NISSAN Mexicana memperkenalkan Nissan Versa 2026 dan Nissan Sentra 2026 menerusi acara sulung Esto Es Nissan Reveals di Bandar Mexico.
Kedua-dua sedan ikonik itu ialah produk kebanggaan kilang Aguascalientes yang mencatatkan pengeluaran lebih 1,000,000 unit dalam tempoh sedekad.
Di pasaran lain, seperti Malaysia, Versa turut dikenali sebagai Almera. Bagi Nissan Versa, pelancaran itu mengukuhkan lagi status sebagai kenderaan paling laris di Mexico selama 10 tahun berturut-turut.
1. Rekabentuk Luaran Nissan Versa 2026
Nissan Versa 2026 tampil dengan rupa luaran lebih menyerlah melalui gril dan rupa depan baharu berasaskan bahasa rekabentuk global Nissan.
Ia dilengkapi lampu lampu LED pada lampu depan dan lampu belakang dengan fungsi lampu susur Follow Me Home, termasuk dilengkapi rim aluminium 17 inci untuk postur badan lebih tegap atas jalan raya.
Bahagian belakang turut diubah dan secara keseluruhan, melainkan sisi, Nissan Versa 2026 menampilkan imej baharu yang benar-benar berbeza berbanding dahulu.
Ciri Nissan Versa 2026
Ruang dalaman Nissan Versa 2026 menampilkan papan pemuka baharu dan unit infotainmen skrin sentuh 12.3 inci yang juga antara terbesar dalam segmen.
Sistem itu menyokong konektiviti Apple CarPlay dan Android Auto wayarles. Pemandu juga dibantu kluster instrumen digital TFT 7 inci yang boleh dikonfigurasi mengikut keperluan.
Sistem audio pula menggunakan unit premium BOSE dengan lapan pembesar suara dan teknologi Personal BOSE.
Bagi meningkatkan ergonomik, Nissan merekabentuk semula kerusi depan dengan tumpuan kepada keselesaan pemanduan bandar dan jarak jauh.
Rekabentuk baharu itu menawarkan sokongan lateral pada penyandar kepala yang lebih baik dan permukaan kerusi yang lebih luas. Model ini turut dilengkapi pengecas wayarles untuk kemudahan pengguna.
Trenkuasa, ADAS
Dari segi prestasi, Nissan Versa 2026 dikuasakan enjin HR16DE 1.6L yang mampu menghasilkan output kuasa 120ps dan tork 149Nm.
Pilihan transmisi merangkumi manual 5-kelajuan atau Xtronic CVT yang dioptimum untuk pecutan lebih lancar.
Aspek keselamatan dilengkapi 12 ciri Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang direka untuk mengurangkan risiko kemalangan di jalan raya bagi melindungi penumpang dan pengguna jalan raya lain.
Harga, Varian Nissan Versa 2026
- Sense Base MT (Flot) – AS$374,900 (RM83,415)
- Sense MT – AS$382,900 (RM85,195)
- Sense CVT – AS$406,900 (RM90,535)
- Advance MT – AS$428,900 (RM95,430)
- Advance CVT – AS$439,900 (RM97,880)
- Exclusive CVT – AS$470,900 (RM104,775)
2. Pelancaran Nissan Sentra 2026
Turut membuat kemunculan ialah Nissan Sentra 2026 yang sebelum ini telah pun diperkenalkan di pasaran Amerika Syarikat.
Ciri Teknikal Nissan Sentra 2026
Model itu menampilkan rekabentuk luaran baharu dengan gril hitam kilat dan lampu LED projektor bagi meningkatkan tahap penglihatan sehingga 53 peratus.
Ruang kabin kini lebih mewah dengan Monolith Display 12.3 inci kembar dan sistem pencahayaan ambien 64 warna.
Keselesaan dipertingkat melalui kerusi sport dengan teknologi Zero Gravity dan sistem audio BOSE 8-pembesar suara berserta subwufer ditala semula.
Penggunaan cermin depan akustik dan penambahbaikan struktur memastikan suasana kabin lebih senyap. Ciri keselamatan pula merangkumi 17 ciri ADAS, termasuk ProPILOT Assist dan Monitor Pandangan Panoramik (PVM) HD.
Nissan Sentra 2026 menggunakan enjin MR20 2.0L yang menghamburkan output kuasa 147ps dan tork 196Nm.
Kuasa disalurkan melalui transmisi automatik CVT generasi kedua yang dilengkapi pam minyak elektrik dan mekanikal untuk respons lebih segera.
Sistem suspensi pula ditala semula bagi memberikan serapan hentakan lebih baik atas permukaan jalan tidak rata.Selain itu , turut dilengkapi Brek Parkir Elektrik (EPB) dan fungsi Auto-Pegun (Auto Hold).
Harga model itu bermula AS$469,900 (RM104,550) sehingga AS$569,900 (RM126,800) mengikut spesifikasi varian.






































































































