PASARAN kenderaan eletrik (EV) semakin mendapat tempat di pasaran, terutama negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Jepun. Ini perkembangan baik dalam usaha mengurangkan pencemaran disebabkan penggunaan kenderaan bahan api fosil seperti diesel dan petrol.
Jarak perjalanan yang mampu dilakukan EV juga semakin baik. Lihat saja Tesla, semua kereta jenama itu kini mampu dipandu lebih 480km untuk sekali cas. Jika kemampuan pengecasan bertambah baik, pasaran EV akan semakin berkembang, dan tidak mustahil mampu menggantikan sepenuhnya kereta diesel dan petrol pada masa akan datang.
BACA >>> #TahukahAnda: Tentang Jangka Hayat Bateri Kereta Elektrik yang Perlu Anda Tahu
BANYAK STESEN CAS, TAPI JENAMA TERTENTU SAJA
Namun, di sebalik kemajuan dalam aspek pembangunan EV, ada isu yang menjadikan ia masih di belakang kereta konvensional, iaitu port pengecas dan stesen cas. Di AS misalnya, walaupun rangkaian stesen cas EV di sana sangat maju, tetapi banyak didominasi Tesla. Sebaliknya, pengeluar EV lain seperti Porsche menerusi model Taycan Turbo S dan Ford (Mustang Mach-E) ada stesen cas sendiri yang menyebabkan semua model itu tidak boleh menggunakan stesen cas Tesla tanpa adapter.
Situasi berkenaan menimbulkan persoalan, kenapa semua pengeluar EV tidak guna saja port pengecas universal? Sama seperti USB untuk telefon pintar, atau soket 3-pin untuk barangan elektronik. Bukankah lebih baik jika rangkaian stesen cas sedia ada boleh digunakan semua kereta eletrik? Bayangkan stesen minyak dibenarkan mengisi minyak untuk satu jenama kereta saja, memang payahkan?
Jika pengeluar kereta benar-benar mahu kereta eletrik menjadi kenderaan alternatif masa depan, port pengecas mesti universal bagi meyakinkan pengguna menggunakan kereta eletrik tanpa perlu risau terputus bekalan kuasa sepanjang perjalanan.
Anehnya, Tesla sebenarnya sudah menawarkan kepada pengeluar EV lain untuk menggunakan paten port pengecas, tetapi tidak diterima. Tawaran itu disahkan sendiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk melalui Twitter ketika menjawab soalan YouTuber teknologi terkenal, Marques Brownlee (MKBHD), yang membahaskan isu tersebut.
Persoalannya, jika Tesla terbuka berkongsi teknologi, kenapa tiada pengeluar mengambil tawaran tersebut? Adakah kerana ego?
BACA >>> Elon Musk Paling Kaya di Planet Bumi, Pendapatan Cecah RM748 Bilion!
PERCUMA ADA MAKNA?
Berdasarkan artikel tulisan Mack Hogan dalam portal Road and Track, alasan kenapa tiada pengeluar yang mahu menerima tawaran itu ialah syarat diletakkan Tesla jika mahu menggunakan paten walaupun diberikan percuma.
Syaratnya, pengeluar perlu 'acting in good faith', iaitu tidak boleh mengetepikan Tesla dalam apa jua urusan. Secara ringkas, Tesla dibenarkan mengakses hak intelektual pengeluar yang menggunakan paten berkenaan dan tidak boleh membawa kes ke mahkamah. Jika berlaku juga, kerjasama antara Tesla dan pengeluar tersebut akan terbatal. Jadi, ‘harga’ sebenar perlu dibayar untuk menggunakan paten Tesla adalah tinggi berbanding tawaran percuma yang berselindung di sebaliknya.
Kesimpulannya, port pengecas universal penting untuk meningkatkan tahap kepenggunaan kereta eletrik. Namun, kegagalan sesama pengeluar bekerjasama merumitkan isu sedia ada.
BACA >>> Honda City RS e:HEV Serba Baharu Umum Harga, RM105k dengan Teknologi Termaju
SUMBER: YouTube MKBHD|RoadAndTrack
Leave a Reply