
KEMENTERIAN Kewangan (MOF) akan menyekat MyKad individu yang dikesan menyalahgunakan subsidi petrol di bawah Program Budi Madani RON95 (BUDI95), susulan tular video pengisian bahan api ke dalam tong atau bekas kosong.
MOF dalam kenyataan memaklumkan tindakan itu diambil selepas siasatan mendapati individu terbabit merupakan warganegara Malaysia yang menggunakan MyKad bagi mendapatkan petrol bersubsidi secara tidak sah.
Salah Guna Subsidi, Langgar Peraturan
Menurut MOF, perbuatan mengisi petrol RON95 ke dalam tong jelas melanggar peraturan program subsidi kerana ia bukan untuk kegunaan kenderaan seperti ditetapkan.
Tindakan itu merupakan penyalahgunaan subsidi dan berpotensi menjejaskan usaha kerajaan memastikan pengurusan subsidi yang telus, bersasar serta berkesan,” menurut kenyataan itu.
Tindakan Tegas, Tiada Kompromi
Sehubungan itu, MOF menegaskan MyKad individu terlibat akan disekat, termasuk pemilik kenderaan yang menggunakan kad tersebut daripada terus menikmati manfaat BUDI95.
Kerajaan turut memberi amaran bahawa tiada kompromi akan diberikan terhadap sebarang bentuk ketirisan atau salah guna subsidi, terutama dalam situasi semasa yang memerlukan kawalan ketat terhadap bekalan dan harga bahan api.
Orang Ramai Digesa Salur Aduan
MOF turut menghargai kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat berhubung insiden tersebut, dan menggalakkan laporan terus dibuat bagi membantu tindakan penguatkuasaan.
Sebarang aduan boleh disalurkan melalui Pusat Khidmat Budi Madani bagi memastikan aktiviti tidak bertanggungjawab dapat dibendung secara berterusan.
SUMBER: AstroAwani







