
JENAMA kereta tempatan, PROTON kini menjadikan Quartz Black sebagai pilihan warna standard baharu untuk Proton X50 2026, susulan sambutan memberangsangkan terhadap X50 Black Edition yang diperkenalkan bulan lalu.
Sebelum ini, Proton hanya menawarkan 200 unit X50 Black Edition berasaskan varian Flagship, namun permintaan tinggi daripada pelanggan mendorong pengeluar nasional itu untuk memperluaskan warna tersebut kepada semua varian bermula bulan ini.
Harga Kekal Sama Untuk Semua Varian

Menariknya, pengenalan warna baharu ini hadir tanpa sebarang perubahan harga. Varian Executive kekal pada RM89,800, diikuti Premium (RM101,800) dan Flagship (RM113,300), semuanya atas jalan tanpa insurans.
Dalam masa sama, kemasukan Quartz Black menyaksikan warna Passion Red digugurkan daripada palet X50. Ini sekali gus bermakna warna tersebut tidak lagi ditawarkan pada mana-mana model Proton, selepas S70 turut menggantikannya dengan Ruby Red sebelum ini, manakala Iriz pula sudah dihentikan pengeluaran.
Kini Ada Lima Pilihan Warna
Dengan perubahan ini, Proton X50 kini hadir dengan lima pilihan warna iaitu Armour Silver, Snow White, Jet Grey, Teal Bayou Green dan Quartz Black.
Warna hitam metalik itu juga dilihat sangat sesuai dengan rekaan facelift X50, terutama dalam menyamarkan saiz gril hadapan yang lebih besar sambil menyerlahkan aksen merah pada badan.
Black Edition Terbukti Jadi Tarikan

Langkah Proton menjadikan Quartz Black sebagai warna standard jelas menunjukkan populariti tinggi versi Black Edition dalam kalangan pembeli SUV segmen-B.







