PERTUBUHAN bukan Kerajaan (NGO) di Amerika Syarikat (AS), Pusat Keselamatan Auto (CAS) membuka 25 kertas siasatan terhadap kemalangan melibatkan model Tesla yang mana 23 kenderaan masih lagi aktif selepas berlaku tiga kemalangan baharu sejak beberapa minggu lalu.
Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA) akan menghantar pasukan khas untuk menyiasat kemalangan Tesla di Houston, dan keputusan dua daripada 25 siasatan itu kini siap diterbitkan.
Pada Julai tahun lalu, NHTSA menghantar pasukan Siasatan Kemalangan Khas (SCI) untuk menyiasat 19 kes kemalangan Tesla yang dikatakan membabitkan sistem bantuan pemandu dengan ciri pandu sendiri, Autopilot.
Laporan Polis Michigan mendakwa sebuah kereta polis peronda dilanggar sebuah Tesla yang dipandu dalam mod Autopilot dalam insiden dekat bandar Lansing. Tiada mangsa tercedera, manakala pemandu Tesla berusia 22 tahun dikenakan saman trafik.
Kemudian pada 15 Mac lalu, NHTSA menghantar satu lagi pasukan untuk menyiasat kemalangan ngeri 11 Mac di Detroit melibatkan insiden sebuah Tesla ditindih traktor. Impak kemalangan itu menyebabkan seorang penumpang kritikal, tetapi laporan Polis Detroit mengatakan mod Autopilot tidak diaktifkan.
Ciri Autopilot disahkan terlibat dalam sekurang-kurangnya tiga kemalangan maut Tesla di AS sejak 2016. Tesla turut menasihatkan pemandu supaya sentiasa meletakkan tangan di stereng dan beri perhatian biarpun dalam mod Autopilot. Bagaimanapun, sesetengah pemandu Tesla mengatakan mereka boleh melepaskan tangan daripada stereng untuk jangka masa tertentu ketika Autopilot diaktifkan.
Pada masa sama, NHTSA mengatakan sudah menerima penjelasan Tesla mengenai perisian 'pemanduan automatik penuh' (full-self driving, FSD). Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk menerusi akaun Twitter peribadi mendedahkan perisian beta FSD sudah diperluas kepada 2,000 pemilik, manakala sesetengah pemandu dengan akses ciri tersebut ditarik balik.
Menurut Tesla lagi, FSD ialah pemanduan autonomi Tahap 2 yang masih memerlukan pemandu memandu dan memantau fungsi bantuan pemandu seperti meletakkan tangan pada stereng. NHTSA menegaskan akan terus memantau teknologi baharu itu dan tidak teragak-agak bertindak tegas jika didapati berbahaya kepada orang ramai.
Semua kes kemalangan yang berlaku adalah peringatan kepada kita sebagai pemandu supaya tidak terlalu bergantung kepada teknologi semata-mata dan sentiasa berwaspada ketika memandu.
BACA >>> Tesla Diam-Diam Naikkan Harga Kereta Sampai AS$10k
BACA >>> Geely Labur RM18.9b Bina Kilang Bateri EV, Sasar Lawan Tesla
SUMBER: Autoblog
Leave a Reply