TAHUKAH anda, ciri lampu kabus belakang ialah komponen yang wajib dipasangkan pada kereta untuk melepasi ujian Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) dilakukan pasukan Bahagian Kejuruteraan Automotif di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum layak dijual di Malaysia.
BACA >>> #TahukahAnda: Inilah Beza Simbol Lampu Kabus Depan dan Belakang
Sejak Bila Pula?
Syarat lampu kabus belakang sudah diwartakan dan dilaksanakan sejak 1 Januari 2015 di bawah peraturan R38 dalam senarai 100 Peraturan UN (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu). Ini ditulis dalam Garis Panduan Kelulusan Jenis Kenderaan (Pindaan) 2017.
Fakta berkenaan secara tidak langsung menjawab pertanyaan sesetengah pembaca yang tertanya-tanya kenapa lampu kabus belakang dipasangkan pada kenderaan di Malaysia sedangkan itu bukan komponen kritikal.
Ini kerana Malaysia bukan seperti negara di Eropah yang mengalami musim sejuk atau salji setiap tahun, atau ada banyak kawasan jalan raya dikelilingi gunung dan lembah berkabus sepanjang masa. Hujan lebat pun masih belum cukup untuk membenarkan kita menyalakan lampu kabus (sebab itulah tidak dinamakan 'lampu hujan' atau 'rainlamp').
Lampu kabus cuma boleh dipasang jika jarak penglihatan depan kurang 400 meter, atau tiga tiang lampu. Ini bermakna, kondisi tersebut hanya berlaku di Malaysia dalam cuaca hujan ribut, memandu di kawasan pergunungan atau cuaca berjerabu dengan amaran merah (bahaya!).
Kalau Tiada Guna, Kenapa Pasang?
Pandangan kami, peraturan itu sebenarnya lebih kepada visi Malaysia untuk memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa mengikut standard Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB/UN) yang banyak merujuk kepada regulasi Eropah. Pematuhan tersebut akan memberikan merit kepada komitmen dan reputasi Malaysia dalam industri automotif.
Ia turut memudahkan proses mengeksport produk tempatan kerana kereta dari Malaysia sudah sedia memiliki spesifikasi keselamatan dan pemasangan komponen aras tinggi. Ini secara langsung melancarkan proses pembuatan, dan pemasangan dari kilang tempatan. Pada masa sama ia juga menetapkan syarat tinggi untuk kereta luar diimport ke Malaysia.
Bukan lampu kabus belakang saja, sebenarnya ada banyak komponen wajib lain juga perlu dipasangkan pada kereta yang mahu dijual di Malaysia. Misalnya lampu siang (DRL) dalam peraturan R87 yang baru diwartakan pada 1 Januari 2020.
BACA >>> #ApaNakBuat: Kenali Suis, Simbol dan Cara Betul Nyalakan Lampu Kabus Belakang
Leave a Reply