ADA yang anggap sukan permotoran bukan sukan sebenar. Nampaknya mereka perlu fikir lagi!
Bagi mereka yang tidak berminat, sukan pemotoran seperti perlumbaan hanyalah aksi membosankan kerana melibatkan pelumba dan kereta atau motor yang berpusing-pusing dalam trek sama sampai tamat perlumbaan.
So dead wrong, dude!
Faktanya, ada banyak sukan lumba epik yang mampu menguji daya tahan pelumba menghadapi pelbagai kondisi trek dan cuaca ekstrem. Ia melibatkan cabaran mental, fizikal, mesin dan alam dengan pemandu dipaksa berlumba dalam trek lumba yang cukup memenatkan dan mampu membuatkan sesiapa saja jadi putus asa.
BACA >>> Orang Kuat Toyota, Akio dan IIda Masuk Lumba Enduran Sepang 1,000KM!
Sukan lumba seperti enduran memerlukan seseorang pelumba itu mendesak kemampuan diri dan jentera ke tahap maksimum. Ia umpama simbiosis manusia dan mesin untuk mengalahkan alam semula jadi. Di Malaysia, kita pun ada cabaran perlumbaan seumpama itu, dan salah satunya ialah Rainforest Challenge (RFC) yang tersenarai dalam 10 sukan terlasak dunia selain Rali Dakar dan Baja 1000 (disebut Baha).
Di Amerika Syarikat (AS), kejuaraan King of the Hammers juga antara sukan pemotoran terlasak dunia yang berada dalam senarai 10 teratas.
Acara sukan permotoran yang saya sertai ini walaupun tidak tersenarai sebagai 10 sukan pemotoran terlasak dunia, tetapi boleh dianggap sebagai teaser kepada sukan lasak seperti Baja 1000 dan King of the Hammers. Inilah sukan lumba off-road BFGoodrich Mint 400 di Las Vegas, Nevada yang berlangsung 6 dan 7 Mac lalu.
Mungkin suatu hari nanti saya berpeluang terbang ke Mexico untuk menonton pula aksi Baja 1000 ataupun Rali Dakar secara langsung.
BACA >>> BFGoodrich Kembali Ke Pasaran Malaysia - Tiga Produk Tayar Baharu Diperkenalkan
APAKAH MINT 400?
Sebaik saja masuk lapangan terbang Las Vegas, Nevada, saya disambut lampu neon dan bunyi mesin slot. Mungkin ini sambutan selamat datang paling menyeronokkan yang pernah saya rasa di lapangan terbang. Mujurlah iman masih kuat kerana tak terasa pula hendak cuba mesin-mesin judi yang bersepah merata-rata.
Las Vegas Strip terkenal seluruh dunia sebagai lokasi kasino, kelab, dan pesta liar yang bakal jadi pengalaman menyeronokkan kepada golongan suka berhibur dan berpeleseran. Malah penginapan saya di Hotel Golden Nugget yang terletak di Jalan Freemont pun dikelilingi banyak kasino, termasuk ruang lobi hotel pun penuh mesin slot.
Siapa sangka lokasi hiburan yang jadi sumber kewangan utama negeri Nevada turut menawarkan tarikan menarik lain setiap Mac. Itulah BFGoodrich Mint 400.
Asalnya dikenali sebagai Mint 400, sukan lumba off-road ini sudah berusia 52 tahun dan awalnya ada kaitan dengan hotel dan kasino. Malah, perlumbaan di kawasan padang pasir Las Vegas itu jauh berbeza dengan RFC yang perlu meredah hutan belantara.
Mint 400 bermula pada 1968 sebagai strategi pemasaran pembukaan The Mint Hotel and Casino. Perlumbaan pertama melibatkan 101 kenderaan sejauh 640km di kawasan gurun dari The Mint Hotel, Las Vegas ke Sahara Tahoe, Stateline (Tasik Tahoe).
