PROTON X50 baru saja mendedahkan harga rasmi pada Rabu lalu yang bermula serendah RM79,200 untuk varian Standard hingga RM103,300 untuk varian Flagship. Ramai pembeli memuji harga kompetitif ditawarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) itu, dan tidak kurang pula menganggap mahal bagi sebuah produk berjenama tempatan.
Namun sebagai media permotoran, kami tidak melihat penetapan harga itu dari segi emosi semata-mata, atau hanya kerana produk berkenaan berstatus tempatan. Kami perlu mengambil kira aspek kualiti dan ciri ditawarkan serta paling penting, harga ditawarkan produk pesaing dalam kelas sama.
BACA >>> Proton X50 Akhirnya Rasmi Lancar, Harga Bermula RM79,200!
Jadi sejak awal lagi, bukanlah sukar hendak meramalkan X50 akan dijual dalam julat harga ~RM80,000 hingga ~RM100,000. Soalannya, tahukah anda model pesaing kepada Proton X50? Atau lebih tepat lagi, pesaing itu sepatutnya model yang memenuhi kriteria berikut:
- SUV segmen-B (juga disebut SUV subkompak)
- 5-kerusi
Jangan terkejut, memang ada model bukan nasional yang lebih murah daripada X50, dan ada pula cuma mahal sedikit saja. Jom kita ulas satu-persatu model-model pesaing X50. Senarai di bawah dibuat secara rawak:
1. HONDA HR-V RS
Sengaja kami letakkan di atas kerana buat masa ini, HR-V ialah model SUV segmen-B paling laris di Malaysia. Kehadiran X50 dikatakan bakal membuatkan Honda tidak senang duduk kerana dijangka menggugat ranking jualan SUV tersebut.
RS ialah varian HR-V paling premium yang berharga RM118,581, manakala varian paling asas dijual serendah kira-kira RM104,000. Tetapi harga varian asas itu pula sudah membolehkan kita memiliki X50 Flagship, iaitu varian paling premium.
Dari segi dimensi, HR-V RS kurang lebar (-10mm), lebih panjang (+16mm) dan sedikit rendah (-4mm) daripada X50. Saiz rim sama, dan sistem suspensi juga sama, manakala kapasiti tangki minyak ekstra 5 liter untuk HR-V RS. X50 juga lebih superior dari segi kuasa dan tork, serta teknologi moden dimiliki.
BACA >>> Honda HR-V RS Kini Ada Pilihan Kemasan Kulit Coklat Gelap
2. TOYOTA C-HR 1.8L
Kalau dalam segmen SUV segmen-B bukan nasional, inilah model pesaing sebenar kepada HR-V. Namun apa yang mendukacitakan, UMW Toyota hanya membawa masuk C-HR versi import (CBU) untuk pasaran tempatan, sekali gus menjadikan harga SUV ini sangat premium.
Dibandingkan dengan X50, dimensi C-HR lebih panjang +30mm, sedikit kurang lebar -5mm dan lebih rendah -44mm. Suspensi sama pada bahagian depan, tetapi menggunakan double wishbone di belakang. Tangki minyak juga ekstra 5 liter daripada X50, tetapi saiz rim seinci lebih kecil, iaitu 17 inci. Sebagai SUV dijana enjin aspirasi natural (NA), kuasa dan tork C-HR juga kalah kepada X50.
Ciri ditawarkan juga menarik dan lengkap, tetapi semestinya tidak dapat bersaing dari segi teknologi bantuan pemandu seperti ADAS 2.0 yang ditawarkan X50. Satu lagi, C-HR ada beg udara lutut.
BACA >>> 6 Sebab Kenapa Toyota C-HR Sangat Berbaloi Dimiliki
3. RENAULT CAPTUR
Dalam banyak SUV popular terlintas dalam fikiran, mungkin anda terlupa menyenaraikan SUV kontinental ini. Harga Captur berada dalam julat harga X50 Flagship, cuma lebih mahal kira-kira RM2,000 sahaja.
