MAZDA2 yang anda lihat atas jalan hari ini bukan model tempelan sebagai pelengkap barisan produk Mazda. Sejak generasi ketiga, kehebatan hatchback ini begitu menyerlah apabila menerima Anugerah Kereta Terbaik Tahunan Dunia (WCOTY) 2008.
Mazda2 generasi keempat pula memasuki pasaran pada 2014 dan menerima Anugerah Kereta Terbaik Jepun (2014-2015). Di Malaysia, Mazda2 mempunyai kelompok peminat tersendiri dan berjaya membuktikan nilai prestij tersendiri ketika berdepan cabaran daripada jenama Jepun popular lain.
Harga ketika dilancarkan di pasaran tempatan pada 2015 ialah sekitar RM88,000 (kini RM75,000-RM93,000), iaitu harga premium berdasarkan saiz dan spesifikasi. Namun, apa yang membuatkan Mazda2 istimewa, model ini mempunyai ruang dalaman ala kereta sport untuk menyerlahkan aura model itu.
BACA >>> Brosur Mazda2 Facelift Bocor Sebelum Rasmi Dilancarkan di Jepun
TEMPAHAN DIBUKA DI JEPUN
Memasuki tahun kelima di pasaran, Mazda masih menaruh kepercayaan kepada model generasi keempat. Pada 18 Julai lalu, pengeluar itu mula membuka pra-tempahan untuk model versi dipertingkat (facelift).
Luaran Mazda2 (2020) facelift tampak kemas dan segar walaupun menampilkan perubahan minimum. Rupa depan Mazda2 nampak ala 'abang besar' Mazda6 dengan lampu tirus dan kemasan krom horinzontal di bawah bampar baharu. Dari sisi, semua sama seperti model terdahulu, kecuali rim aloi 16 inci paten menegak yang membuatkan hatchback segmen B ini nampak lebih besar.
Rupa belakang berubah pada bahagian corak lampu. Bawah bampar yang dulu membujur, tetapi kini melintang dengan kemasan krom dan tampak harmoni dengan bampar depan.
BACA >>> Mazda2 Remuk Teruk, Tetapi Pemandu Hanya Luka Kecil
Perubahan Mazda2 (2019) Facelift Spesifikasi Jepun
- Ada 2 jenis pacuan: roda depan (2WD) dan semua roda (AWD).
- Ada 2 varian enjin: SkyActiv-G 1.5 dan SkyActiv-D 1.8.
- Ada dua jenis transmisi: SkyActiv-Drive (6EC-AT) dan SkyActiv-Drive (6EC-MT).
- Suspensi ditala baharu untuk keselesaan pemanduan.
- Kerusi depan direka baharu untuk menambah baik ergonomik dalam kereta dan membantu mengekalkan posisi pemandu.
- Kawalan Pemvektoran-G Plus (G-Vectoring Control Plus, GVC Plus) untuk kestabilan pengendalian pada halaju tinggi
- Ruang kabin lebih senyap.
- Sistem multimedia Mazda Connect dengan fungsi konektiviti Apple CarPlay and Android Auto.
- Sistem brek regeneratif i-Eloop untuk menambah baik penjimatan bahan api petrol dan diesel.
- Kawalan jelajah pinta, Mazda Radar Cruise Control (MRCC) dengan fungsi henti-mula Stop & Go untuk varian automatik.
- Sistem Kekal Lorong (Lane-Keep Assist System, LAS).
- Lampu Adaptif LED (Adaptive LED Headlamp, ALH) dengan 20 blok LED untuk membantu pemanduan malam.
Mazda2 (2020) facelift akan mula dijual di Jepun pada 12 September ini pada harga bermula 1,544,400 yen (RM58,900) untuk varian asas 15S 2WD (FF) SkyActiv-Drive (6EC-AT), hingga 2,619,000 yen (RM99,917) untuk varian paling premium XD L Package AWD SkyActiv-Drive (6EC-AT).
Berdasarkan pelancaran tersebut, Mazda2 (2020) facelift dijangka mula dipasarkan di Malaysia pada tahun depan.
BACA >>> Mazda Bukan Lagi Jenama Arus Perdana, Tetapi Sudah Berstatus Mewah?
Leave a Reply