
BERITA besar buat peminat Godzilla: Nissan GT-R generasi baharu (R36) disahkan sedang dibangunkan sebagai model hybrid, dengan kemungkinan masih mengekalkan asas enjin ikonik VR38 twin-turbo V6.
Menurut Ketua Perancangan Nissan Amerika Utara, Ponz Pandikuthira, pengumuman lebih konkrit dijangka dibuat sekitar 2028, manakala pelancaran penuh disasarkan sebelum penghujung dekad ini, iaitu sebelum 2030.
Bukan EV Penuh, Tetapi Hybrid Berprestasi Tinggi

Menariknya, Nissan memberi bayangan bahawa GT-R baharu tidak akan menjadi EV sepenuhnya seperti yang pernah dispekulasikan sebelum ini.
Sebaliknya, model itu bakal menerima tahap elektrifikasi tertentu bagi memenuhi peraturan emisi global, termasuk standard Euro 7, sambil mengekalkan karakter prestasi yang sinonim dengan nama GT-R.
“GT-R generasi seterusnya memerlukan tahap elektrifikasi tertentu… adakah ia perlu jadi EV penuh? Mungkin tidak,” kata Pandikuthira.
VR38 Masih Jadi Nadi Utama
Apa yang pasti menggembirakan peminat tegar R35 ialah Nissan tidak bercadang membuang terus enjin VR38.
Menurut beliau, blok enjin tersebut masih sangat kukuh dan berpotensi besar untuk terus digunakan, walaupun komponen lain seperti kepala silinder, piston dan sistem pembakaran mungkin akan direka semula sepenuhnya.
Casis, Kereta Serba Baharu
Dari segi platform, R36 sah akan dibina di atas casis serba baharu, menjadikannya sebuah model yang benar-benar all-new.

Ini penting bagi membolehkan Nissan mengintegrasikan sistem hybrid prestasi tinggi, selain memastikan casis mampu menampung kuasa dan pengendalian setaraf nama GT-R.
Fokus Masih Nürburgring, Prestasi Dunia Sebenar
Walaupun formula berubah, matlamat utama kekal sama – sebuah sports car yang dibangunkan untuk prestasi dunia sebenar dan litar.

Pandikuthira turut menyebut nama Nürburgring, lokasi yang cukup sinonim dengan pembangunan R35 sebelum ini, sekali gus memberi bayangan DNA pemanduan hardcore masih akan dikekalkan.
Godzilla Kembali Dalam Bentuk Baharu
Jika semua berjalan mengikut perancangan, R36 bakal menjadi kebangkitan semula Godzilla dalam bentuk twin-turbo V6 hybrid, bukan revolusi EV penuh.
Bagi peminat GT-R, ini mungkin berita terbaik setakat ini – legenda masih hidup, cuma kini lebih moden, lebih pantas dan lebih bersedia untuk masa depan.
SUMBER: TheDrive








