RADIATOR ialah komponen penting bagi kenderaan dengan sistem penyejukan air (water cooling system). Namun, ada juga kereta tidak memerlukan radiator seperti Volkswagen kerana menggunakan sistem penyejukan udara.
Dalam sistem penyejukan air, enjin disejukkan menggunakan air yang melalui bahagian radiator untuk disejukkan sebelum kembali ke enjin. Kelebihannya, enjin dapat dilahukan (idling) dalam jangka masa lama tanpa masalah panas lampau (overheating).
BACA >>> #TahukahAnda: 4 Tanda Enjin Kereta Anda Mungkin Kena 'Overhaul'
Kelemahan sistem penyejukan udara pula ialah masalah panas lampau, terutama sekiranya kereta berhenti lahu dalam jangka masa lama. Ini kerana sistem penyejukan udara memerlukan aliran udara untuk menyejukkan enjin.
Walaupun sistem penyejukan air lebih praktikal, tetapi tidak terlalu lasak. Jadi ia perlu disenggara dari semasa ke semasa supaya dapat berfungsi pada tahap terbaik. Bagaimanakah cara menyenggara radiator? Ikut langkah di bawah ini:
CARA SERVIS RADIATOR
1. Buka palam buang (petcock) di bawah radiator (guna tangan atau playar) dan penutup radiator (radiator cap). Kemudian biarkan air dalam radiator dibuang habis.
2. Buka air pili (sederhana kuat) dan masukkan hos dalam radiator, tunggu sekejap hingga air mula keluar dari radiator, kemudian baru hidupkan enjin.
3. Biarkan enjin dalam keadaan lahu dan pastikan air yang mengalir keluar dari radiator tiada karat atau berwarna keruh. Mesti jernih.
4. Matikan enjin, pasangkan kembali palam buang bawah radiator dan isikan radiator dengan air tanpa penyejuk (coolant) sampai penuh.
5. Hidupkan enjin tanpa menutup penutup radiator. Selepas beberapa ketika, apabila enjin panas, air dalam radiator sepatutnya tidak mendidih. Jika mendidih, itu bermakna ada komponen tidak berfungsi dalam sistem penyejukan. Mungkin radiator tersumbat atau termostat tidak berfungsi.
6. Penyenggaraan radiator perlu dibuat setiap enam bulan sekali atau lebih kerap untuk mengelakkan komponen itu tersumbat atau sistem aliran air dalam enjin tersumbat disebabkan karat air atau karat besi. Jika berlaku, suhu enjin tidak lagi normal dan mungkin naik sedikit serta kemungkinan besar mengakibatkan simptom panas lampau.
7. Jika radiator tersumbat, ada kedai yang menawarkan servis membersihkan radiator tanpa perlu menanggalkan radiator dengan menggunakan mesin khas.
8. Jika radiator bocor, ambil tindakan segera dengan menukar radiator kerana jika dibiarkan, masalah panas lampau boleh berlaku yang menyebabkan kos baik pulih tinggi hingga mencecah empat angka!
BACA>>>#TahukahAnda: 4 Punca Kenapa Komponen Radiator Boleh Bocor?
Leave a Reply