KERETA segmen A dengan ciri keselamatan setaraf model segmen C adalah konklusi awal saya sebaik memegang stereng kompak mini terbaru buatan Korea Selatan, Kia Picanto dalam sesi pandu uji media ke Putrajaya. Sepanjang pemanduan, rata-rata rakan media juga berpandangan sama dan terkejut apabila diberitahu Kia Picanto dilengkapkan enam beg udara. Ya, bukan dua, tetapi enam beg udara!
Amnya, model yang mendiami segmen A adalah Hyundai i10, Suzuki Alto, Mitsubishi Mirage dan Perodua Viva. Perlu diingatkan, dalam segmen sama, hanya Picanto hadir dengan enam beg udara berbanding pesaing lain dan itu alasan utama model ini dijangka mampu menggugat lawannya.
Selain beg udara, Picanto turut dibekalkan Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), Agihan Brek Elektronik (EBD), Pengurusan Stabiliti Kenderaan (VSM) dan Kawalan Daki Bukit (HAC). Lebih prestij, kereta kecil ini muncul dengan status rating empat bintang EuroNCAP.
Jika mahu dibuat perbandingan, ciri keselamatan yang ada pada Picanto kini hanya boleh didapati dalam kenderaan segmen C dan D. Nampaknya Kia semakin mengambil berat soal keselamatan setiap kenderaan keluarannya walaupun cuma model segmen A.
Sebelum mengulas lebih jauh mengenai pengalaman menguji model ini, ada baik saya berkongsi cerita serba sedikit mengenai profil hatchback ini. Picanto generasi pertama mula dipertontonkan kepada umum pada Pameran Motor Frankfurt 2003 sebelum menembusi pasaran global setahun kemudian. Picanto dibangunkan berasaskan platform Hyundai Getz dan ketika itu, Kia Motors hanya menawarkan enjin berkapasiti 1.0L dan 1.1L.
Memasuki pasaran tempatan sekitar 2005, Picanto generasi pertama pernah dikenali sebagai Naza Suria sebelum ditukar semula kepada nama asal. Picanto di Korea Selatan dan Chile dikenali sebagai Kia Morning, manakala di Vietnam, Kia New Morning.
EKSTERIOR
Kecil-kecil cili padi. Pepatah ini nyata sesuai bagi menggambarkan karakter cilik ini. Walaupun kecil, Picanto sarat kepelbagaian teknologi terkini. Jika rekabentuk model lama lebih berciri feminin, Picanto baru ini tampil dengan sedikit elemen maskulin.
Antara perubahan baru adalah pengenalan lampu kabus berserta lampu siang LED di depan dan belakang. Paling menonjol adalah profil ‘Hidung Harimau’ (Tiger Nose) rekaan Ketua Pereka, Peter Schreyer yang menjadi signatur setiap model baru Kia. Sejak Kia meminang Schreyer sebagai Ketua Pereka, bekas pereka Audi itu nyata sukses menaikkan nama syarikat automobil Korea Selatan itu menerusi ciptaan yang unik dan provokatif.
Lihat saja model seperti Sportage, Optima K5 dan Rio. Malah, Picanto baru ini juga tidak pernah gagal memikat hati peminat automotif. Karakter maskulin terserlah menerusi kehadiran garis horinzontal yang melintang sepanjang tepi badan kereta.
Varian manual dipadankan rim aloi 14 inci, manakala automatik menampilkan rim aloi 15 inci dengan rekaan corak matahari menyinar.
DALAMAN
Kombinasi material premium tona gelap memenuhi segenap ruang kabin dengan sudut pandangan cermin depan lebih luas. Rekaan dalaman ringkas dan kemas dengan instrumen moden seperti sistem entri tanpa kunci (keyless entry), penyaman udara digital automatik dan sistem audio dengan enam pembesar suara termasuk dua twiter, pemain MP3, USB dan sambungan Bluetooth.
