ADUH, ikutkan hati memang sudah lama nak upgrade sportbike, tapi risau pula tengok harga petrol naik turun setiap minggu. Mampu ke aku nak tanggung minyak nanti?
ARTIKEL kali ini ialah sambungan daripada SIRI 1 mengenai sportbike paling jimat minyak di Malaysia. Kali ini kami senaraikan pula model sportbike yang berada dalam 5 ranking teratas paling ekonomi dari segi kecekapan bahan api.
Senarai dibuat adalah berasaskan laman web Fuelly membabitkan sportbike versi naked dan streetbike. Senarai di bawah mungkin berbeza dengan pilihan peribadi anda, dan bergantung juga kepada tabiat menunggang anda. Tetapi data diperoleh kami itu adalah bersandarkan butiran teknikal bertulis. 🙂
5. NAZA N5R | N5
Dilancarkan terlebih dahulu sebagi model streetbike N5, Naza N5R atau nama asalnya, Hyosung GD250R hanya versi fairing penuh dengan sedikit perubahan ergonomik tunggangan. Walaupun mengekalkan enjin 250cc silinder tunggal dan transmisi 6-kelajuan sama, N5R menawarkan penjimataan bahan api lebih rendah pada 27.7km/liter berbanding N5 (29.9 km/liter).
Ini jelas menunjukkan kelebihan ergonomik N5R yang lebih sporty, manakala tambahan deflektor angin tinggi membolehkan penunggang lebih kerap memerah terotel berbanding versi naked, N5 yang kebiasaannya ditunggang lebih santai. Jika anda pentingkan kelajuan lebih daripada gaya, termasuk nilai harga yang sangat mampu milik, N5R dan N5 nampaknya lebih berbaloi berbanding Naza Blade 250 yang disenaraikan dalam Siri 1 sebelum ini.
SPESIFIKASI - Naza N5R
Enjin: 4-Lejang, Silinder Tunggal, 249cc, DOHC
Transmisi: Sirat malar (constant mesh) 6-kelajuan
Kuasa: 27.6hp @ 9,500 rpm
Tork: 24.17Nm @ 7,000 rpm
Berat Basah: 159kg
Kapasiti Tangki: 11 liter
Ekonomi Bahan Api: 27.7 km/liter | 3.61 liter/100km
Harga: RM 13,800
SPESIFIKASI - Naza N5
Enjin: 4-Lejang, Silinder Tunggal, 249cc, DOHC
Transmisi: Sirat malar (constant mesh) 6-kelajuan
Kuasa: 27.6hp @ 9,500rpm
Tork: 24.17Nm @ 7,000rpm
Berat Basah: 155kg
Kapasiti Tangki: 11 liter
Ekonomi Bahan Api: 29.9 km/liter | 3.34 liter/100km
Harga: RM9,500
4. HONDA CBR 250R
Sebagai sportbike 250cc dengan kuasa maksimum 26hp sahaja, harga ditawarkan CBR 250R nyata sukar diterima majoriti peminat motosikal tempatan. Apa tidaknya, pada harga sekitar RM21,000, anda boleh dapatkan sportbike dwi-silinder lain yang lebih sporty dan berkuasa, sekali gus menjadikan jentera ini sebagai pilihan paling kurang popular dalam kelas 250cc.
Namun, kuasa bukanlah tarikan utama sportbike Honda ini. Sebaliknya, CBR 250R menawarkan kualiti pemasangan dan keselesaan antara terbaik dalam kelas. Tambahan pula dengan kadar ekonomi bahan api pada 29km/liter, CBR 250R ialah pilihan seimbang buat mereka yang mahukan sportbike 250cc praktikal, selesa ditunggang dan tidak memeningkan kepala dengan seribu satu macam masalah remeh.
SPESIFIKASI - Honda CBR 250R
Enjin: 4-Lejang, Silinder Tunggal, 249cc, DOHC
Transmisi: Sirat malar (constant mesh) 6-kelajuan
Kuasa: 26hp @ 8,500rpm
Tork: 23Nm @ 7,000rpm
Berat Basah: 166kg
Kapasiti Tangki: 13 liter
Ekonomi Bahan Api: 29km/liter | 3.44 liter/100km
Harga: RM21,000
3. KTM RC200 | 200 DUKE
Mungkin pasangan jentera KTM 200cc ini tidak lagi diberi perhatian seperti RC250 dan 250 Duke yang baru dinaik taraf tahun ini, tetapi situasi sebegini membuka peluang lebih baik. Kepada mereka yang selama ini mengimpikan memiliki jentera jenama Austria itu, RC200 dan 200 Duke kini boleh didapati pada harga lebih mampu milik. Ada sesetengah penjual menawarkan model tersebut pada harga sekitar RM12,000 selepas rebat.
Kelajuan maksimum sekitar 139kmj daripada sebuah sportbike fairing penuh dengan gaya agresif pasti sedikit mengecewakan. Bagaimanapun, jika rutin tunggangan anda lebih banyak bertumpu dalam kawasan bandar, kelajuan tersebut masih memuaskan. Lebih-lebih jika anda mengharapkan sebuah jentera dengan penjimatan bahan api yang mana sportbike dan streetbike 200cc ini mampu mencapai sejauh 35km/liter!
