreif & Trunkenpolz Mattighofen yang kemudian dikenali sebagai KTM.
CFMOTO
- CFMOTO membuktikan kehebatan sebagai antara pengeluar motosikal terbesar China.
- Sejak 2010, syarikat itu menjadi rakan strategik KTM dan Kawasaki. Antara kerjasama dilakukan adalah membekalkan enjin beberapa model motosikal dan komponen utama kepada rakan bisnes.
- 'CF' dalam akronim CFMOTO berasal daripada Chunfeng, diambil daripada Chunfeng Holding Group (syarikat induk CFMOTO).
- Maksud Chunfeng ialah ‘angin sepoi-sepoi’ (gentle breeze).
BSA
- BSA ialah jenama motosikal yang memiliki sejarah panjang sejak 1861, Birmingham Small Arms Company.
- Pada era itu, firma itu adalah pembuat senjata kecil dan peluru untk kegunaan Empayar British.
- Menjelang 1880, BSA meneroka pembuatan basikal dan menghasilkan motosikal pertama pada 1910.
- Tahun 1919, disebabkan ada permintaan tinggi untuk motosikal, BSA mengembangkan divisyen motosikal menjadi BSA Motorcycles.
- Malangnya, disebabkan pengurusan lemah dan kebangkitan produk Jepun yang lebih diyakini, BSA Motorcycles terkubur pada 1978.
- Pada Oktober 2016, Mahindra Group dari India membeli hak BSA dengan bayaran £3 juta (RM16.89 juta).
- Jenama itu diserap di bawah jenama motosikal Classic Legends milik Mahindra, melibatkan jenama vintaj lain seperti JAWA dan Yezdi.
BIMOTA
- Bimota adalah salah satu jenama motosikal kebanggaan Itali yang memiliki pengikut tersendiri kerana menawarkan kreativiti dalam penghasilkan rekabentuk kompleks. Jenama ini sudah wujud sejak 48 tahun lalu.
- Bimota ialah perkataan yang terbentuk daripada gabungan nama pengasas, Valerio Bianchi, Giuseppe Morri dan Massimo Tamburini.
- Kawasaki Heavy Industries (KHI) kini memiliki 49 peratus pegangan dalam Bimota dan menjadi pembekal trenkuasa untuk pembuatan motosikal moden Bimota.
BACA >>> Saroléa - Jenama Motosikal Belgium Kini Mahu Teroka Segmen Elektrik
BACA >>> Velca - Jenama Motosikal Elektrik Baharu Sepanyol, Perkenal 2 Model Gaya Klasik
BACA >>> #RetroAuto [Siri 1]: Bimota - Walaupun Tidak Hasilkan Enjin, Tapi Pakar Bikin Casis
BACA >>> #RetroAuto [Siri 2]: Bimota - Dari Trek, Jatuh Bankrap dan Bangun Semula
SUMBER: Motopinas
Leave a Reply