BOLEHKAH anda bayangkan pemanduan tanpa semua inovasi teknologi kereta lumba di bawah ini? Formula Satu (F1) misalnya, bukan hanya sekadar sukan permotoran, tetapi menjadi medan bagi pengeluar-pengeluar automobil membangunkan teknologi terbaik untuk mengatasi sebarang masalah teknikal dalam situasi pemanduan paling genting.
Justeru apabila teknologi itu diimplementasikan terhadap kereta massa, apa yang sedang kita pandu sekarang ini ialah sebuah kenderaan yang lebih selamat, lasak, pantas dan cekap. Antara teknologi tersebut ialah:
BACA >>> Honda Masih Komited Bangunkan Teknologi Enjin Hidrogen untuk Motosikal
1. BREK CAKERA
Walaupun era 1900-an, brek dram ialh jenis brek utama yang digunakan kebanyakan kenderaan atas darat, tetapi kini brek cakera nyata lebih superior. Jaguar ialah model pertama yang menggunakan aplikasi brek cakera ketika menyertai perlumbaan 24 Hours of Le Mans dengan mempertaruhkan tiga jentera C-Type pada 1953.
Keputusannya, dua daripada tiga model British itu menjadi juara dan naib juara. Walaupun ada beberapa kereta dilengkapi brek cakera mula dijual di pasaran selepas itu, penggunaannya pada kereta massa masih terhad hingga Citroen DS diperkenalkan pada 1955. Sejak itu, banyak kereta sport yang memerlukan kuasa penghenti terbaik mula mengadaptasi brek cakera secara meluas sebelum diikuti kenderaan massa lain.
BACA >>> #ApaNakBuat: 5 Tip Membrek Atas Jalan Basah Tanpa Bantuan ABS
2. GENTIAN KARBON
Gentian karbon bukan saja sangat kuat, tetapi juga lebih ringan berbanding logam biasa. Selain laju, kereta lumba juga perlu tahan lasak dan tampil sekompak mungkin. Jadi, gentian karbon adalah satu-satunya material paling relevan. Walaupun kereta lumba F1 awalnya menggunakan material logam, pengeluar mula beralih kepada gentian karbon pada 1980-an selepas mengetahui kelebihan material itu mampu membuatkan badan kereta lebih kuat dan selamat tanpa mengetepikan ketangkasan.
Disebabkan penghasilan gentian karbon memerlukan tenaga pakar dan menelan kos tinggi, jadi penggunaan material itu tidak digunakan secara meluas pada pembuatan kenderaan massa. Bagaimanapun, ia digunakan untuk menghasilkan kerangka ringan dan kecil bagi mendapatkan lebih ruang dalaman kepada penumpang.
BACA >>> Saintis AS Temui Cara Hasilkan Gentian Karbon Guna Tumbuhan
3. PUNAT TEKAN-MULA (PUSH-START BUTTON)
Tanpa kunci, pelumba cuma perlu menghidupkan kereta menggunakan punat tekan-mula di sebelah roda stereng. Ciri ini direka untuk menjimatkan masa dan memudahkan pelumba menghidupkan kereta sambil memasukkan gear pada masa sama.
Kebanyakan kereta moden masa kini memiliki fungsi punat tekan-mula walaupun berbeza rekabentuk. BMW misalnya menyediakan slot khas yang memerlukan pemandu memasukkan kunci sebelum menekan punat tekan-mula. Model Honda pula menawarkan sistem Entri Pintar (Smart Entry), di mana pintu boleh dibuka secara automatik apabila si pemegang kunci kawalan jauh menghampiri kereta. Selagi kunci berada dekat kereta, enjin boleh dihidupkan terus dengan menekan punat tekan-mula tanpa perlu menyentuh atau memasukkan kunci pada mana-mana slot.
BACA >>> #Videotomotif: Apa Terjadi Kalau Tertekan Punat Tekan-Mula?
4. PEDAL SYIF
Pelumba profesional tiada masa bergelut dengan transmisi manual. Pedal anjakan semi-automatik diperkenalkan kereta lumba Ferrari pada 1989. Ciri itu memberikan kawalan lebih baik kerana membolehkan pemandu mengawal penukaran gear menerusi pedal khas di sebalik roda stereng.
Apabila teknologi dipertingkatkan, tempoh lengah masa dapat dikurangkan, sekali gus memberikan lebih ketepatan dan kepantasan menukar gear. Pada 1995, semua kereta F1 menggunakan pedal anjakan, termasuk model atas jalan seperti Ferrari, BMW dan Porsche.
BACA >>> Benarkah Silap Guna Pedal Syif Punca Kotak Gear Kereta Rosak?
5. ACI SESONDOL ATAS KEMBAR (DOHC)
Dalam enjin kereta, aci sesondol (camshaft) berfungsi membuka injap yang membenarkan pertukaran udara dalam enjin. Aci Sesondol Atas Kembar atau DOHC bermaksud enjin berupaya mengepam lebih banyak udara ke dalam silinder, sekali gus memberikan ekstra kuasa dalam kelajuan tinggi.
