KAMI sebelum ini pernah paparkan artikel mengenai Nissan Patrol (2020) sebagai model paling besar dalam famili kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan. Patrol sebenarnya ada kembar, dikenali sebagai Armada dan dijual di pasaran Amerika Syarikat (AS).
Nissan pada 24 September lalu mengumumkan kemunculan Armada (2020), iaitu sehari sebelum Patrol (2020) diperkenalkan. Jika Patrol (2020) sudah menerima perubahan luaran dan dalaman, sebaliknya Armada (2020) pasaran AS mengekalkan rekabentuk sama dengan dilengkapi pelbagai teknologi canggih.
Armada (2020) ialah SUV saiz penuh dengan 8-kerusi dan ruang but fleksibel. Model ini dijana enjin 5.6L V8 berkuasa 390hp dengan kemampuan tunda 3,855kg untuk kedua-dua varian pacuan, 4WD dan 2WD.
Antara perubahan Armada (2020) ialah ciri standard Cermin Pandang Belakang Pintar (i-RVM) dengan kamera resolusi tinggi yang dipasang di belakang kenderaan. Kualiti paparan mampu memberikan imej jelas dalam saiz penuh pada skrin LCD siap terpasang dalam cermin pandang belakang.
Jika mahu kembali kepada fungsi cermin konvensional, ubah saja suis di bawah cermin. Cermin luar dengan fungsi pemanasan juga diberikan standard.
BACA >>> #RetroAuto: Patrol - SUV Nissan Pertama Popular yang Dikeluarkan di Kilang Eropah
Aspek keselamatan Armada (2020) memang hebat, terdiri daripada:
- Kawalan Jarak Pintar (I-DC)
- Brek Kecemasan Automatik (AEB)
- Amaran Tukar Lorong/Intervensi Laluan Pintar (LDW/I-LI)
- Amaran Titik Buta (BSW)
- Intervensi Sandaran Pintar (Intelligent Back-up Intervention, I-BI)
- Sistem Penghidup Enjin Kawalan Jauh
- Sistem Infotainment dan Monitor Papar Keliling Pintar (I-AVM).
Armada (2020) didatangkan dalam empat varian: SV, SL, Platinum dan Platinum Reserve dengan dua pilihan pacuan: 4x2 atau 4x4. Setiap varian pula ditawarkan dengan empat pakej: Driver Package, Premium Package, Captain's Chairs Package dan 22" Wheel Package.
Harga Armada (2020) bermula AS$47,100 (RM197,370) untuk varian asas SV 4x2 dan AS$68,030 (RM285,080) untuk varian paling premium Platinum Reserve 4x4.
BACA >>> Nissan Navara (2019) Eropah Kini Cuma Ada Enjin 2.3L Twin Turbo, Tetapi Berkuasa!
Leave a Reply