YAMAHA NVX 155 mula dilancarkan di Malaysia pada 2016. Hendak dijadikan cerita, disebabkan mendedahkan foto intip dan tarikh pelancaran rasmi model tersebut, kami langsung diboikot Hong Leong Yamaha Motor (HLYM). Selepas beberapa tahun, barulah hubungan kami dengan wakil pengedar jenama Yamaha di Malaysia itu bertaut kembali. Bak kata pepatah, buang yang keruh, ambil yang jernih.
Terbaharu daripada blog Arena Motosikal, bocor foto intip NVX 155 (2021) sedang menjalani ujian enduran di jalan raya tempatan sekitar Selayang, Selangor penghujung tahun lalu.
Di Indonesia pula, negara itu baru saja melancarkan Aerox 155 Connected pada November tahun lalu, membabitkan kemas kini kosmetik, manakala. pasaran tempatan menerima kemas kini warna baharu NVX (2020) pada Februari 2019.
KEMASAN BADAN BAHARU?
Tidak banyak perubahan dapat dikesan pada foto intip berkenaan kerana imej yang gelap dan kabur. Jika Aerox Connected 155 menerima suspensi belakang dengan subtangki, Malaysia pula sebenarnya sudah lebih awal memperkenalkan ciri tersebut.
Jadi NVX 155 itu mungkin menerima pembaharuan kosmetik jika melihat garis badan skuter tersebut. Apa dapat dilihat ialah rim emas yang berbeza berbanding model sedia ada dengan rim hitam (NVX merah di sebelah).
Berdasarkan pemerhatian kasar, penampilan bahagian depan sedikit berbeza, seakan Aerox 155 Connected yang mengetengahkan DNA Super Sport dengan fairing aerodinamik. Sistem lampu NVX jenis LED dengan rekaan lebih tajam dan lebar berserta lampu siang (DRL).
Ujian enduran biasanya dilakukukan apabila melibatkan perubahan mekanikal. Mungkinkah HLYM melakukan perubahan talaan enjin? Sebagai makluman, trenkuasa NVX menggunakan enjin 4-lejang silinder tunggal 155cc SOHC penyejukan cecair dengan teknologi VVA berkuasa 14hp @ 8,000rpm dan tork 13.8Nm@ 6,500rpm.
Mungkinkah saiz tangki minyak dipertingkat daripada 4.6 liter kepada 5.5 liter, seperti Aerox 155 Connected (foto atas)? Kami jangka, kluster instrumen juga berubah seperti versi negara jiram itu dengan paparan LCD digital penuh yang moden dan informatif.
Apa yang pasti, NVX 155 merah di sebelah ialah model sedia ada (foto atas) jika dilihat pada garis badan sisi belakang. Fairing tepi NVX hitam itu pula sedikit berbeza berbanding model sedia ada yang bersegi, termasuk bentuk pelana dan ekor belakang.
Bagaimanapun, tarikh debut skuter advencer baharu itu tidak dapat dipastikan. Seperti kita tahu, HLYM sebelum ini juga pernah melakukan sesi tunggang uji Y15ZR (Exciter 155?) baharu. Mungkinkah wakil pengeluar itu mahu memberi laluan buat supermoped tersebut terlebih dulu?
Apapun, masa tepat tidak dapat dijangka jika mengambil kira situasi semasa di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) dan Darurat.
BACA >>> Yamaha Aerox 155 Connected (2021) Serba Baharu Lancar di Indonesia, Harga Mula RM7.2k
BACA >>> Inilah 15 Ciri Menarik Dimiliki Yamaha Exciter 155 VVA (2021)
Leave a Reply