Pada 1912, Georges Boillot memenangi Grand Prix Perancis dengan memandu satu-satunya kereta yang dikuasakan enjin DOHC. Hari ini, rata-rata pengeluar sudah menjadikan DOHC sebagai asas pembangunan enjin kenderaan mereka.
BACA >>> SOHC atau DOHC? Enjin Mana Satu Lebih Bagus? Kenali Istilah, Fungsi dan Perbandingan
6. SISTEM PEMULIHAN TENAGA KINETIK - KERS
Sistem Pemulihan Tenaga Kinetik (Kinetic Energy Recovery System) atau KERS membantu menjimatkan tenaga ketika membrek, dan menyimpan untuk membantu pecutan dengan menekan satu punat. Lebih penting, selain menumpukan kepada kecekapan, KERS juga tidak mengabaikan kelajuan.
Fungsi awal KERS diuji ke atas kereta F1 pada 2008. Kini, kebanyakan pengeluar membangunkan KERS untuk meningkatkan kecekapan bahan api dan prestasi. Antara jentera hebat terawal menggunakan teknologi ini ialah McLaren P1 dan kereta konsep Porsche 918 RSR.
7. SISTEM BREK ANTI-KUNCI (ABS)
Sistem Brek Anti-Kunci (Anti-Locked Braking System) atau ABS secara automatik diaktifkan dengan merilis tekanan apabila pemandu membrek. ABS juga mengurangkan jarak pembrekan dalam banyak kes. Sebenarnya ciri ABS hanya pernah digunakan oleh pesawat udara sehinggalah kereta lumba Ferguson P99 dihasilkan pada 1961.
ABS diwajibkan di Amerika Syarikat (AS) sejak 2011 kerana berupaya membantu pemandu memberikan fokus ke atas kawalan stereng ketika membrek kecemasan.
BACA >>> #ApaNakBuat: 5 Tip Membrek dengan Betul dan Selamat
8. CERMIN PANDANG BELAKANG
Semasa perlumbaan Indianapolis 500 pada 1911, pelumba AS, Ray Harroun memasang cermin pandang belakang pada kereta lumbanya supaya dapat melihat kereta-kereta lawan di belakang tanpa perlu membawa bersama seorang mekanik sebagai pembantu. Harroun mendapat idea tersebut apabila melihat cermin yang juga berfungsi sama pada sebuah kereta kuda. Beliau berpendapat cermin seperti itu mampu mengurangkan berat dalam kereta lumbanya.
Pada 1900-an, memang ada beberapa pemandu kereta atas jalan raya yang membawa cermin kecil yang digunakan untuk melihat keadaan lalu lintas di belakang mereka. Tetapi cermin itu perlu dipegang sendiri dan diangkat dari semasa ke semasa. Pengeluar kereta hanya mula memperkenalkan cermin pandang belakang pada kenderaan massa pada 1914. Sejak itu, ia terus menjadi ciri standard automobil.
BACA >>> #ApaNakBuat: Bagaimanakah Guna Cermin Pandang Belakang dengan Betul?
9. AERODINAMIK
Saintis, Wunibald Kamm mendapati bumbung yang tinggi dan rata serta hujung belakang bersegi membolehkan kereta membelah udara dengan lebih baik berbanding rekabentuk lain. Rekabentuk aerodinamik dipanggil Kammback itu menjadi popular menerusi Ferrari 250 GT Drogo yang terkenal dengan julukan 'van roti' berikutan rekaan belakang berbentuk segiempat.
Hari ini, kebanyakan kereta moden sudah memperhalusi rekabentuk aerodinamik. Kereta hibrid adalah antara kenderaan yang berkongsi persamaan paling hampir dengan inovasi rekabentuk aerodinamik dalam usaha mendapatkan tahap kecekapan bahan api maksimum. Spoiler dan sayap turut digunakan apabila jurutera kereta lumba cuba mencari solusi terbaik untuk memberikan keseimbangan ke atas daya seretan dan traksi kereta.
10. SUSPENSI
Suspensi dalam pengeluaran kereta berkembang hampir secara terus daripada teknologi kereta lumba. Secara teknikal, kereta dapat beroperasi dengan baik apabila kempat-empat tayar berada atas jalan. Ini bermakna roda lain sepatutnya boleh bergerak bebas apabila kereta melanggar bonggol, lubang atau sebarang permukaan jalan tidak rata.
Suspensi independen untuk kereta lumba ialah multilink yang mula dirintis kereta lumba F1, selain ideal untuk trek off-road. Topang (strut) MacPherson berasal daripada perlumbaan NASCAR.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Suspensi Double Wishbone, Kenapa Lebih Superior?
Leave a Reply