MINI Malaysia memperkenalkan model prestasi tinggi John Cooper Works GP untuk pasaran Malaysia yang didatangkan dalam edisi terhad 10 unit daripada 3,000 unit seluruh dunia. Tiga unit sudah ditempah dan kini cuma tinggal tujuh unit sahaja.
John Cooper Works GP didatangkan dengan enjin 4-silinder 2.0L TwinPower Turbo berkuasa 306hp dan tork 450Nm, manakala hantaran kuasa ke roda disalurkan menerusi transmisi Steptronic 8-kelajuan. Pecutan 0-100kmj dapat dibuat sepantas 5.2 saat dengan kelajuan maksimum 265kmj.
BACA >>> MINI Electric Kini di Malaysia dengan Ansuran Bulanan Serendah RM2.4k
Luaran kereta tampil sporty dengan warna Grey Metallic (kelabu) yang dipadankan aksen merah pada sisi pintu, depan dan spoiler.
Kelihatan lencana GP pada penutup enjin, spoiler, rim, sil pintu, kit aero dan beberapa bahagian lain yang menyerlahkan ciri unik model ini. Bahagian bumbung dan perumah cermin sisi disemburkan warna Melting Silver (perak).
Penampilan model MINI paling berkuasa ini disempurnakan lagi dengan rim JCW GP dwi-tona 18 inci yang dibalut tayar prestasi dan ekzos kembar GP 90mm jenis keluli tahan karat di tengah bampar.
BACA >>> Toyota GR Yaris - Hot-Hatch Rali Jadian dengan Kuasa 257hp, 360Nm!
Menjengah ruang kabin, stereng kereta dipasangkan salutan jenama Walkpapa. Sistem navigasi MINI Visual Boost ditawarkan standard dengan skrin sentuh 8.8 inci yang siap dengan konektiviti Apple CarPlay.
Juga ada panel hitam kluster instrumen digital pada kolum stereng. Skrin warna 5 inci resolusi tinggi itu memaparkan spidometer digital dan dalam bentuk skala, termasuk paparan spesifik seperti maklum balas sementara dan paparan kekal selepas mod GP diaktifkan.
John Cooper Works GP boleh dimiliki pada harga RM377,470.90, tidak termasuk cukai dan dipakejkan bersama program Bantuan Jalanan 5 Tahun MINI Malaysia yang juga ditawarkan untuk semua kenderaan MINI baharu.
Jika mengambil pakej pembiayaan BMW Group Financial Services, model edisi terhad ini boleh dibawa pulang pada ansuran bulanan serendah RM4,184 selama lima tahun dengan pinjaman sebanyak 80 peratus.
Senarai program Bantuan Jalanan MINI terdiri daripada perkhidmatan bantuan kemalangan 24-jam, bantuan menerusi telefon dan hotline, servis tunda percuma dan apabila diperlukan (lebih 200km dari rumah), penukaraan kereta, jaringan Internet tanpa had, penginapan, solusi servis mobiliti dan servis penghantaran.
Bantuan Jalanan MINI boleh diakses dengan menghubungi 1800-88-8808.
BACA >>> MINI John Cooper Works GP (2020) Bakal Hadir dengan Kuasa Lebih 300hp!
Leave a Reply