
KERAJAAN Negeri Selangor akan melaksanakan polisi bekerja dari rumah (BDR) untuk penjawat awam bermula 15 April, sebagai langkah awal menangani kesan konflik Asia Barat terhadap bekalan tenaga dan kenaikan harga barangan.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, pelaksanaan itu akan dibuat setiap Selasa hingga Khamis setiap minggu, dengan objektif mengurangkan penggunaan bahan api, melancarkan aliran trafik dan meningkatkan produktiviti kakitangan awam. Polisi ini turut akan disemak setiap bulan bagi menilai keberkesanannya.
Fokus Kurangkan Sesak, Kos Operasi

Langkah ini dijangka memberi impak langsung kepada keadaan trafik terutama di Lembah Klang, khususnya laluan utama menuju Shah Alam, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur yang sering sesak pada waktu puncak.
Selain menjimatkan penggunaan bahan api, pendekatan ini juga dilihat mampu mengurangkan kos operasi harian serta membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Perjalanan Rasmi Luar Negara Turut Dihentikan
Dalam masa sama, kerajaan negeri turut menghentikan perjalanan rasmi ke luar negara bagi semua jabatan, kecuali urusan berkaitan promosi pelaburan dan pelancongan ke Selangor.
Setiap jabatan juga diarahkan beroperasi dalam mod krisis bagi memastikan ekonomi tempatan, industri sokongan serta peluang pekerjaan rakyat Selangor terus terpelihara sepanjang tempoh ketidaktentuan global ini.
Sektor Swasta Digalak Ikut Langkah Sama
Amirudin turut menggesa sektor swasta untuk mempertimbangkan langkah serupa jika bersesuaian, dengan kerajaan negeri bersedia membantu dari segi penyesuaian teknologi digital dan sistem kerja fleksibel.
Pada masa sama, semakan Bajet Selangor 2026 dan penubuhan Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor akan dilaksanakan bagi menangani isu kos sara hidup, bantuan kepada rakyat terjejas, sokongan industri serta mempercepat peralihan tenaga.
SUMBER: BERNAMA







