KERETA cantik yang sepadan kuasa, itulah boleh digambarkan pada Mazda3 2.5 Turbo (2021) pasaran Amerika Syarikat (AS) ini.
Mazda3 dengan nadi Skyactiv-G 2.5L Turbo mempunyai kuasa setinggi 250hp dan tork 434Nm yang dipadankan sistem pacuan semua roda (AWD) i-Activ, manakala transmisi jenis automatik 6-kelajuan Skyactiv-Drive. Output sebesar itu dapat dijana jika menggunakan petrol premium oktana 93, dan menurun kepada 227 hp, 420 Nm apabila menggunakan petrol oktana 87.
Rekabentuk cantik, trenkuasa prestasi tinggi dan pacuan semua roda, semua ini jelas menjadi formula menggiurkan untuk peminat kereta penumpang berprestasi.
BACA >>> Mazda Perkenal Siri Carbon Edition (2021) dengan Warna Kelabu Kusam Baharu
Selain berkuasa tinggi, Mazda3 2.5 Turbo ini tampil lebih agresif dengan pakej Premium Plus yang mana pembeli ditawarkan kit badan seperti pengempang udara (air dam) pada bampar depan dan spoiler bumbung, termasuk pilihan difuser belakang dan skirt sisi.
Bagi semua model Mazda3, pelanggan boleh mendapatkan rim BBS 18 inci warna hitam kilat.
Berikut ciri standard Mazd3 2.5 Turbo (2021):
- Stereng kulit dengan fungsi pemanas dan pedal syif.
- Cermin pandang belakang tanpa frem dan kemasan krom pada laci papan pemuka dan butang tekan mula (push-start).
- Paparan dongak (HUD) Active Driving Display Mazda.
- Bumbung bulan (moonroof) berkuasa, kerusi dengan pemanas, dan gril pembesar suara aluminium.
- Teknologi i-Activsense dengan Kawalan Jelajah Radar Mazda (MRCC), Sokongan Brek Pintar (SBS), Pemantau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA), Amaran Tukar Lorong (LDW) dengan Bantuan Kekal Lorong (LKA) , Amaran Perhatian Pemandu (DAA), Lampu Depan Adaptif (AFS) dan Kawalan Lampu Suluh Tinggi (HBC).
- Muncung ekzos lebih besar, cermin sisi dan gril hitam kilat, dan logo TURBO pada but dan penutup enjin.
Selain enjin turbo, Mazda3 (2021) turut didatangkan dengan dua enjin aspirasi natural (NA), 2.0L Skyactiv-G atau 2.5L Skyactiv-G dan pilihan AWD i-Activ dengan harga disyorkan AS$20,500 (RM84,350).
Harga Mazda3 2.5 Turbo bermula AS$29,900 (RM123,020). Penawaran model turbo ini sebenarnya mengingatkan kepada Mazda3 MPS yang pernah ditawarkan suatu masa dulu.
Lagi persoalan menarik, adakah Mazda3 2.5 Turbo (2021) dapat ditala hingga mampu menyaingi Civic Type R?
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Crossover EV Mazda MX-30 Cuma Dapat Pandu 200km?
Leave a Reply