IKON kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah baharu, Bentley Bentayga baru saja didedahkan kepada umum pada 30 Jun lalu sebagai versi dipertingkat (facelift) dengan menampilkan perubahan signifikan berbanding model terdahulu yang diperkenalkan pada November 2015.
Pengenalan SUV adalah keputusan tepat dilakukan Bentley. Sejak dilancarkan, lebih 20,000 unit dijual dan dianggap angka cemerlang untuk bagi jenama kenderaan mewah.
Bukan hanya menawarkan kemewahan, tetapi ketika dilancarkan, Bentayga adalah SUV terpantas, berkuasa dan paling eksklusif di dunia. Model itu turut membawa impak cukup bermakna buat Bentley apabila program melibatkan pelaburan £840 juta (RM4.48 bilion) itu mewujudkan 1,500 pekerjaan di Britain.
SUV MEWAH SERBA BOLEH
Dengan legasi itu, penting untuk Bentayga meneruskan kejayaan sedia ada. Jadi model 2020 ini hadir sama seperti versi terdahulu dengan menawarkan prestasi jentera grand tourer, limosin mewah, kereta famili luas dan kenderaan off-road. Dari situ sudah boleh dilihat kemampuan Bentayga sebagai SUV serba boleh di sebalik imej mewah dimiliki.
Bahagian luaran Bentayga membawa imej baharu Bentley yang diperkenalkan pada Continental GT generasi ketiga dan Flying Spur baharu. Kini ketiga-tiga model itu memiliki penampilan yang ada kaitan satu sama lain berbanding sebelum ini.
BACA >>> CEO Perodua: SUV Baharu Sah Guna Enjin 1.0L Turbo!
Setiap panel bahagian depan Bentayga (2020) direka semula untuk imej lebih kemas dan moden. Gril lebih besar dan tegak, manakala lampu LED matriks menggunakan rekaan signatur Bentley yang diilhamkan daripada perkakasan kaca potongan kristal.
Walaupun membawa imej klasik dan berkelas, SUV ini didatangkan dengan bampar paten agresif yang disengajakan bagi menonjolkan prestasi. Pengelap cermin adalah jenis bilah basah (wet-arm) yang kali pertama diperkenalkan dengan fungsi 22 jet pembasuh setiap bilah.
Satu perbezaan ketara dan paling jelas ialah bahagian belakang yang direka semula. Pintu belakang tidak sama dan lampu langsung berbeza, manakala saiz kini lebih kecil dan unik berbanding model terdahulu. Lokasi nombor pendaftaran diturunkan dari pintu belakang ke tengah bampar yang turut direka semula. Dari belakang, Bentayga (2020) nampak seperti model baharu sepenuhnya.
Selain itu, bunga tayar belakang dilebarkan kepada 20mm untuk memberi kelebihan dari segi dinamika pemanduan dan peletakan semula roda dalam gerbang roda menambah baik kedudukan SUV ini. Pelebaran bunga tayar mengurangkan usaha stereng dan memperbaiki respon linear. Roda digunakan juga baharu dan unik untuk Bentayga.
BACA >>> Bentley Hasilkan Mainan Garaj Kayu dan Kereta Mainan untuk Si Cilik
Bahagian dalaman turut dipertingkatkan dengan perubahan major pada stereng, fasia tengah dengan pelapik pintu, dan kerusi baharu yang kini boleh didapati dengan pengudaraan pada kerusi belakang. Penumpang belakang turut menikmati ruang kaki ekstra hingga 100mm bergantung kepada konfigurasi.
Trenkuasa SUV ini didatangkan terlebih dahulu dalam versi Bentayga V8 sebelum disusuli versi hibrid plug-in (PHEV) dan prestasi tinggi Speed W12 dengan enjin 6.0L TSI beberapa bulan akan datang.
Enjin petrol 4.0L V8 Twin Turbo mempunyai kuasa 542hp dan tork 770Nm dengan transmisi automatik 8-kelajuan. Keupayaan Bentayga V8 ini sudah setara kereta prestasi dengan pecutan 0-100kmj sepantas 4.5 saat, manakala kelajuan maksimum 290kmj.
Walaupun berkuasa tinggi dengan saiz enjin besar, penggunaan bahan api ialah 13.3 liter per 1ookm (kombinasi) yang antara lain disumbangkan teknologi nyah aktif empat daripada lapan silinder mengikut situasi pemanduan.
Dengan segala perubahan dilakukan, Bentayga (2020) sekali lagi membuktikan status SUV itu bukan sekadar model jenama mewah, tetapi lebih daripada itu. Ini ialah SUV mewah luar biasa!
BACA >>> Bentley Home Newent Collection - Harga Perabot Jenama Mewah Ini Lebih RM50k!
BACA >>> SUV Toyota Yaris Cross Diperkenal, Guna Platform Yaris Hatchback
Leave a Reply