PROTON e.MAS 7 boleh diibaratkan seperti suatu fenomena, menarik perhatian ramai pengguna jalan raya lain semasa dipandu menyusuri jalan raya mahupun lebuh raya.
Semasa berhenti seketika di kawasan awam, ramai orang termasuk mereka yang berkeluarga dan pelbagai peringkat umur tidak melepaskan peluang untuk menghampirinya secara dekat. Bermacam soalan ditanya dan ramai menunjukkan ekspresi teruja pada wajah mereka.
Proton e.MAS 7 ialah kenderaan elektrik penuh (EV) nasional pertama yang dilancarkan pada 16 Disember 2024 dengan dua varian pilihan iaitu Prime dan Premium. Walaupun usianya di pasaran belum menjangkaui tempoh tiga bulan, tempahan untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) EV sudah pun melebihi 4,000 unit!
Pencapaian itu cukup luar biasa sekali gus meletakkan Proton e.MAS 7 muncul sebagai EV paling laris dengan kedudukan nombor satu di Malaysia selepas menguasai 25 peratus keseluruhan segmen EV di tanah air. Malah jualan untuk Proton e.MAS 7 melebihi tiga kali ganda lebih tinggi berbanding BYD ATTO3!
HARGA EV SUV SEGMEN C MAMPU DIMILIKI LEBIH RAMAI RAKYAT MALAYSIA
Untuk memahami apa yang membuatkan Proton e.MAS 7 Prime begitu diminati ramai, PanduLaju meminjam seunit untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai kehebatan SUV EV itu.
Salah satu pendorong kepada sambutan luar biasa Proton e.MAS 7 ialah faktor harga mampu milik untuk sebuah SUV EV segmen C bersaiz besar. Harga untuk varian Prime ialah RM109,800 dan Premium ditawarkan dengan harga permulaan RM123,800.
Bonus kepada 6,000 pembeli awal, mereka akan dapat penjimatan harga RM4,000! Jadi, ini membuatkan harga Prime dan Premium lebih murah dengan masing-masing sebanyak RM105,800 dan RM119,800.
Kalau dilihat pesaing terdekat iaitu BYD ATTO 3, harga jualannya bermula dari RM149,800 dan ini boleh dikatakan jauh lebih mahal dan kurang mesra poket kebanyakan pengguna Malaysia.
SUV MESRA SEISI KELUARGA
Faktor kedua yang menjadikan Proton e.MAS 7 Prime laris di pasaran adalah sifat praktikal SUV itu yang memenuhi tujuan penggunaannya, lebih-lebih lagi sebagai kenderaan untuk seisi keluarga.
Saiz kabin Prime memang amat luas terutamanya untuk ahli keluarga yang duduk di barisan kerusi penumpang belakang. Sampai boleh duduk dengan bersilang kaki tanpa masalah ruang.
Ruang antara lutut dengan kerusi barisan depan pun jauh ditambah lagi dengan ruang kelegaan kepala dan siling SUV itu. Tempat duduk juga dibalut dengan material lembut yang meningkatkan lagi rasa selesa berada di dalam Proton e.MAS 7.
Tak cukup dengan itu, tempat duduk barisan belakang boleh dilaras dengan dua sudut sendeng supaya penumpang kekal berada dalam keadaan lebih selesa untuk perjalanan jarak jauh.
Satu perkara yang meningkatkan lagi rasa selesa ialah lantai kawasan penumpang belakang jenis rata. Tiada bongol ditengah-tengah yang mengganggu kaki penumpang tengah kerusi belakang atau membuatkan sesiapa tersadung semasa beralih kedudukan.
Tidak lupa juga lambakan ruang simpan barang, sebanyak 33 kemudahan simpanan ada dalam kabin Proton e.MAS 7! Siap ada ruang laci simpan khas bawah tempat duduk belakang dan ruang simpan jenis tarik bawah konsol perehat tangan.
Lagi bonus tambahan ialah ada corong penyaman udara yang boleh dilaras penumpang belakang, perehat tangan tengah dengan dua tempat letak cawan, soket USB dan lampu kabin putih jenis sesentuh di kiri dan kanan tempat duduk penumpang belakang.
Semua ini sudah tentunya menjadi kelebihan untuk seisi keluarga, lebih-lebih lagi untuk membawa warga emas menikmati perjalanan tanpa memenatkan atau menyukarkan pergerakan mereka.
SELAMAT SEPANJANG PERJALANAN
Bukan hanya selesa menjadi keutamaan tetapi teknologi yang didatangkan bersama e.MAS 7 Prime juga membuktikan PROTON memandang berat soal keselamatan pengguna SUV EV mereka.
