HARLEY-Davidson Sportster S dilancarkan di Malaysia hari ini dan media tempatan turut diberikan peluang menyertai sesi tunggang uji.
Model ini adalah sempena menyambut suatu alaf baharu bagi barisan Sportster. Harley-Davidson kali pertama memperkenalkan Sportster pada 1957 yang pantas menjadi antara model jenama itu paling popular kerana bersaiz kompak dan ringan.
BACA >>> Harley-Davidson Hantar Pan America untuk Pemilik Pertama India, Harga RM115k
BACA >>> WMoto V16 - Cruiser Gaya Amerika Kini di Malaysia, Harga RM15.9k!
Sportster dijana enjin V-Twin 45º yang dibikin khas untuk model itu. Kemudian, trenkuasa tersebut terus ditambah baik hingga terhasilnya enjin Sportster Evolution yang diperkenalkan pada 1986. Penggunaan enjin berkapasiti 883cc dan 1200cc itu terus berlanjutan hingga kini.
Malangnya enjin penyejukan udara itu gagal melepasi piawaian emisi Euro5 yang sangat ketat. Malah bukan Harley-Davidson saja, semua pengeluar motosikal terpaksa memperkenalkan enjin dan model motosikal baharu demi memenuhi syarat emisi berkenaan.
Harley-Davidson memutuskan menghasilkan model Sportster serba baharu dengan ciri dan teknologi terkini. Lagipun, pengeluar dari Amerika Syarikat itu sudah lama mempunyai teknologi enjin penyejukan cecair menerusi model superbike terhad, VR1000, dan enjin Revolution yang diperkenalkan pada model VRSC V-Rod (1999).
Enjin Revolution dibangunkan bersama Porsche Engineering. Jadi, enjin baharu itu dinamakan Revolution Max 1250, yang juga evolusi kepada enjin V-Rod.
BACA >>> Bocor Imej Cruiser Terkecil Harley-Davidson 300cc, Enjin V-Twin, 30hp
Berikut Ciri Sportster S yang Menarik:
- Enjin Revolution Max 1250T DOHC 1250cc V-Twin 60º penyejukan cecair berkuasa 121hp @ 7,500rpm dan 127.5NM @ 6,000rpm dengan transmisi manual 6-kelajuan berserta klac antigelincir Assist and Slipper (A&S).
- Walaupun enjin ini juga digunakan pada model Pan America, tetapi menggunakan piston berbeza dan ditala untuk memberikan lebih daya tork.
- Huruf 'T' di hujung angka '1250' bermaksud 'tork' (torque).
- Enjin itu diikat terus pada frem sebagai satu unit bertekanan (stressed member) bagi menguatkan casis.
- Sistem ekzos 2-1-2 dipasang tinggi.
- Menggunakan fork terbalik (USD) jenis boleh laras di depan, dan monoshock boleh laras prabeban dengan swingarm di belakang.
- Brek depan cakera tunggal 320mm dengan kaliper brek Brembo Monobloc 4-piston.
- Dilengkapkan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan kawalan traksi yang peka kepada sudut miring, dikawal unit unjuran inersia (IMU).
- Dipasangkan tayar semi-slik jenis Dunlop GT503.
- Panel meter TFT berwarna bentuk bulat diameter 10sm, dan ada konektviti Bluetooth untuk sambungan muzik, navigasi dan akses telefon pintar menerusi aplikasi Harley-Davidson.
- Ada tiga mod tunggang: Sport, Road, dan Rain.
- Memiliki berat basah 227kg. Sistem lampu jenis LED penuh.
Rekabentuk Sportster S diilhamkan daripada XR750 yang digunakan untuk perlumbaan off-road dengan satu pelana dan ekzos dipasang tinggi. Lampu depan pula mengikut identiti Fat Bob baharu.
Sportster S sudah tiba sampai di Malaysia sejak sebulan lalu dan ada beberapa pembeli sudah menerimanya. Harga bermula RM92,900, bergantung warna.
Tunggang Uji Pertama
Berikut tunggang uji dilakukan penulis dari Kuala Lumpur ke Genting Highlands:
- Lalu lintas Jalan Genting Sempah-Gohtong Permai agak sesak kerana cuti panjang. Ramai orang naik ke Genting Highlands yang secara tidak langsung menyukarkan sesi tunggang uji awal ini. Mujurlah Sportster S memang direka untuk tunggangan dalam bandar.
- Enjin sungguh lancar. Disebabkan saya sebelum ini pernah menunggang uji model Harley-Davidson lama, jadi anggaapan pertama, enjin mungkin bergegar kuat hingga boleh bikin sakit gigi. Sebaliknya, enjin baharu kali ini begitu moden (trivia: asal enjin Harley jenis penyejukan udara adalah daripada rekaan abad ke-30).
- Bunyi mekanikal enjin baharu agak halus dan ekzos asal menghasilkan suatu deruman.