SPESIFIKASI - KTM RC 200
Enjin: 4-Lejang, Silinder Tunggal, 199.5cc, DOHC
Transmisi: Sirat malar (constant mesh) 6-kelajuan
Kuasa: 24.65hp @ 10,000rpm
Tork: 19.2Nm @ 8,000rpm
Berat Basah: 154kg
Kapasiti Tangki: 9.5 liter
Ekonomi Bahan Api: 35km/liter | 2.86 liter/100km
Harga: RM 16,800
SPESIFIKASI - KTM 200 Duke
Enjin: 4-Lejang, Silinder Tunggal, 199.5cc, DOHC
Transmisi: Sirat malar (constant mesh) 6-kelajuan
Kuasa: 24.65hp @ 10,000rpm
Tork: 19.2Nm @ 8,000rpm
Berat Basah: 154kg
Kapasiti Tangki: 9.5liter
Ekonomi Bahan Api: 35km/liter | 2.86 liter/100km
Harga: RM15,800
2. MODENAS PULSAR RS200, NS200
Baru sahaja dibawa masuk ke pasaran tempatan daripada Modenas pertengahan tahun ini yang mana pasangan jentera tersebut ialah versi penjenamaan semula daripada model asal buatan pengeluar motosikal nombor satu di India, Bajaj.
Menurut Modenas, RS200 dan NS200 mendapat sambutan begitu hangat hingga tempoh tempahan terpaksa dilanjutkan dua bulan. Selain harga sangat mampu milik, antara daya tarikan utama dua model itu semestinya enjin, di mana Bajaj mendapat lesen daripada KTM untuk menggunakan enjin yang sama dengan KTM 200cc.
Bersama sedikit perubahan ke atas kepala silinder dengan konfigurasi SOHC dan teknologi tiga palam pencucuh, digelar DTS-i, RS200 dan NS200 mampu menandingi prestasi jentera RC200 dan 200 Duke milik KTM. Malah, memberikan bacaan ekonomi bahan api hampir sama dalam lingkungan purata sekitar 35-40km/liter. Kombinasi gaya maskular, enjin 200cc berkuasa, penjimatan bahan api dan harga sekitar RM10,000, semua kombinasi tersebut ialah resipi mudah untuk membuatkan motosikal tersebut laris bak pisang goreng panas.
SPESIFIKASI - Modenas Pulsar RS200
Enjin: 4-Lejang, Silinder Tunggal, 199.5cc, SOHC, DTS-i
Transmisi: Sirat malar (constant mesh) 6-kelajuan
Kuasa: 24.5hp @ 9,750rpm
Tork: 18.6Nm @ 8,000rpm
Berat Basah: 165kg
Kapasiti Tangki: 13 liter
Ekonomi Bahan Api: 35km/liter | 2.86 liter/100km
Harga: RM11,300
SPESIFIKASI - Modenas Pulsar NS200
Enjin: 4-Lejang, Silinder Tunggal, 199.5cc, SOHC, DTS-i
Transmisi: Sirat malar (constant mesh) 6-kelajuan
Kuasa: 24.5hp @ 9,750rpm
Tork: 18.6Nm @ 8,000rpm
Berat Basah: 152kg
Kapasiti Tangki: 12 liter
Ekonomi Bahan Api: 35km/liter | 2.86 liter/100km
Harga: RM9,200
1. YAMAHA FZ150i
Baiklah, kami akui 'main tipu' sedikit untuk cukupkan senarai ini. Tetapi hakikatnya, di sebalik rekabentuk naked dimiliki streetbike tersebut, Yamaha FZ150i sebenarnya menawarkan ciri-ciri sebuah sportbike! 🙂
Merupakan versi 'naked' kepada sportbike YZF-R15 yang tidak pernah dilancarkan di Malaysia, FZ150i yang bernadikan enjin silinder tunggal 150cc dengan teknologi suntikan bahan api ialah pilihan utama di kalangan penunggang yang mahu menaik taraf motosikal dengan bajet yang lebih mesra poket.
Terima kasih kepada kualiti pengendalian seperti motosikal sebenar (tangki depan), lebih berkuasa berbanding kapcai biasa, mampu menunggang jauh dan juga jimat minyak! FZ150i mampu mencapai penjimatan bahan api pada 40km/liter. Jadi, tidak hairanlah streetbike Yamaha ini kekal popular selama hampir 10 tahun di pasaran.
Tidak perlu risau jika anda cerewet dengan rekabentuk 'togel' tersebut kerana kos untuk menjelmakan semula FZ150i kepada R15 tidaklah begitu mahal. Namun, sama ada berbaloi atau tidak diubah suai, terpulanglah kepada anda. Khabarnya, Yamaha R15 v3 mungkin akan menjengah tidak lama lagi dengan rekaan sportbike 155cc paling sporty. Hmm.. pasti ramai tidak sabarkan?
SPESIFIKASI - Yamaha FZ150i
Enjin: 4-Lejang, Silinder Tunggal, 149.8 cc, SOHC
Transmisi: Sirat malar (constant mesh) 5-kelajuan
Kuasa: 16.3hp @ 8,500rpm
Tork: 14.4Nm @ 7,500rpm
Berat Basah: 125kg
Kapasiti Tangki: 12 liter
Ekonomi Bahan Api: 40 km/liter | 2.5 liter/100km
Harga: RM9,150
Bagaimana, puas hati dengan pilihan sportbike yang kami senaraikan? Mungkin anda ada pengalaman sendiri dengan sportbike lain yang tidak disenaraikan dalam artikel ini. Jangan segan silu untuk kongsi di ruangan komen!
Long Commuter says
saya lebih selesa guna y125zr.alhamdulillah 3 tahun ulang alik keje dari kuala selangor ke kuala lumpur.walaupun orang cakap y125zr kuat makan minyak.tapi.kalau kelajuan mantain 100 - 120 kmh.x luak pun minyaknye.lagipun,ketahanan yamaha memang terbukti.tapi citarasa and praktikaliti hak masing2...
Msyafi says
DARI SEGI HARGA,MANAKAH YANG LEBIH SSUAI&JIMAT MINYAK.