SELEPAS diperkenalkan di India pada Oktober 2020, kini giliran Indonesia pula ditawarkan dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak Nissan Magnite (2021).
Ini ialah model pertama Indonesia di bawah pelan transformasi Nissan NEXT. Magnite juga model pertama di republik itu yang menggunakan logo baharu Nissan. Nampak menarikkan?
Magnite (2021) direka di Jepun dan memiliki ukuran panjang 3,990mm yang meletakkan model itu dalam segmen SUV subkompak atau segmen-B, manakala jarak roda 2,500mm, lebar 1,750mm dan tinggi 1,570mm. Ini bermakna Magnite lebih kecil daripada Proton X50 dan lebih cenderung menyaingi SUV Perodua D55L.
Mengenai Magnite, SUV ini dikuasakan enjin 3-silinder 1.0L HRAO turbo, sama seperti Almera yang diperkenalkan di negara kita, juga SUV pertama dipasangkan trenkuasa sesaran itu di Indonesia. Ia juga meriah dengan pelbagai ciri keselamatan.
Berikut ialah ciri-ciri Magnite (2021) spesifikasi Indonesia:
Trenkuasa
- Enjin 3-silinder 1.0L HRAO turbo berkuasa 98hp dan tork 160Nm.
- Menggunakan teknologi saduran silinder (mirror bore cylinder coating), sama seperti Nissan GT-R.
- Kelebihan teknologi itu, mengurangkan rintangan dalam enjin, mengurangkan berat, menambah baik pengurusan haba dan pembakaran dalam silinder selain menyumbang kepada pecutan lancar dan kecekapan bahan api.
- Dipadankan transmisi manual 5-kelajuan manual dan X-TRONIC CVT.
Rekabentuk
- Teknologi LED pada lampu utama dan lampu siang (DRL) berbentuk L
- Gril dominan dengan logo Nissan baharu, pertama untuk model Nissan Indonesia
- Rim aloi 16 inci
- Pilihan warna dwi-tona iaitu Flare Garnet Red-Onyx Black (merah-hitam) dan Pearl White-Onyx Black (putih-hitam)
- Pilihan warna tunggal Blade Sliver (perak), Onyx Black (hitam) dan Storm White (putih)
- Rel bumbung dengan fungsi bukan kosmetik.
- Jarak kelegaan bumi 205mm.
Dalaman
- Kluster instrumen TFT 7 inci dengan paparan Bantuan Pemanduan
- Stereng multi-fungsi dengan kawalan jelajah
- Unit infotainment skrin sentuh 8 inci dengan konektiviti telefon pintar
- Butang mula-henti (start-stop) dan kunci pintar
Teknologi dan Keselamatan
- Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS)
- Monitor Pandang Sekeliling (AVM)
- Bantuan Mula Daki (HSA)
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek Hidraulik (HBA), Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Sistem Kawalan Traksi (TCS)
- Dua beg udara
Varian dan Harga
- Nissan Magnite Upper MT - Rp208,800,000 (RM 60,360)
- Nissan Magnite Premium MT - Rp226,300,000 (RM 64,550)
- Nissan Magnite Premium CVT - Rp 238,800,000( RM 68,110)
Dengan pakej (kecuali bilangan beg udara) dan harga sebegini, Magnite (2021) berpotensi mendapat sambutan baik jika ditawarkan di Malaysia. Sekurang-kurangnya Nissan boleh 'lari' daripada persaingan sengit tiga penjuru antara Almera, Toyota Vios dan Honda City.
BACA >>> Nissan Navara (2021) yang Lebih Canggih dengan Brek Kecemasan Automatik (AEB)!
BACA >>> Nissan Magnite Diperkenal dengan Enjin 3-Silinder 1.0 Turbo, Sama Seperti Almera
Leave a Reply