PETRON Malaysia Refining & Marketing Bhd (PMRMB) menamatkan tahun kewangan 2025 dengan keuntungan bersih RM246 juta, melonjak ketara berbanding RM18 juta yang direkodkan tahun sebelum itu.
Prestasi kukuh itu didorong hasil pengeluaran lebih baik di Loji Penapisan Port Dickson menerusi pengoptimuman proses dan kadar penggunaan loji lebih tinggi, sekali gus membolehkan syarikat memanfaatkan kos pengeluaran serta pembekalan lebih rendah.
Jumlah jualan tahunan meningkat 36.2 juta tong berbanding tahun sebelumnya, tetapi pendapatan merosot 15 peratus kepada RM13.4 bilion berikutan harga pasaran minyak mentah global lebih rendah.
Keuntungan Kasar Lebih Dua Kali Ganda
Penanda aras Dated Brent menyusut 15 peratus atau AS$12 (RM46.70) setong kepada AS$69 (RM268.50) setong akibat peningkatan bekalan global dan permintaan lemah dalam suasana ketegangan geopolitik berterusan.
Walaupun pendapatan menurun, keuntungan kasar meningkat lebih dua kali ganda kepada RM571 juta berbanding RM274 juta pada 2024. Pendapatan operasi pula melonjak kepada RM350 juta daripada RM60 juta tahun sebelumnya.
Bagi suku keempat 2025, PMRMB menjual 8.6 juta tong, meningkat 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Syarikat mencatat keuntungan bersih RM44 juta berbanding kerugian bersih RM70 juta pada suku keempat 2024.
Insiden Jeti Port Dickson
Pada 28 November 2025, jeti produk Loji Penapisan Port Dickson runtuh akibat Ribut Tropika Senyar. Syarikat mengisytiharkan bencana alam (force majeure) dan mengaktifkan Pelan Kesinambungan Perniagaan bagi memastikan bekalan petrol, diesel dan Gasul LPG kekal stabil.
Kerja pembersihan runtuhan sedang dijalankan dan syarikat dalam proses mendapatkan bidaan bagi pembinaan jeti gantian. Memandangkan insiden berlaku penghujung tahun, impak terhadap prestasi kewangan 2025 adalah minimum.
Pengerusi PMRMB, Ramon S Ang berkata, kejayaan itu dicapai hasil kecekapan operasi, penambahbaikan proses dan pengurusan risiko berhemat dalam pasaran minyak yang tidak menentu.