- Dengan menggunakan mod Road, respons terotel sangat lancar dan tiada senggukan apabila terotel diperah sedikit. Respons tork kekal kuat tetapi tidaklah sebuas kuda liar.
- Klac A&S memainkan peranan besar supaya motosikal tidak tersentak apabila terotel ditutup pada gear rendah.
KESERONOKAN SEBENAR
Keseronokan sebenar bermula apabila kami menukarkan mod kepada Sport. Berikut saya perincikan lagi:
- Deruman ekzos semakin kuat. Respons terotel masih lancar, tetapi kini dapat memecut lebih laju. Saya hanya memerlukan gear 3 atau 4 sepanjang mendaki jalan Genting Highland. Masih lagi tiada sentakan pada halaju rendah. Inilah penangan tork yang kuat daripada mengharapkan kuasa (hp) mutlak pada rev tinggi.
- Apabila menutup terotel pada gear tinggi, motosikal akan lajak terus ke selekoh seakan superbike. Hanya menunggu masa keluar selekoh kerana membuka terotel untuk mendapatkan pecutan kuat memang jadi ketagihan buat penunggang. Kami juga disajikan deruman ekzos BROOOOOAR setiap kali memerah terotel.
- Sebagai jentera V-Twin, gegaran enjin masih terasa, cuma tidaklah membuatkan tangan kebas atau pandangan jadi kabur.
- Ada kalangan rakan media berbisik, kenapa Sportster S cuma guna satu brek depan sedangkan enjin berkuasa 121hp. Rupanya brek depan itu sudah cukup kuat dan lebih daripada memadai. Ini salah satu penambahbaikan terbaik dilakukan Harley-Davidson.
- Fork depan dapat meredam baik permukaan jalan Genting yang agak kurang terurus. Tetapi monoshock belakang sedikit keras, tetapi jauh lebih baik berbanding absorber kembar model lama. Tiada terasa lagi hentakan yang boleh membuatkan mulut menyumpah yang bukan-bukan seperti pengalaman menunggang uji motosikal Harley yang lepas.
- Keadaan ini juga mungkin terjadi kerana saya baharu sahaja selelai menunggang uji model adventure Pan America yang menggunakan suspensi dengan jarak gerakan suspensi yang panjang.
BACA >>> Spesifikasi Harley-Davidson Pan America 1250 (2021): Harga Mula RM79.7k
Namun, tetap ada juga satu dua kekurangan, seperti motosikal lain juga seperti:
- Pertama, skrin TFT, yang disalut pelapik kusam untuk mengurangkan silau, tetapi membuatkan paparan meter sukar dibaca di bawah cahaya matahari terik. Bagaimanapun, paparan skrin cukup jelas dipantang di bawah cahaya malap atau gelap.
- Saya juga memerlukan lebih banyak masa untuk membiasakan diri dengan tayar depan lebar kerana saya terbiasa menunggang motosikal jenis advencer dan sportbike.
- Jadi anda harus merancang tunggangan seterusnya. Janganlah memberanikan diri melayan selekoh saat terakhir. Tetapi tidak jadi masalah jika anda memang sudah biasa dengan jentera cruiser.
Roadshow
Anda harus tunggang Sportster S untuk mendapatkan pengalaman sendiri. Bagi saya secara peribadi, yang sudah menguji ratusan jenis motosikal, reviu model ini agak baik. Berita baiknya, Didi Resources dengan penyertaan pengedar Harley-Davidson yang sah di Malaysia iaitu Harley-Davidson of Petaling Jaya, Route 77 Harley-Davidson of Kuala Lumpur, Harley-Davidson of Penang dan Harley-Davidson of Johor Bharu sedang melakukan siri jelajah jalanan di seluruh negara bermula di Gohtong Permai.
Sila layari laman Facebook Harley-Davidson of Petaling Jaya untuk mendapatkan janji temu tunggang uji anda.
KESIMPULAN
Saya sedia maklum Harley-Davidson mampu menghasilkan motosikal sebegini sejak V-Rod (VRSC) mula diperkenalkan pada tahun 1999 (enjinnya dihasilkan dengan kerjasama Porsche). Namun, bagi peminat lama Harley-Davidson mahukan model yang mengikut tradisi jenama itu, iaitu cruiser bersaiz besar, dan berat dengan sistem penyejukan udara.
Namun pembeli generasi baharu pula mahukan motosikal dengan ciri dan cara tunggangan lebih moden. Tidak ramai pembeli hari ini peduli pasal tradisi, sejarah atau legasi motosikal ditunggang mereka. Mereka tidak lagi sefanatik otai-otai Harley dahulu.
Jadi Sportster S berjaya menyerlahkan kepakaran Harley-Davidson dalam menghasilkan model power cruiser moden. Dan model ini nampaknya betul-betul setimpal dengan gelaran 'Sportster'!
BACA >>> Basikal Elektrik Pertama Harley-Davidson, Serial 1 Buka Tempahan, Harga Mula RM13.8k
Leave a Reply