PENGELUAR automobil nasional, Proton kini menjadikan Quartz Black (hitam) sebagai pilihan warna standard baharu untuk kenderaan utiliti sukan (SUV), Proton X50 2026 berikutan sambutan memberangsangkan terhadap X50 Black Edition yang diperkenalkan bulan lalu.
Sebelum ini, Proton hanya menawarkan 200 unit X50 Black Edition berasaskan varian Flagship, tetapi permintaan tinggi pelanggan mendorong pengeluar nasional itu untuk mempeluas warna tersebut kepada semua varian bermula bulan ini.
Harga Kekal Sama Semua Varian
Menariknya, pengenalan warna baharu itu hadir tanpa sebarang perubahan harga. Varian Executive kekal pada RM89,800, disusuli Premium (RM101,800) dan Flagship (RM113,300). Semua harga adalah atas jalan tanpa insurans.
Pada masa sama, kemasukan Quartz Black menyaksikan warna Passion Red digugurkan daripada pilhan warna X50. Ini bermakna warna tersebut tidak lagi ditawarkan pada mana-mana model Proton, selepas S70 sebelum ini turut menggantikannya dengan Ruby Red (merah), manakala Iriz pula sudah dihentikan pengeluaran.
Kini Ada Lima Pilihan Warna
Dengan perubahan ini, Proton X50 2026 kini hadir dalam lima pilihan warna: Armour Silver (perak), Snow White (putih), Jet Grey (kelabu), Teal Bayou Green (hijau) dan Quartz Black (hitam).
Warna hitam metalik itu juga dilihat sangat sesuai dengan rekabentuk X50 facelift, terutama dalam menyamarkan saiz gril depan yang lebih besar sambil menyerlahkan aksen merah pada badan.
Black Edition Terbukti Jadi Tarikan
Langkah Proton menjadikan Quartz Black sebagai warna standard jelas menunjukkan populariti tinggi versi Black Edition dalam kalangan pembeli SUV segmen-B.