BACA >>> Kembara Media Rasai Aksi Rainforest Challenge Grand Finale Dikuasakan Petron
Masa depan Mint 400 mula goyah apabila Hotel Mint dijual kepada Jack Binion (1988). Ahli perniagaan AS itu bagaimanapun merasakan perlumbaan dan aktiviti sampingan berupa acara lumba tidak banyak memberikan impak positif sepanjang jalan Fremont yang menjadi lokasi kasino miliknya.
Dipendekkan cerita, Mint 400 hanya berlangsung hingga 1989 sebelum dihentikan hampir 20 tahun. Kejuaraan tersebut hanya dikembalikan semula pada Mac 2008 ketika pengeluar tayar AS, General Tire menjadi penaja utama dan menjual lesen francais kepada pengarah filem dan televisyen, Matt dan Joshua Martelli, sekali gus membuka diari baharu dalam evolusi Mint 400.
Banyak pembaharuan dianjurkan seperti pengenalan segmen 'Pit Crew Challenge' dan 'The Girls of the Mint 400' sebagai antara tarikan baharu sukan lumba tersebut. Lebih menarik, perlumbaan tahun ini juga mencatatkan sejarah baharu apabila Miss Mint 400 baharu, Emily Dobrzenski turut berlumba dalam kategori 'Pro UTV'.
PENGALAMAN BAHARU
Sepanjang lima hari di Las Vegas, Nevada sebelum berlangsung kemuncak perlumbaan pada Sabtu, saya berkesempatan turut serta dalam acara tradisi BFGoodrich Mint 400, iaitu perarakan melibatkan 120 motosikal dan kereta merentasi Las Vegas Strip ke Jalan Freemont, iaitu lokasi berlangsung festival Mint 400.
Tahun lalu, jumlah penyertaan meningkat tiga kali ganda berbanding sebelumnya. Walaupun, dunia ketika ini sedang kecoh dengan isu penularan wabak Covid-19, tetapi acara ini tidak begitu terkesan kerana majoriti penyertaan datang daripada kalangan peserta tempatan.
Tahun ini, 550 pasukan terlibat dari 30 negeri seluruh AS, dan 17 negara luar yang bertanding 193km dari Nevada ke garisan sempadan California-Nevada.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mint 400, Matt Martelli berkata, perarakan tersebut adalah salah satu pendekatan penganjur meningkatkan keterujaan perlumbaan off-road padang pasir ke kawasan pusat bandar dan cara terbaik mengajak orang awam dan peminat ke Jalan Freemont menyertai Festival Off-Road Mint 400 dalam tempoh dua hari.
Tidak ketinggalan perarakan itu turut disertai juara tiga kali Mint 400 Unlimited Trak, Justin Lofton, dan juara 2017, Rob MacCachren (juara 2017) serta barisan depan Kevin Thompson dan Sara Price. Lebih menarik turut tersedia dua trak tentera yang turut menyertai perlumbaan kategori Mint 400 Military Challenge sebagai salah satu acara kebajikan bagi mengumpul dana AS$100,000 (RM430,200) untuk veteran dan lima kem askar.
BACA >>> Sainz Tamatkan Aksi 7,500km dengan MINI JCW Buggy untuk Juara Rali Dakar 2020
KOMITMEN BFGOODRICH & HARI KEMUNCAK PERLUMBAAN
Perlumbaan Mint 400 mendapat tajaan pengeluar tayar AS, BFGoodrich sejak 2015, yang juga bersetuju melanjutkan kontrak sebagai penaja utama hingga 2024.
Sebagai tanda komitmen, BFGoodrich menawarkan hadiah kontingensi bernilai AS$25,000 (RM107,550) kepada pasukan pemenang keseluruhan yang menggunakan tayar jenama itu. Malah Mint 400 menjadi salah satu acara untuk menyampaikan mempromosikan penggunaan produk BFGoodrich.
BFGoodrich membangunkan tayar radial menerusi pengalaman dalam perlumbaan off -oad dan memainkan peranan penting membangunkan jenama sukan Mint 400 peringkat global. Malah, Mint 400 meraih reputasi sebagai antara sukan lumba paling sukar kategori off-road.