Paling menarik perhatian, cermin solek di visor matahari yang dikepit enam mentol bagi tujuan pencahayaan. Ciri baru ini pasti menggembirakan pemandu wanita yang semestinya mahu kekal anggun sebelum keluar ke mana-mana. Namun, sila pastikan anda beli versi automatik sahaja untuk ciri ini. Walaupun rekabentuk hatchback, keluasan kabin masih memuaskan sama ada di depan atau belakang dan cukup memberikan keselesaan.
Luas but juga tidak mengecewakan dengan kapasiti ruang sebanyak 292L. Jika masih tidak cukup, kerusi barisan kedua boleh dilipat sepenuhnya untuk mendapatkan tambahan ruang dengan nisbah 60:40.
Sekarang, tiada masalah lagi balik kampung dengan dua bagasi besar.
PRESTASI
Berlepas dari Publika, Solaris Dutamas dan berakhir di Putrajaya, kami perlu menempuh pelbagai laluan perjalanan. Selain meredah kesibukan di ibu kota, kami turut mengharungi laluan desa sekitar bandar Broga di sempadan Selangor-Negeri Sembilan (NS) dan Nilai, NS.
Janaan enjin KAPPA 1.2L MPI CVVT mampu menghamburkan kuasa 85hp pada 6,000rpm dan tork 119.6Nm (4,000rpm). Hantaran kuasa lancar dan tidak mengecewakan hasil bantuan sistem transmisi automatik 4-kelajuan dan 5-kelajuan (manual). Berdasarkan sesaran enjin, pasti ramai menyangka Picanto kurang berkuasa.
Namun, pandu uji dilakukan membuktikan Picanto langsung tidak menunjukkan sebarang masalah besar. Menempuh kesibukan ibu kota memang menjadi kelebihan Picanto disebabkan saiz kompak yang memudahkan ia menyelit kereta lain. Cuma, sedikit kudrat diperlukan apabila melalui kawasan berbukit.
Berbanding model pesaing, badan Picanto agak tegap dan masih stabil ketika dipandu laju. Kawalan stereng ringan dan responsif. Di selekoh, ujian suspensi dan golengan badan kereta pada kelajuan sekitar 70kmj masih stabil. Gabungan suspensi topang MacPherson dan stabiliser di depan dan Gandar Kilas Rasuk Kembar (Coupled Torsion Beam Axle-CTBA) di belakang membuatkan si cilik ini cukup mudah dan tenang dikendalikan.
Dengan sasaran jualan 300 unit sebulan, Picanto manual boleh dibeli pada harga RM54,888, manakala automatik, RM59,888 dan kedua-dua varian termasuk insurans berserta jaminan lima tahun tanpa had perbatuan. Ada enam warna menarik sebagai pilihan, Clear White (putih), Galaxy Black (hitam), Bright Silver (perak), Lemon Grass (hijau), Signal Red (merah) dan Alice Blue (biru).
KESIMPULAN
Ramai bertanya, apakah Picanto berbaloi dimiliki? Dari segi kepuasan, saya memang berpuas hati sepanjang memandu uji jentera ini. Walaupun skeptikal pada awal pemanduan berdasarkan prestasi ditawarkan, tetapi semua itu berubah selepas menilai sendiri kehebatannya.
Picanto mampu memberi tekanan kepada model pesaing dengan harga dan saiz hampir sama. Berbaloi dibeli jika anda tidak kisah berbelanja lebih dengan kualiti teknologi Korea Selatan. Bagaimanapun, saya syorkan anda memandu uji terlebih dahulu sebelum buat keputusan. Biasalah, beli kereta tidak macam beli sayur di pasar.
SPESIFIKASI
- ENJIN: KAPPA 1.2L MPI CVVT
- TRANSMISI: Automatik 4-kelajuan | Manual 5 -kelajuan
- KUASA MAKSIMUM: 85hp @ 6,000rpm
- TORK MAKSIMUM 119.6Nm @ 4,000rpm
- CIRI: 6 beg udara, Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), Pengurusan Stabiliti Kenderaan (VSM), Kawalan Daki Bukit (HAC), 4 brek cakera,
- HARGA: RM59,888 (Automatik) | RM54,888 (Manual)
Leave a Reply