Dimensi Captur lebih pendek -208mm, kurang lebar -22mm dan lebih rendah -43mm daripada X50. Maknanya, Captur lebih kompak dari segenap segi berbanding SUV Proton itu. Sistem suspensi menggunakan strut MacPherson di depan dan gandar fleksibel di belakang, manakala saiz rim 17 inci, kurang seinci. Walaupun dipacu enjin turbo, kuasa dan tork dihasilkan masih tidak mengatasi x50.
Tidak banyak ciri keselamatan disenaraikan Renault untuk Captur, tetapi SUV ini memiliki ciri asas yang wajib ada pada kereta moden masa kini. Sekali lagi teknologi ADAS 2.0 pada X50 menewaskan Captur. Tetapi siapa sangka pada harga seperti X50, anda sebenarnya boleh memandu SUV jenama Eropah.
BACA >>> Renault Captur Trophy Edisi Terhad di Malaysia, Harga Kekal Seperti Varian Standard!
4. MAZDA CX-3
Ini SUV segmen-B kedua termahal selepas C-HR. Tampil dengan falsafah rekabentuk Kodo, CX-3 menawarkan dimensi badan lebih pendek -55mm, kurang lebar -35mm dan lebih rendah -74mm berbanding X50. Berbanding Captur, CX-3 jauh lebih rendah dan kurang lebar, tetapi memiliki saiz rim 18 inci yang sama seperti X50.
Sistem suspensi sama, iaitu strut MacPherson di depan dan torsion beam di belakang, manakala kapasiti tangki ekstra 3 liter daripada X50. Ciri diberikan juga boleh tahan dan ada fungsi henti lahu i-Stop untuk memberikan lebih penjimatan bahan api. Kuasa dan tork dihasilkan masih di bawah X50.
BACA >>> Mazda CX-3 LE (2020) Buka Tempahan, Tawar Pakej Kemas Kini Bernilai RM14,500
5. HAVAL H2 PREMIUM
Walaupun belum ada kemas kini terbaharu SUV ini untuk tahun ini, tetap perlu berada dalam senarai pesaing X50 kerana dalam segmen sama. Ada meletakkan H2 dalam segmen-C yang lebih kecil, dan ada juga meletakkan ia dalam kategori CUV (kenderaan utiliti coupe).
Kami senarai sebagai pesaing SUV segmen-B berdasarkan harga dan dimensi badan yang tidak jauh berbeza. H2 ini memiliki dimensi lebih panjang +35mm, lebih lebar +14mm dan lebih tinggi +101mm daripada X50. Ini bermakna H2 memiliki saiz badan yang lebih besar segenap segi berbanding SUV Proton itu.
Kapasiti tangki tangki pula 10 liter lebih banyak, manakala saiz rim sama, iaitu 18 inci. Sistem suspensi menggunakan MacPherson di depan dan Multilink di belakang yang boleh dianggap sebagai model SUV segmen-B paling selesa dari segi pengendalian.
Aspek kuasa dan tork masih di bawah X50, serta begitu juga ciri keselamatan ditawarkan, tetapi SUV Haval ini kekal lengkap dengan teknologi moden kenderaan masa kini. H2 juga SUV segmen-B paling murah dalam kategori varian paling premium, iaitu dalam ~RM90,000 sahaja.
BACA >>> Haval H2 CKD Kini di Malaysia - Enjin 1.5L Turbo, Tampil 2 Warna Baharu
6. HYUNDAI KONA 1.6 TURBO
SUV Hyundai ini juga baru saja dilancarkan pada harga RM115,888. Berbanding X50, Kona lebih pendek -165mm, sama lebar (1,800mm) dan lebih rendah -44mm. Walaupun lebih pendek, tetapi jarak roda X50 dan Kona sama (2,600mm), sekali gus memberikan bayangkan ruang kabin yang lebih kurang sama luas.
