
KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia menggalakkan syarikat e-hailing di negara ini memperluaskan pelaksanaan konsep “carpool” sebagai langkah proaktif membantu mengurangkan kos bahan api, di samping menawarkan pilihan tambang lebih berpatutan kepada pengguna.
Menterinya, Anthony Loke berkata, pendekatan itu membolehkan penumpang berkongsi perjalanan secara lebih efisien, sekali gus mewujudkan keseimbangan antara keperluan industri dan kebajikan pengguna.
Menurut beliau, konsep tersebut bukan perkara baharu memandangkan ia telah melalui fasa pembuktian konsep (PoC) bersama beberapa syarikat e-hailing sebelum ini dan berpotensi dilaksanakan secara lebih meluas dalam masa terdekat.
Dalam menghadapi krisis semasa, kita perlu mengambil langkah yang proaktif. Carpool adalah antara penyelesaian praktikal yang boleh dilaksanakan segera,” katanya.
Kurangkan Kos, Tambah Kecekapan
Pelaksanaan carpool dilihat mampu:
- Mengurangkan penggunaan bahan api secara keseluruhan
- Menawarkan tambang lebih rendah kepada pengguna
- Mengoptimumkan kapasiti kenderaan di jalan raya
Dalam masa sama, kerajaan akan memastikan sebarang pelaksanaan dasar baharu tidak menjejaskan aspek keselamatan serta pematuhan undang-undang sedia ada.
Krisis Global Jejas Penerbangan, Maritim
Mengulas lanjut, Anthony berkata konflik di Asia Barat turut memberi kesan besar kepada sektor pengangkutan global termasuk penerbangan dan maritim.
Penutupan ruang udara di zon konflik memaksa syarikat penerbangan mengubah laluan, sekali gus meningkatkan tempoh perjalanan dan kos operasi, khususnya bagi laluan ke Eropah.
Selain itu, ketegangan di laluan strategik seperti Selat Hormuz, Terusan Suez dan Laut Merah turut memberi tekanan kepada sektor maritim apabila kapal dagang terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh.
Kerajaan Pantau Impak Ekonomi
Kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang dipengerusikan Anwar Ibrahim sedang meneliti kesan krisis tenaga global secara menyeluruh, khususnya dari aspek jaminan bekalan dan kestabilan ekonomi negara.
Langkah memperluaskan konsep carpool dilihat sebagai antara pendekatan segera yang boleh membantu rakyat menghadapi tekanan kos hidup dalam situasi global yang tidak menentu ketika ini.
SUMBER: AstroAwani







