PADA Pameran Motor Tokyo (TMS) 2019 lalu, Kawasaki mendedahkan dua model baharu yang menggemparkan peminat permotoran dunia, Z H2 dan Ninja ZX-25R.
Hari ini sempena pembukaan acara Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2019, pengeluar motosikal dari Jepun itu mendedahkan dua lagi jentera. Namun itu bukan model baharu, tetapi produk yang dikemas kini, iaitu superbike Ninja 1000SX (2020) dan naked bike Z900 (2020).
Memandangkan Eropah mula mengetatkan syarat emisi untuk model motosikal yang mahu dijual di sana, Kawasaki kini sudah siap membangunkan enjin Ninja 1000SX yang patuh Euro 5. Paling penting sesaran dan output masih lagi sama.
BACA >>> Dokumen Kawasaki Ninja 1000 (2020) Didedahkan, Patuh Euro 5 yang Lebih Mesra Alam
1. KAWASAKI NINJA 1000SX (2020)
Ninja 1000SX (2020) dipacu trenkuasa 4-lejang 4 sebaris 1,043cc penyejukan cecair ini mampu meledakkan kuasa setinggi 140hp @ 10,000Nm dan tork 111Nm @ 8,000rpm, dengan transmisi klac manual 6-kelajuan berserta ciri klac anti-gelincir (A&S).
Ciri lama masih dikekalkan, seperti dua mod kuasa, sistem kawalan traksi tiga peringkat, unit pengurusan inersia (IMU) berasaskan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Selekoh dan suspensi belakang jenis horizontal back-link.
Sebagai tambahan, superbike ini didatangkan standard dengan Kawalan Jelajah Elektronik (ECC) dan Quickshifter dua-hala. Perubahan besar lain adalah panel instrumen TFT 10.9 inci dengan sambungan Bluetooth menerusi antaramuka ‘Rideology The App’.
Panel meter baharu ini menggantikan unit semi-digital pada model terdahulu. Dari segi keselesaan tunggangan, Ninja 1000SX (2020) mempertaruhkan fork terbalik (USD) 41mm boleh laras dan horizontal back-link. Keselesaan ergonomik disempurnkan menerusi pelana pembonceng yang lebih tebal dan lebar, manakala visor pengadang angin kini boleh dilaraskan kepada empat tetapan.
BACA >>> Kawasaki Perkenal Z1000 R Edition (2020), Bengis Habis!
Satu lagi ciri baharu yang mencuri perhatian adalah ekzos sisi tunggal yang direka semula. Walaupun nampak gemuk, tetapi sebenarnya lebih ringan yang menyumbang kepada pengurangan berat sebanyak 2kg. Ada tiga pilihan warna ditawarkan: hijau, kelabu dan putih.
2. KAWASAKI Z900 (2020)
Model naked bike kelas middleweight ini juga patuh Euro5. Z900 (2020) kini tampil dengan Sistem Kawalan Traksi, dua mod kuasa dan empat mod tunggangan: Sport, Road, Rain dan Manual.
Enjin 948cc itu masih menghasilkan angka kuasa sama, 123hp @ 9,500rpm dan tork maksimum 98.6Nm @ 7,700rpm. Namun, edisi 2020 ini dipasangkan tayar baharu jenis Dunlop Sportmax Roadsport 2 untuk cengkaman dan pengendalian lebih baik.
Pembaharuan lain yang dikesan ialah panel instrumen 10.9 inci yang menggantikan unit semi digital sebelumnya. Ia juga boleh disambungkan kepada telefon pintar menerusi antaramuka 'Rideology The App'. Iluminasi latar kini diberikan ciri LED. Ada empat pilihan warna untuk dipilih: kelabu, hijau, putih dan hitam.
Amir Ashraf says
Bila Z900 2020 launch Di malaysia