Sama seperti X50, Kona (2020) menggunakan rim 18 inci, manakala sistem suspensi sama seperti Haval H2, iaitu MacPherson di depan dan Multilink di belakang yang mampu memberikan fiil memandu seakan sedan. Kapasiti tangkit 5 liter lebih banyak berbanding X50.
BACA >>> 5 Perkara Anda Perlu Tahu Tentang Hyundai Kona (2020) di Malaysia, Harga Mula RM115k
Menarik tentang Kona, inilah SUV kelas sama yang mampu bersaing dari segi kuasa dan tork dengan X50. Kona memiliki kuasa yang sama seperti X50, 175hp, tetapi tork sedikit lebih tinggi, iaitu 265Nm (X50: 255Nm). Menarikkan?
Ciri dibekalkan juga lengkap, dan turut memiliki teknologi bantuan pemandu, dinamakan Hyundai SmartSense, terdiri daripada lapan ciri bantuan autonomi. Harga varian premium, iaitu 1.6 T-Gdi ialah RM143,88 yang juga SUV segmen-B kedua paling mahal di bawah Toyota C-HR.
BACA >>> #PanduUji: Hyundai Kona - SUV Jiwa Muda dengan Pakej Teknologi Mantap!
BACA >>> Hyundai Buka Tempahan SUV Kona
KESIMPULAN
Dari segi harga keseluruhan model, sudah tentu dikuasai X50, tetapi jika mengambil kira varian premium, Haval H2 ialah SUV paling murah, yang boleh dimiliki pada harga kira-kira ~RM90,000.
Dari segi ciri, X50 nyata paling canggih dan terima kasih kepada ciri ADAS 2.0 yang dibekalkan Proton. Satu-satunya model yang mampu berdiri sama tinggi ialah Kona 1.6 T-Gdi menerusi Hyundai SmartSense. Selain itu, X50 juga satu-satu SUV segmen-B yang ada fungsi parkir automatik.
Dari segi prestasi, satu-satunya SUV yang setanding dan mampu menyaingi X50 ialah Hyundai Kona. SUV pesaing lain jauh ditinggalkan sama ada dalam aspek kuasa kuda dan tork. Antara kekurangan X50 ialah memiliki kapasiti tangki minyak paling kecil, berkongsi dengan Renault Captur, iaitu 45 liter sahaja. Mazda CX-3 pula 48 liter, manakala tangki minyak H2 paling besar, 55 liter dan selebihnya 50 liter (HR-V, C-HR dan Kona).
Dari segi rekabentuk, ini hal subjektif. Lain orang lain cita rasa. Berdasarkan trend pembeli Malaysia, X50 boleh dianggap memenuhi cita rasa pembeli negara ini yang sukakan bentuk boxy. Elemen ini juga dapat dilihat pada kebanyakan SUV pesaing seperti HR-V, C-HR, H2 dan Captur. Cuma bagi mereka yang sukakan elemen slik dan seksi seperti CX-3 dan Kona, rekabentuk X50 mungkin dilihat kurang menarik perhatian.
Akhir sekali, tepuk dada tanya selera. Ini kerana apa saja jenis kereta yang dibeli, kita jugalah yang kena bayar setiap bulan. Belilah ikut cita rasa dan kemampuan kewangan sendiri. Ingat, hal pemilikan kereta ini bukan pasal komitmen ansuran bulanan saja, tetapi turut melibatkan kos penyenggaraan, baik pulih, cukai jalan+insurans dan petrol.
Mampu ke? 😅
BACA >>> 8 Perkara Perlu Anda Faham Jika Mahu Harga Kereta Murah (Artikel Panjang untuk Dibaca)
Nor says
Kalau boleh masukkan kia seltos dalam perbandingan
Oly says
Jika masukkan captur, boleh masukkan sekali Pug 2008 sebagai perbandingan. Kalau 2008 GT yang baru masuk Malaysia, lagi bagus