Menyentuh aspek perlumbaan, memang tidak terkejar kerana terlalu banyak kategori. Secara mudah, ada empat kategori utama dipertandingkan:
- Four Wheel Vehicles
- Youth UTV
- Youth Motorcycle
- Motorcycles
Setiap kategori utama pula dipecahkan pula banyak kelas perlumbaan lain seperti Unlimited Truck, UTV Pro Turbo, Class 3000, Jeepspeed Trophy, Hooligan Enduro dan lain-lain.
Memang pening dan berpinau juga kepala apabila kali pertama menonton perlumbaan ini. Ditambah pula masalah jet lag sampai kena ambil masa dua hari menelaah baru faham. Sama seperti menonton Kejuaraan MotoGP yang mana aksi Moto2 dan Moto3 akan bermula terlebih dulu sebelum disudahi perlumbaan kemuncak, iaitu kelas premier MotoGP.
Begitu juga Mint 400, perlumbaan kemuncak berlangsung pada Sabtu, iaitu Trophy Unlimited Truck Mint 400 yang melibatkan campuran pasukan senior, berpengalaman dan baharu.
PERLUMBAAN TROPHY UNLIMITED TRUCK MINT 400
Pada Sabtu (7 Mac), saya dan rakan dari Britain, Mexico dan media tempatan bergerak ke litar Mint 400, iaitu kira-kira 45 minit perjalanan dari hotel di Freemont. Sebanyak 24 trak mula berbaris memenuhi petak mula di pentas utama.
Habuk berterbangan di mana-mana yang membuatkan mata rasa pedih dan kabur. Hairan juga saya macam mana pelumba-pelumba itu boleh berlumba atas trek gurun berdebu dengan jentera tanpa cermin depan. Mungkin pakai helmet ada wiper agaknya. 😅
Perlumbaan bermula pagi dan berakhir petang hari sama dengan menyaksikan Luke McMillin bersama rakan pandu, Jason Duncan merangkul gelaran juara dengan catatan masa 6:49:52. Bukan saja membawa pulang hadiah AS$15,000 (RM64,530), tetapi juga wang tambahan AS$25,000 (RM107,550) kerana menggunakan tayar BFGoodrich. Masyukkk...
“Aku tak percaya jadi juara, kami bekerja keras dan trak yang digunakan dibikin sejak 2014, memang badass,” kata McMillin.
Bagi McMillin, kemenangan itu cukup bermakna memandangkan keluarganya sudah terlibat dalam perlumbaan off-road sejak sekian lama generasi ke generasi. Malah kejuaraan tahun ini peserta perlu melengkapkan 4 lap sejauh 688km. Ini juga kemenangan keempat untuk dinasti perlumbaan off-road McMillin. Malah, sepupunya Andy McMillin pernah menjadi juara 2009 dan 2014. Tempat kedua dirangkul Bryce Menzies (6:58:09) dan ketiga, Ryan Arciero (6:59:24).
Juga berlaku insiden luar jangka seperti apa menimpa pasukan Concrete Motorsports mengalami masalah teknikal, manakala Arciero pula tayar pancit.
Sebenarnya, apabila perlumbaan bermula, penonton sekadar dapat melihat permulaan lumba dan selebihnya perlu ditonton menerusi rakaman atas talian atau skrin khas disediakan penganjur.
Namun paling seronok, BFGoodrich ajak kami naik helikopter untuk menyaksikan perlumbaan dari udara. Memang bukan mudah hendak mengejar dan melihat kelibat trak-trak yang berlumba kerana masing-masing memandu sangat laju dengan kelajuan purata lebih 200kmj.
Apapun, itu memang pengalaman luar biasa dan mengujakan. Lebih-lebih lagi ini kali pertama menjejakkan kaki ke bumi AS, juga kali pertama menonton sukan lumba enduran seperti itu, siap naik helikopter lagi. 😭
Terima kasih BFGoodrich untuk pengalaman cukup berharga ini!
BACA >>> #RetroAuto: Inilah Kisah Proton Putra WRC yang Tersimpan Rapi di Divisyen R3
Leave a Reply