JUALAN kenderaan kian bertambah saban tahun dan disokong pengenalan pelbagai model baharu selain peningkatan kuasa membeli pengguna dan bilangan pemandu baharu.
Pertambahan kenderaan juga mengubah suasana di jalan raya seluruh negara dengan mengundang situasi trafik yang semakin sesak. Secara purata, hampir setengah juta kenderaan baharu berada atas jalan raya Malaysia setiap tahun.
Malah pertambahan kenderaan turut menjadi antara faktor penyumbang kepada kekerapan dan peningkatan kes kemalangan jalan raya. Sehebat mana skil atau langkah berhati-hati di jalan raya, kemalangan masih boleh berlaku akibat kecuaian orang lain.
Apa yang boleh pengeluar kenderaan bantu untuk mengurangkan kemalangan dan meningkatkan perlindungan terhadap nyawa pengguna jalan raya dan pemandu? Jawapannya, teknologi bantuan keselamatan termaju!
Bagi kenderaan Toyota, pakej keselamatan ditawarkan dipanggil Toyota Safety Sense (TSS). Setakat ini, UMW Toyota Motor menawarkan TSS untuk sembilan model jenama itu, termasuk sedan Camry 2.5V (2022) yang dilancarkan pada Februari tahun ini.
APAKAH ITU TSS?
Tahukah anda, ada lebih 10 juta kenderaan Toyota dengan pakej TSS dipandu atas jalan serata dunia? Pengenalan pertama pakej itu dibuat pada Mac 2015 dan Toyota cuma mengambil masa tiga tahun setengah untuk mencapai jumlah kenderaan tersebut. Malah TSS ditawarkan di lebih 68 negara seluruh dunia.
Secara mudah, TSS ialah pakej teknologi yang membantu mengelakkan, menghalang atau mencegah kenderaan rosak atau mendatangkan kecederaan kepada pemandu atau penumpang jika berlaku kemalangan jalan raya.
BAGAIMANA TSS CAMRY BERFUNGSI?
- Toyota Camry 2.5V menggunakan dua jenis alat pengimbas di depan kereta, iaitu sensor radar yang dipasangkan belakang gril, atau lebih tepat belakang logo Toyota.
- Pengimbas kedua ialah kamera depan yang ditempatkan di sebalik cermin depan kereta.
- Kedua-dua alat pengimbas tersebut berfungsi mengesan maklumat untuk membantu beberapa fungsi utama TSS.
- Semuanya ada lapan sensor, iaitu masing-masing empat unit pada bampar depan dan belakang untuk ciri TSS lain.
PERINCIAN TSS
Ada banyak aspek keselamatan terkandung dalam TSS untuk Camry 2.5V (2022). Teknologi itu menawarkan ciri keselamatan berdasarkan tiga fasa penting, iaitu sebelum (pra), semasa dan selepas (pasca) kemalangan berlaku. Berikut penjelasannya:
1. Sistem Pra-Pelanggaran (PCS)
- Ciri ini menggunakan sistem kamera dan radar untuk mengesan kebarangkalian insiden rempuhan dengan kenderaan, basikal dan pejalan kaki.
- Ciri ini dilengkapkan pada model Camry di Thailand dan Brunei, manakala Camry di negara Asean lain cuma mampu mengesan kenderaan, tidak termasuk basikal atau pejalan kaki.
- Sebaik saja sistem mengesan potensi tinggi perlanggaran, bunyi amaran akan kedengaran berserta paparan mesej pada kluster instrumen.
- PCS juga membantu meningkatkan daya membrek dan membantu membrek secara automatik untuk mengelakkan rempuhan atau mengurangkan impak perlanggaran.
2. Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC) - untuk Semua Kelajuan
- DRCC juga menggunakan radar dan kamera pada cermin depan untuk melaraskan halaju pergerakan, membantu mengekalkan jarak antara kenderaan depan dan kereta anda seperti ditetapkan.
3. Amaran Keluar Lorong (LDW)
- Kamera pada cermin depan juga membantu Camry kekal dalam lorong pemanduan.
- Jika sistem mengesan haluan memandu tersasar keluar, stereng akan rasa sedikit berat dan muncul paparan pada kluster instrumen dengan grafik pengadang jalan atau jalur lurus bertukar warna dari putih kepada jingga.
- Jika membelok tanpa menyalakan lampu signal belok, sistem juga memberikan peringatan sama.
- Indikator cermin sisi akan terpadam sebaik saja mengaktifkan lampu signal belok.
4. Bantuan Jejak Lorong (LTA)
- Ciri ini agak menarik kerana dapat digunakan bersama DRCC (apabila diaktifkan) untuk memastikan kenderaan berada di tengah lorong (antara dua garisan jalan kiri dan kanan).
- Sistem ini menggunakan kamera pada cermin depan dan kadangkala membantu memusingkan stereng (minimum) untuk mengelakkan kereta melencong keluar lorong.
5. Pemantau Titik Buta (BSM)
- Fungsi BSM sama seperti ciri yang ada pada kebanyakan model jenama lain. Ada indikator amaran dalam warna jinggaakan menyala pada kedua-dua cermin sisi jika mengesan kehadiran kenderaan lain dalam zon titik buta.
- Indikator amaran itu akan berkelip-kelip dalam situasi tertentu, termasuk apabila membelok mendekati kenderaan lain dalam zon titik buta. Fungsinya mudah, membantu anda menukar lorong dengan selamat dan yakin.
