JIKA menetap atau bekerja di bandar raya seperti Kuala Lumpur, Shah Alam atau bandar-bandar lain sekitar Lembah Klang, memang tidak dapat dinafikan motosikal adalah antara pengangkutan paling ideal. Selain menjimatkan kos seperti bahan api, tol dan parkir, saiz motosikal yang kecil dan ramping turut memudahkan anda meredah trafik, sekali gus menjadikan masa perjalanan ke pejabat atau destinasi lebih singkat.
Namun, tidak semua motosikal sesuai ditunggang dalam persekitaran urban atau dalam bandar. Ada jenis motosikal cukup berkuasa yang sukar dikawal, dan ada pula menelan kos tinggi untuk tunggangan harian.
Sebagai contoh, motosikal di bawah bukan sahaja menjanjikan anda selamat tiba ke pejabat dengan lebih awal dan BERGAYA, tetapi anda juga tidak perlu berkorban diri kononnya sedang acah-acah berpuasa sunat setiap kali rakan sekerja ajak keluar makan tengah hari. Maklumlah, belanja untuk perut sudah banyak habis ke motor. 😅
SUPER MOPED
Yamaha Y15ZR: Dilengkapi enjin cukup berkuasa dan paling kesukanan (sporty la tu) dalam kelas, sekali gus menjadikan moped atau kapcai 4 lejang terulung keluaran Yamaha ini kegilaan ramai. Bukan setakat kuasa, fizikal Y15ZR yang kecil dan ringan memudahkan moped ini dikawal dan diparkir. Anda cuma perlu memilih tempat selamat dan sediakan 'gari' secukupnya.
Saya lebih suka Honda RS150R yang menawarkan enjin 150cc DOHC dan transmisi 6-kelajuan, tetapi Yamaha Y15ZR lebih menepati cita rasa kebanyakan peminat kapcai Malaysia.
HARGA: RM9,600
ALTERNATIF: Honda RS150R
BACA >>> Yamaha Y15ZR Atau Honda RS150R? Kami Ada Jawapannya...
GAYA TANPA KEDANA
Modenas CT115: Ada banyak pilihan moped bersesaran rendah (110-125cc) yang masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Secara keseluruhan, CT 115S keluaran Modenas mampu menawarkan kepuasan tertinggi buat pemiliknya. Bukan sahaja praktikal (dilengkapi pengecas elektrik serbaguna) dan ekonomikal dari segi penggunaan bahan api dan kos penjagaan, CT 115S juga didatangkan dengan stail menarik seperti moped pesaing lain yang ditawarkan pada harga lebih tinggi.
HARGA: RM4,857
ALTERNATIF: Modenas MR2, Honda Wave Dash, Lagenda 115 Fi, Suzuki Smash 115 Fi
LANGKAH DAN PULAS
Yamaha Ego Solariz : Di pasaran, memang tidak banyak pengeluar motosikal yang menampilkan rekabentuk gaya feminin. Jadi, apabila Yamaha menawarkan Ego Solariz di pasaran, rata-rata penunggang skuter ini terdiri daripada kalangan kaum hawa. Bukan setakat gaya, saiz jentera kecil dengan berat basah cuma 94kg berserta transmisi automatik CVT, membuatkan skuter ini mudah dikawal mereka yang baru mula beralih kepada jentera dua roda.
HARGA: RM5,548
ALTERNATIF: Yamaha Ego Avantiz, Yamaha NVX155, Honda PCX150
EKSEKUTIF KEMBARA
Modenas Elegan 250 : Inilah motosikal buat anda yang bekerja di bandar, tetapi menginap jauh. Skuter maxi hasil kerjasama Modenas dan Kymco Taiwan ini boleh dianggap sebagai pengganti terdekat kepada kereta. Bukan sahaja praktikal, ruang simpanan bawah pelana cukup besar untuk menyimpan aneka barang.
Elegan 250 ini juga selesa ditunggang dengan penampilan penampan angin besar dan tinggi berserta rekaan elegan dan mewah membuatkan skuter ini sangat berbaloi dibeli kebanyakan eksekutif muda kerana menawarkan harga mampu milik.
HARGA: RM13,600
ALTERNATIF: SYM VTS200, Kymco Downtown 250i
STREETBIKE RAKYAT
Modenas Pulsar NS200 : Pada harga sekitar RM9,000, motosikal ini menawarkan gaya dan kuasa sebuah streetbike mewah. Enjin 200cc dengan teknologi 3 palam pencucuh, Bajaj DTS-i bukan sahaja mampu dipecut mencecah kelajuan 150kmj (mengikut paparan meter), malah mampu memberikan penjimatan bahan api memuaskan dengan jarak perjalanan maksimum dianggarkan kira-kira 350km bagi sekali isian penuh.
