UJIAN diagnostik dapat membantu mengenal pasti masalah kereta. Ini kerana kereta moden hari ini dilengkapi pelbagai fungsi elektronik untuk membantu mengawal dan menghantar signal kepada sistem komputer berpusat dalam kenderaan.
Sekiranya sedang memandu dan terdengar bunyi asing, atau terperasan ada komponen kereta tidak berfungsi, ujian diagnostik dapat membantu anda mengesan masalah tersebut. Ujian diagnostik dapat mengesan masalah kereta lebih awal, sekali gus mengelakkan berdepan isu lebih besar ketika memandu.
BACA >>> Segala Tentang 'Cruise Control' yang Perlu Anda Tahu
APAKAH UJIAN DIAGNOSTIK KERETA?
Perkembangan teknologi automotif membuatkan semua komponen kereta hari ini dikomputerkan. Penggunaan modul kawalan enjin (ECM), iaitu sistem komputer berpusat memudahkan jurutera dan juruteknik mencari punca masalah yang berlaku pada komponen kereta. Jika tiada ECM, kereta anda mungkin ada modul kawalan kuasa (PCM).
ECM berfungsi memantau, mengawal dan merekod data komponen kereta.
Jadi, penggunaan alat diagnostik khas membolehkan kita mengimbas sistem penting dan mengesan bahagian bermasalah. Alat diagnostik juga mengambil informasi daripada alat pemproses dan sensor komputer sebelum menghantar signal kod yang menunjukkan masalah dalam sistem.
ECM turut mengawasi sekumpulan sistem dan komponen dalam kenderaan, termasuk ekzos, transmisi, enjin, brek dan lain-lain. Boleh dikatakan semua bahagian yang ada sambungan wayar akan diawasi ECM.
BACA >>> Kenapa 'Ujian Shaken' Buat Orang Jepun Tak Nak Beli, Simpan Kereta Lama-Lama?
PERINCIAN UJIAN DIAGNOSTIK KERETA
Ramai berpendapat ujian diagnostik hanya diperlukan apabila lampu amaran enjin menyala (seperti simbol di atas). Ini bukan cara betul mengelakkan kereta anda mengalami kerosakan tiba-tiba.
Paling mudah, setiap kali anda pergi melakukan penyenggaraan berkala, anda boleh juga meminta mekanik melakukan ujian diagnostik. Mungkin ada tambahan kos, tetapi kita akan rasa lebih tenang selepas mengetahui keputusan ujian tersebut.
Ujian diagnostik kereta akan menguji komponen seperti berikut:
- Enjin
- Sistem brek
- Transmisi
- Tangki minyak
- Koil nyalaan (ignition coil)
- Sistem ekzos
- Terotel
Apakah Maklumat yang Kita Dapat daripada Ujian Diagnostik?
Selain sistem utama, ujian diagnostik juga mengimbas aliran udara, sistem penyejukan , injektor bahan api dan komponen lain juga. Walaupun ujian diagnostik berkomputer penting untuk mengetahui masalah kereta, tetapi ia tidak dapat mengenal pasti punca sebenar isu itu berlaku.
PENGIMBAS OBD II
Contohnya, jika menggunakan pengimbas OBD II (On-Board Diagnostics) untuk mendiagnosis sistem nyalaan enjin, ia boleh menunjukkan sama ada terdapat sebarang kesalahan atau masalah pada bahagian itu, koil nyalaan (ignition coil) atau injektor bahan api (fuel injector).
Namun, kod ditunjukkan tidak memperincikan punca permasalahan tersebut yang memerlukan kepakaran dan pengetahuan juruteknik untuk mengenal pasti masalah berkenaan.
Pengimbas OBD II dapat menunjukkan pelbagai kod masalah dalam julat P0100 hingga P1899. Setiap nombor dan huruf dalam julat kod itu pula mendedahkan fungsi dan gangguan tertentu. Walaupun bukan juruteknik berpengalaman, kita masih boleh mengetahui kod tersebut kerana semua informasi kod itu boleh dicari di Internet.
Namun, kepakaran mekanikal masih diperlukan untuk melakukan kerja baik pulih selain perlu memiliki alatan bersesuaian dan spesifik.
BACA >>> Lewat Seminit Sebab Ke Tandas, Pemandu Kereta Api Laju Jepun Kena Siasat
BERAPA LAMA MASA UJIAN DIBUAT?
Tidak kira sama ada memandu ke pusat servis atau buat sendiri di garaj, ujian diagnostik kereta tidak mengambil masa lama, cuma beberapa minit. Anda akan perlu menyambungkan pengimbas ke palam khas dalam kereta.
Alat pengimbas kemudian mula membaca kod indikator pemeriksaan kereta sebelum mengimbas sistem lain. Proses pengimbasan mengambil masa beberapa minit, tetapi proses menyahkod kod sesuatu masalah mungkin lebih lama jika tiada berpengalaman.
Masa lebih lama diperlukan di pusat servis kerana perlu menunggu giliran. Selepas imbasan dibuat, juruteknik akan berjumpa kita untuk berbincang mengenai isu dikesan. Tindakan baik pulih hanya akan dibuat selepas menjelaskan masalah yang berlaku.
BERAPA KETAP BUAT UJIAN DIAGNOSIS KERETA?
Kebiasaannya, ujian diagnostik dibuat jika lampu amaran enjin menyala atau berlaku masalah kepada kereta. Alasan kos juga menjadi penghalang untuk kita kerap melakukan ujian tersebut.
Paling ideal, ujian diagnostik perlu dilakukan setiap bulan, tetapi untuk menjimatkan masa dan kos, tidak salah kita belajar menggunakan pengimbas OBD II sendiri. Namun, itu pun bukan keperluan yang mendesak, cuma bagai langkah proaktif untuk pemandu yang memerlukan. Jika ujian dapat dibuat setahun sekali pun sudah cukup baik.
Ujian diagnostik kereta menjadikan tugas juruteknik lebih mudah, tetapi beberapa masalah kritikal memerlukan banyak ujian dilakukan. Kos baik pulih sistem dan komponen elektronik juga agak membebankan. Jadi, pastikan kereta disenggara baik di pusat servis diiktiraf pengeluar bagi mendapat jaminan waranti dan kualiti servis terbaik.
Jika minat lebih, bolehlah buat pelaburan untuk dapatkan pengimbas supaya sentiasa dapat tahu kondisi kereta kita.
BACA >>> Nak Servis Kereta? Jom Singgah 7 Cawangan PETRONAS Auto Expert Ini!
BACA >>> #ApaNakBuat: Mana Satu Jenis Servis Kereta Saya Kena Buat? Minor atau Major?
Leave a Reply