- Ciri BSM menggunakan sensor kiri dan kanan pada kedua-dua bampar untuk mengesan kenderaan lain dalam zon titik buta. BSM Camry ini juga dapat berfungsi pada halaju serendah 16kmj dan ke atas.
6. Brek Automatik untuk Trafik Lintas Belakang (RCTAB)
- Fungsi ini menggunakan sensor belakang BSM untuk mengimbas situasi trafik di belakang supaya pemandu dapat mengundur keluar dari lot parkir dengan selamat.
- RCTAB akan diaktifkan apabila tuil gear dalam posisi R (undur) atau sedang mengundur bawah halaju 8kmj. Ciri ini mampu mengesan kenderaan lain yang menghampiri Camry pada halaju 8kmj hingga 28kmj.
7. Monitor Pemandangan Panoramik (PVM)
- Ciri ini membantu anda mengemudi Camry dengan lebih yakin ketika keluar dan masuk lorong, di tempat sempit atau parkir dalam garaj.
- Visual skrin melibatkan dua seksyen paparan, iaitu pandangan belakang dan pandangan atas (bird eye view) yang terpapar automatik sebaik saja gear R (undur) dimasukkan.
- PVM juga berfungsi bersama sensor bantuan parkir.
8. Sensor Parkir
- Lapan sensor dengan empat unit pada bampar depan dan belakang membantu Camry mengesan kehadiran objek asing berdekatan ketika mengundur.
- Sensor parkir amat membantu ketika masuk atau keluar dari kawasan sempit.
- Ada paparan pada kluster instrumen dengan bunyi amaran jika Camry dipandu semakin dekat dengan sesuatu objek penghalang seperti pagar rumah ketika hendak memarkir.
9. Lampu Suluh Tinggi Automatik (AHB)
- AHB menggunakan kamera pada cermin depan untuk mengesan perubahan cahaya luar dengan mengaktifkan lampu suluh tinggi (high-beam) jika kereta berada di kawasan gelap atau malam.
- Sistem ini mengawal pilihan suluhan lampu tinggi atau rendah berdasarkan situasi sebenar di jalan raya.
- Jika kamera depan mengesan kelibat kenderaan lain dari depan, suluhan lampu tinggi akan bertukar kepada suluhan rendah (low-beam).
- AHB akan aktif jika kelajuan Camry melepasi 30kmj, tiada kenderaan lain di depan atau laluan bertentangan, dan mengesan kekurangan lampu jalan.
10. Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) dan Kawalan Traksi (TC)
- VSC membantu pemandu Camry mendapatkan semula kawalan terbaik dan mengelak berlaku insiden belokan kurang (understeer) atau belokan lebih (oversteer).
- Sistem VSC mengaktifkan brek secara automatik pada roda tertentu untuk menstabilkan semula pengendalian.
- TC pula membantu kereta mengekalkan cengkaman atas jalan walaupun ketika sedang melalui permukaan jalan licin atau basah.
11. Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
- Ciri ini memastikan roda Camry tidak terkunci ketika membrek mengejut secara kuat. Tujuannya, mengelakkan kereta insiden tergelincir, atau menggelongsor ke depan, selain mendapat semula kawalan pengendalian.
12. Signal Henti Kecemasan (ESS)
- Semua lampu signal belok akan menyala dan berkelip serentak apabila membrek mengejut. Tujuannya, memaklumkan pengguna jalan raya di belakang tentang situasi kecemasan yang sedang berlaku.
- ESS juga boleh aktif jika sistem Camry mendapati pemandu melepaskan tekanan pedal minyak secara tiba-tiba, dan kelajuan menurun mendadak.
13. Bantuan Daki Bukit (HSA)
- HSA membantu Camry supaya tidak terundur ke belakang ketika berhenti dan bergerak di permukaan berbukit, curam atau tinggi.
14. Brek Parkir Elektrik (EPB) dan Brek Pegun Automatik (AHB)
- Camry tidak didatangkan dengan brek tangan, sebaliknya dilengkapi brek elektrik dengan butang terletak pada konsol gear, bawah barisan mod pandu.
- Teknologi AHB juga membolehkan Carmy tidak bergerak dan kekal di posisi berhenti (atas permukaan rata), sama seperti menarik brek tangan untuk kenderaan konvensional. Fungsi AHB akan dinyah aktif automatik apabila pemandu menekan pedal minyak untuk bergerak.
15. 7 Beg Udara
- Selain ciri elektronik, Camry hadir dengan 7-beg udara SRS untuk melindungi dan mengurangkan impak ke atas pemandu dan penumpang jika berlaku kemalangan.
16. Perakam Video Digital (DVR)
- Satu alat perakam pemuka (dashcam) diberikan untuk membantu membuat rakaman ketika dalam perjalanan jika berlaku situasi kecemasan seperti kemalangan.
17. Sistem Telematik Kenderaan (VTS)
- VTS membantu memantau lokasi Camry secara masa nyata (real time) menerusi aplikasi mobil telefon pintar.
Camry bukan sekadar sebuah sedan biasa, tetapi sebuah kenderaan mobiliti pintar dengan pakej keselamatan terbaik yang benar-benar membantu melindungi anda sekeluarga sepanjang perjalanan.
Leave a Reply