Jika anda mahukan pengalaman tunggangan yang mirip sebuah sportbike, tetapi pada kos lebih rendah, Pulsar NS200 atau Pulsar RS200 (versi fairing) memang pilihan sangat berbaloi.
HARGA: RM9,200
ALTERNATIF: Modenas Pulsar RS200, Yamaha FZ150i, Kawasaki z250SL, Naza N5
BACA >>> Bawa Bertenang! Ini Ialah Modenas Pulsar NS200 & Bukan Kawasaki Z1000
SPORTBIKE PERTAMA
Yamaha YZF-R25 : Mahu bergaya seperti idola MotoGP, tetapi kurang bajet? Yamaha R25 ialah jawapannya. Hal rekabentuk mungkin agak subjektif untuk didebatkan kerana pesaing lain turut menawarkan rekaan yang juga unik dan menarik. Namun, kelebihan R25 ialah nisbah kuasa yang ditawarkan berbanding nilai harga! Inilah yang membuatkan sportbike suku liter Yamaha ini nampak menggiurkan.
Bukan setakat ciri ergonomik yang sesuai untuk tunggangan harian, Yamaha R25 ini juga sesuai dibawa ke track day setiap hujung minggu tanpa perlu sebarang pengubahsuaian tambahan. Itupun jika teringin sangat merasa mengasah lutut seperti Marc Marquez atau Casey Stoner (eh, bukan VR46?)
HARGA: RM19,463
ALTERNATIF: Kawasaki Ninja 250, KTM RC250, Honda CBR250R
PENAKLUK URBAN
Kawasaki Versys-X 250: Sebutkan apa sahaja masalah tunggangan dalam bandar yang bakal dihadapi; sukar cari parkir, trafik terlalu sesak hingga menghalang jarak pandangan, jalan tidak rata dan berlubang, hujan lebat dan banjir kilat yang tidak menentu - Versys X-250 ada penyelesaiannya.
Selain sangat praktikal, sport tourer 250cc sulung Kawasasaki ini berkongsi enjin silinder berkembar 250cc bersama saudaranya Ninja 250 dan Z250. Dari segi kuasa masih mampu bersaing dengan sportbike 250cc yang lain. Jika mempunyai lesen B penuh dan masih berkemampuan, boleh pertimbangkan Honda CB500X sebagai alternatif.
HARGA: RM25,000
ALTERNATIF: KTN RS3, Honda CB500X
BACA>>>10 Motosikal Legenda Suzuki di Malaysia dalam Kenangan
Bagaimana, apakah anda setuju dengan pilihan motosikal di atas? Atau anda ada pilihan lain yang lebih terbaik. Lontarkan pandangan anda di ruangan komen di bawah!
* Harga dinyatakan sekadar perbandingan dengan motosikal lain, dan tidak semestinya 100 peratus menepati harga pasaran.
Ashley Banthras says
Salam. Sgt setuju dgn artikel ini. Saya juga adalah slh seorang rider tegar. Menggunakan motorsikal utk kegunaan harian dan konvoi ride. Motorsikal yg saya gunakan pada masa ini adalah Kawasaki Z250sl. Prestasi tidak menghampakan memandangkan saya menggunakannya setiap masa. Hanya dlm keadaan tertentu sahaja saya akan menggunakan Nissan Almera saya.
Ramli says
Bawak masuk mt15 slaz. Mesti laku punya.
RH says
Harap MT15 masuk Malaysia..lama dh tunggu.. negara jiran semua dh dpt.. Fz150 HLYM dah stop production dr tahun lepas.. tiada lg naked bike cc 150.
Adam Low says
terdahulu saya mintak maaf, saya perlu maklum balas di mana harus saya tuju dengan motor tourer pertama saya. Saya dah tinggalkan dunia dunia motor selama 25 tahun. Kalau maklum balas sila balas melalui email saya. Terima kasih.
fizi says
Macam mana plak dgn beneli trk 251 ? Sesuai ke jalan bandar..
helmi says
Hye. sy ada soalan. sy ingin membeli motor untuk kegunaan harian iaitu dari Seremban ke KL untuk ke office. Sesuai ke untuk sy membeli RS150? Ikutkan hati nak 250 akan tetapi tanggungan meningkat. Jadi sy hold la dulu untuk 250. Harap2 jawab la soalan sy yang tak seberapa ni. Thanks.