Malah Proton tidak bersifat kedekut, sebaliknya menjadikan sut Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 sebagai ciri standard untuk kedua-dua varian.
Seperkara lagi perlu diketahui ialah Proton e.MAS 7 meraih penarafan 5 bintang ASEAN NCAP dengan 92.57 mata. Semakan di laman web Aseancap.org (ASEAN NCAP) tidak memaparkan model ATTO 3 tetapi lain kisahnya di laman Euroncap.com (EURO NCAP).
Agensi keselamatan kenderaan Eropah mengeluarkan penarafan 'tidak disyorkan' untuk sistem bantuan pemandu untuk model EV BYD ATTO 3 pada Oktober 2024.
Semasa memandu Proton e.MAS 7 Prime, anda boleh rasa 'teguran' dan bantuan pemanduan seandainya sistem komputer SUV itu mengesan cara pemanduan atau kenderaan bergerak dalam potensi berisiko mahupun berbahaya.
Antara contoh yang penulis boleh kongsikan selepas mengalaminya ialah:
- Peringatan pemanduan melebihi halaju dengan paparan angka kelajuan semasa dan simbol bulatan merah putih had laju yang dibenarkan di jalan berkenaan. Paparan akan ditunjuk di instrumen meter.
- Stereng akan menjadi ketat sedikit jika mengesan kenderaan mula menyusur keluar lorong asal tanpa menyalakan lampu signal belok serta bunyi amaran dalam kabin. Ini dibuat menerusi ciri Bantuan Kekal Lorong (ELKA), Pencegahan Keluar Lorong (LDP) dan Amaran Keluar Lorong (LDW).
- Jika e.MAS 7 Prime menghampir kenderaan di hadapan dengan risiko perlanggaran, sistem komputer akan mengeluarkan bunyi amaran dan meminta pemandu untuk brek. Seandainya tidak bertindak, system akan membrek kenderaan itu untuk mengelak kemalangan. Ciri terlibat ialah Pembrekan Kecemasan Automatik (AEB), Amaran Perlanggaran Depan (FCW) dan Sokongan Brek Dinamik (DBS).
- Paparan lampu oren berbentuk seperti sabit di cermin sisi menandakan ada kenderaan berdekatan dalam zon titik buta.
- Semasa mengundur, sistem akan membantu mengesan apa-apa objek, pejalan kaki atau kenderaan di belakang dengan memberi amaran (RCW dan RCTA) dan membrek sendiri (RCTB).
- Untuk mengundur atau melihat keadaan di sekeliling Proton e.MAS 7 Prime, gunakan sahaja fungsi kamera 360º yang memaparkan kualiti video yang mengatasi resolusi beberapa model EV lain di Malaysia. Varian asas e.MAS 7 pun ada kamera pandang keliling.
- Semasa berhenti lampu isyarat, tekan pedal brek ke dalam sedikit untuk mengaktifkan brek pegun (Auto Hold) dan boleh anda rehatkan kaki.
- Ciri keselamatan canggih dan moden Proton e.MAS 7 Prime (varian asas) belum tentu boleh didapati pada model EV asas lain dan ini poin amat penting yang anda perlu tahu sebelum membeli mana-mana EV.
TEKNOLOGI CANGGIH GENERASI BAHARU
Selesai sudah meninjau aspek keselesaan kabin dan ketenangan minda di jalan raya (keselamatan dan sekuriti), kini giliran mengenali teknologi tersembunyi di bawah lantai dan hud Proton e.MAS 7.
Lantai rata dalam kabin itu sebenarnya berkait dengan keunikan frem Proton e.MAS 7 Prime yang menempatkan pek bateri Aegis Short Blade Battery jenis lithium iron phosphate (LFP) di dalamnya, ini dikenali teknologi Cell-to-Body.
Pek bateri itu adalah lebih canggih berbanding bateri EV lain dan dibangunkan sendiri Geely. Ketumpatan tenaga 192Wh setiap kg dan memiliki jangka hayat terbaik dalam kelas, masa pengecasan pantas dan lebih selamat.
Saiz bateri dalam e.MAS 7 sekitar 580mm panjang dan ia sebenarnya 40 peratus lebih pendek berbanding bateri Blade tradisional. Kelebihan bateri pendek ini ialah kurang rintangan dalaman dan kurang penghasilan haba tetapi isi padu penggunaan naik 50 peratus.
Dalam ujian dibuat, bateri itu mencapai 3,500 kitaran pengecasan dan ini dikatakan menyamai pengecasan dan pemanduan sejauh 1 juta kilometer (km). Secara purata, 1 juta km ibarat memandu kereta sama selama 50 tahun jika purata penggunaan ialah 20,000km setahun.
