PENGGUNAAN material kayu bagi menyerlahkan elemen mewah sesebuah kereta bukanlah perkara baharu dalam dunia automotif. Sebutkan Rolls-Royce, Bentley, Porsche dan Fisker Karma, semua model tersebut menggunakan kemasan kayu sebagai antara material utama pembuatan kereta mereka.
Tahukah anda setiap material kayu digunakan adalah berbeza dari segi jenis, material, warna, daya tahan, corak ira dan kelenturan bahan? Malah, penggunaan jenis kayu tertentu sudah sinonim dengan jenama sesebuah pengeluar. Nampak macam sama, tetapi tidak serupa. Mari kita kenali jenis-jenis kayu dalam pembuatan kereta mewah.
BACA >>> Kajian: Pembeli UK Lebih Pentingkan Kemasan Dalaman untuk Kereta Baharu
1. ASH
Awal pembuatan pesawat udara dahulu banyak menggunakan kayu ash kerana mempunyai struktur bahan yang kuat, ringan dan elastik. Kayu ash juga banyak digunakan untuk membuat busur dan pemukul besbol.
Kayu ash dalam era awal industri automotif digunakan kerana fleksibiliti bahan tersebut yang boleh disesuaikan dengan sistem suspensi kereta. Malah, kayu ash masih digunakan Syarikat Permotoran Morgan (MMC) yang berpangkalan di Malvern, England.
Bagaimanapun, disebabkan kekurangan sumber kayu ash, MMC terpaksa mengurangkan penggunaan kayu tersebut dalam material pembuatan dan hanya menggunakannya pada bahagian tertentu seperti frem.
2. MAHOGANI
Jenis kayu ini pastinya kerap kali kita dengar. Mahogani terbaik berwarna merah delima dan gelap dengan ira kayu cantik yang sekata, manakala warnanya jadi lebih gelap apabila semakin berusia. Ia juga tahan lasak dan menjadi pilihan penukang kayu kerana mudah dibentuk. Kualiti dimiliki mahogani meletakkan ia sebagai antara ciri material mewah dalam pembuatan kereta.
3. SAPELE
Kayu sapele banyak ditemui di barat dan tengah Afrika. Ia digemari pembuat alatan muzik dan perabot. Sapele disukai kerana mempunyai ira kayu halus dan tekstur seragam yang berkilau secara natural.
Pereka Cadillac begitu menggemari kayu sapele, di mana model itu didatangkan dengan dua jenis kemasan, Nutella dan Raven. Model lain ialah Lexus RX (2016) yang juga menggunakan sapele, tetapi material kayu itu dibilas terlebih dahulu untuk mendapatkan warna kelabu yang cantik.
4. BULUH
Buluh ialah tumbuhan paling cepat membesar di planet Bumi dengan beberapa spesies mampu tumbuh setinggi tiga kaki dalam masa sehari sahaja. Jadi, buluh adalah antara jenis kayu yang mudah diperoleh kerana cepat diganti tanam. Warna kuning air (beige) buluh menjadi pelengkap yang baik kepada tona ruang kabin gelap dengan ira sekata dan cerah seperti aluminium digilap.
BACA >>> Lexus LC Limited Edition - Sedan GT Mewah Edisi Khas Tunjuk Muka Sebelum ke Paris
Jika Lexus menawarkan model kemasan buluh yang cerah tanpa varnis, BMW pula tampil dengan kemasan gelap dan berkilat. Material buluh juga sangat ringan. Malah, kayu jenis ini digunakan untuk membuat badan dan casis bagi kereta eksperimen.
5. TEBUS GUNA
Sesetengah syarikat mengambil inisiatif menggunakan kayu tebus guna sebagai material dalam pembuatan kereta. Ketika ini ada banyak pembalakan berlaku di serata dunia bagi memenuhi keperluan pelbagai industri. Jadi peningkatan kesedaran tentang alam sekitar memaksa sesetengah pengeluar beralih menggunakan material kayu tebus guna atau kitar semula.
Pengeluar kereta elektrik, Fisker menawarkan kemasan kayu mesra-eko sama ada kayu dalam bentuk diselamatkan, tenggelam atau tumbang,
BACA >>> Bukan Ferrari, Lamborghini, Tetapi Inilah Kereta Mewah yang Dipandu Leonardo DiCaprio
Pengeluar pikap, RAM mendakwa mengitar semula tiang pagar lama untuk dijadikan kemasan dalaman Laramie Longhorn. walaupun kerja menghasilkan kemasan menggunakan kayu terpakai dan lama lebih rumit dan memakan masa lama, tetapi komitmen pengeluar banyak membantu ke arah melesterikan alam sekitar untuk generasi akan datang.
6. WALNUT
Rolls-Royce mendakwa menggunakan sebatang pokok walnut untuk menghasilkan sebuah model jenama itu. Kenyataan itu sudah tentu memberikan gambaran tentang dedikasi tinggi dan penggunaan banyak material kayu dalam pembuatan kereta tersebut.
Alasannya adalah supaya ira dan paten kayu dapat kekal konsisten pada setiap permukaan kemasan. Malah, lapisan sekecil beberapa milimeter akan dipotong menggunakan tangan, disesuaikan dan digam bersama, di mana semua proses berkenaan boleh mengambil masa selama sebulan.
BACA >>> 10 Fakta Pantas: Rolls-Royce Cullinan, SUV Pertama Jenama Mewah British
Walnut pusar kerap digunakan Rolls-Royce selama berdekad lama, tetapi pembeli boleh memilih apa yang disukai mereka. Paten kayu yang rumit seperti model Ghost Majestic Horse (2014) di atas dibina dengan menggabungkan pelbagai jenis kayu seperti Walnut Amerika, anegre bercorak, mapel, dan lapisan oak gelap dan wasap.
Leave a Reply