SEPANJANG pengalaman kita memandu atau menunggang motosikal di jalan raya Malaysia, kita hanya ditunjuk ajar untuk berhenti ketika lampu isyarat merah, bergerak apabila lampu isyarat bertukar hijau dan bersedia untuk berhenti sekiranya lampu isyarat bertukar kuning.
Namun, ada sesuatu yang sudah ditambah baik pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya, iaitu menambah lampu isyarat berwarna biru. Adakah ini cuma taktik penguat kuasa untuk mengelirukan pengguna atau ada fungsi tertentu?
Lampu Biru, Psikologi Penguat Kuasa
Tipulah jika setiap kali terpandang lampu biru di jalan raya, kita tidak memperbetulkan kerusi atau memperlahankan kenderaan. Itu ialah refleks semulajadi yang sudah sebati dalam diri, tidak kira sama ada kita melakukan kesalahan atau tidak.
Lampu biru berkelip itu diprogram untuk menyerupai lampu mata arah (beacon) kenderaan peronda penguat kuasa (polis). Dari jauh, pemandu akan menyangka ada kereta peronda atau sekatan jalan raya (roadblock) di persimpangan tersebut.
Kesannya, pemandu secara automoatik akan memperlahankan kenderaan dan memandu lebih berhati-hati. Malah, ia turut membantu mengurangkan risiko kesalahan trafik di sesetengah kawasan yang ada kes trafik tinggi.
Penanda Kawasan Aliran Trafik Berbahaya

Selain itu, lampu biru sering diletakkan di kawasan cerunan bukit, persimpangan pembahagi jalan yang baru diubah suai, kawasan pembinaan, atau kawasan yang tiada lampu jalan cukup.
Cahaya biru mempunyai jarak gelombang sangat jelas pada waktu malam atau hujan, sekali gus bertindak sebagai penanda visual supaya pemandu menyedari mengenai wujud persimpangan atau selekoh tajam di depan.
Bantu Kurangkan Kemalangan
Akhir kata, penambahan lampu isyarat biru di bahu jalan, selekoh atau bukit bukanlah untuk menakut-nakutkan pengguna jalan raya.
Sebaliknya tidak lain tidak bukan untuk mengurangkan risiko insiden tidak diingini, mengembalikan fokus pemanduan dan meningkatkan kesedaran pengguna sekeliling.