Apal lagi yang perlu diketahui ialah pek bateri itu ada tiga lapisan plat perlindungan di bahagian bawah, sistem kawalan mampu tahan larian terma (thermal runaway) serta lulus cemerlang enam ujian ekstrem pihak Pusat Automotif China:
- Hakisan air laut
- Geseran berterusan frekuensi tinggi
- Suhu sejuk melampau
- Digelek kenderaan 26 tan
- Impak rempuhan sisi
- Dipanggang dalam api
Selagi daripada teknologi keselamatan bateri, system navigasi turut disertakan dengan Peta Pengecasan Bersepadu (Integrated Charging Map) yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Dengan kerjasama pengendali titik pengecas (CPO) utama seperti Gentari, JomCharge, chargEV, DC Handal, Carput Zap dan ChargeSini, peta ini menyenaraikan lebih daripada 1,900 titik pengecas di seluruh negara. Ini merangkumi 85 peratus daripada semua pengecas awam di Malaysia setakat ini.
Proton e.MAS 7 Prime menggunakan pek bateri 49.52kWh dan kapasiti pengecasan pantas (DC) 80kW dan 11kW untuk pengecasan standard (AC) membolehkan jarak pandu sehingga 345km (kitaran WLTP). Menariknya, masa mengecas AC dari 30 peratus ke 80 peratus (SoC) cuma 4.9 jam (Premium: 6.1 jam).
Unit penggerak MAS 7 Prime datang dari unit motor tunggal 12-in-1 electric drive system yang menawarkan kuasa maksimum 160kW dan 320Nm tork. Sistem pacuannya jenis roda depan (FWD) dan pecutan ke 100kmj mengambil hanya 6.9 saat dengan kelajuan maksimum 175kmj. Sebenarnya, penulis pernah ada dalam Prime yang dipandu sehingga 181kmj.
PANDANGAN PERIBADI SELEPAS PANDU UJI E.MAS 7 PRIME
- Tempat duduk sememangnya selesa dan semua butang kawalan fizikal serta capaian tangan ke skrin infotainmen mudah capai tangan.
- Konsep minimalis dalam kabin membantu membuatkan Proton e.MAS 7 Prime nampak lebih luas dan kemas.
- Semua maklumat pada skrin instrumen mudah dilihat dan dibaca semasa pemanduan.
- Tindak balas stereng memuaskan dan tidak memerlukan kudrat lebih untuk memusingkannya.
- Sistem suspensi lembut tetapi memenuhi keperluan untuk memastikan keselesaan dalam kabin berada di tahap terbaik.
- Aliran kuasa menarik roda depan bersifat linear dan memang sesuai untuk mereka yang bercadang untuk beralih menggunakan sebuah EV.
- Karakter tindak balas kuasa juga menjadikan pemandu lebih tenang dan bersifat santai.
- Semua ciri keselamatan berfungsi dengan baik dan tidak mendatangkan apa-apa rasa jengkel.
- Bunyi jingel van aiskrim mungkin kurang digemari tetapi ini perlu demi keselamatan orang lain di sekeliling dan pengguna jalan raya lain.
- Ruang but besar dan ada ruang simpanan tambahan di bawah pelapik lantai but untuk simpanan barangan tambahan.
- Kerusi boleh direbahkan 60:40 untuk meluaskan lagi ruang kargo.
- Skrin infotainmen Proton e.MAS 7 mudah digunakan dan tidak mengelirukan seperti beberapa model EV lain.
- Siapa patut beli? Secara peribadi, penulis merasakan Proton e.MAS 7 Prime cukup sesuai untuk mereka yang ingin beralih kepada sebuah EV, keluarga kecil, mereka yang tinggal di kawasan bandar utama, golongan wanita serta pekerja eksekutif muda.
Seperti disebut pada permulaan artikel, harga OTR (Atas Jalan Tanpa Insuran) untuk Proton e.MAS 7 Prime kini ialah RM105,800 dengan rebat RM4,000 (untuk 6,000 tempahan pertama).
Selain rebat, pembeli juga akan menerima pengecas rumah 7kW, adaptor V2L, sambungan internet percuma untuk 5-tahun dan waranti 6 tahun tanpa had perbatuan serta waranti 8 tahun atau 160,000km untuk bateri voltan tinggi di dalam e.MAS 7.
Anda boleh menempah Proton e.MAS 7 Prime melalui laman web Proton e.MAS dan untuk memudahkan lagi pengalaman pembelian dan pemilikan, anda boleh muat turun aplikasi Proton e.MAS untuk digunakan dalam telefon pintar anda.
Leave a Reply