
DUNIA permotoran antarabangsa kehilangan seorang tokoh berpengaruh apabila pengasas Barber Motorsports Park dan Barber Vintage Motorsports Museum, Mendiang George W. Barber Jr, meninggal dunia pada usia 85 tahun.
Beliau dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada 15 Februari lalu selepas mengalami sakit yang singkat. Pemergian beliau meninggalkan legasi besar dalam dunia sukan permotoran, khususnya dalam usaha memelihara sejarah motosikal dan pembangunan fasiliti perlumbaan bertaraf dunia di Amerika Syarikat.
Dari Industri Tenusu Ke Dunia Litar

Barber merupakan bekas veteran tentera sebelum mengambil alih perniagaan keluarga, Barber Dairies, pada usia 29 tahun. Di situlah beliau membina kekayaan yang kemudian digunakan untuk merealisasikan minat mendalam terhadap sukan bermotor.
Selain bergelar usahawan berjaya, beliau turut aktif sebagai pelumba kereta, mencatatkan 63 kemenangan sepanjang kariernya. Barber banyak berlumba menggunakan jentera Lotus dan Porsche, selain pernah bersaing dengan nama-nama besar dunia perlumbaan.
Muzium Motosikal Terbesar Dunia
Selepas menjual perniagaan tenusu pada 1998, beliau memberi tumpuan penuh kepada projek impiannya, membangunkan muzium dan litar perlumbaan bertaraf antarabangsa.
Barber Vintage Motorsports Museum yang dibuka dalam bentuknya sekarang pada 2003 terletak di kawasan seluas 880 ekar di Alabama. Kompleks bangunan seluas kira-kira 230,000 kaki persegi itu menempatkan koleksi sekitar 1,800 motosikal, dengan kira-kira 1,000 unit dipamerkan dan selebihnya disimpan atau dalam proses restorasi.
Menariknya, hampir semua motosikal dalam koleksi tersebut berada dalam keadaan boleh ditunggang dan boleh disiapkan dalam tempoh singkat jika diperlukan.
Litar Ikonik, Festival Tahunan

Di samping muzium, Barber Motorsports Park turut memiliki litar sepanjang 2.38 batu (3.83 km) dengan 16 selekoh dan profil ketinggian mencabar. Sejak 2005, fasiliti ini menjadi tuan rumah kepada Vintage Motorcycle Festival, antara acara terbesar seumpamanya di Amerika Syarikat.
Litar tersebut juga menganjurkan pelbagai kejohanan setiap tahun dan menarik lebih sejuta pengunjung setahun, sekali gus menjadikannya destinasi wajib bagi peminat automotif dan dua roda dari seluruh dunia.
Legasi Pendidikan, Pembangunan Bakat
Institusi bukan berasaskan keuntungan itu turut membuka ruang kepada pelajar sekolah, program pendidikan serta latihan industri bagi mahasiswa dalam bidang kejuruteraan dan sukan permotoran. Inisiatif ini mencerminkan komitmen Barber dalam memastikan warisan permotoran terus berkembang kepada generasi baharu.
Tarikh majlis penghormatan terakhir beliau masih belum diumumkan. Pihak pengurusan memaklumkan bahawa sumbangan kepada muzium adalah digalakkan sebagai menggantikan pemberian bunga.
Pemergian George W. Barber Jr bukan sekadar kehilangan seorang pengumpul motosikal, tetapi seorang individu yang mengubah minat menjadi institusi bertaraf dunia, satu legasi yang dijangka kekal untuk dekad akan datang.
SUMBER: Motorcycle News.com


















